Khamis, 3 Jun 2010

Sabah & Sarawak: 40 guru psikologi bantu pendidikan awal kanak-kanak

2010/06/03

KUCHING: Sekurang-kurangnya 40 guru psikologi bagi kelas prasekolah diperlukan di seluruh Sarawak bagi memastikan sistem pendidikan awal kanak-kanak yang masih agak ketinggalan di negeri ini dapat ditingkatkan.

Ketika ini, kebanyakan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman tidak mendapat pendidikan asas sehingga mereka menjejak ke Tahun Satu.
Keadaan ini menyebabkan mereka perlu ‘mengejar' rakan di bandar yang mendapat pendidikan asas lebih baik berikutan banyak kelas prasekolah dibuka sama ada oleh kerajaan atau swasta.

Berikutan itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meminta Yayasan Sarawak membantu kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 40 guru bidang psikologi awal kanak-kanak dapat dihasilkan di negeri ini secepat mungkin.

Katanya, menjadi harapan kerajaan agar kualiti sistem pendidikan awal termasuk prasekolah di negeri ini mencapai satu tahap yang dapat dibanggakan semua pihak.

"Melalui program melahirkan 40 guru psikologi ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak akan berusaha melatih golongan pakar dalam mendidik kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

"Golongan pakar ini kemudiannya akan membantu kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dalam usaha membangunkan pendidikan prasekolah ke arah melahirkan generasi berpendidikan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan ibu pejabat baru Yayasan Sarawak di Jalan Sultan Tengah, yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda bandar raya ini di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai Yayasan Sarawak yang sudah berusia 40 tahun, Taib berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau cabang pendidikan itu supaya ia terus aktif membantu peningkatan pendidikan Sarawak.

“Kita sentiasa mengikuti setiap perkembangan dan kemajuan dilakukan Yayasan Sarawak bagi memastikan matlamat penubuhannya membantu rakyat Sarawak cemerlang tidak tersasar.

“Hari ini kita sudah boleh melihat ramai graduan termasuk profesional dan menteri kita juga berjaya kerana mendapat bantuan,” katanya.

Berita Harian Online: 3 Jun 2010

Tiada ulasan: