|
|
KOTA BHARU 22 Jun - Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Kota Bharu turut sama menyumbang ke arah pembangunan pendidikan negara dengan berusaha melahirkan warga guru berwibawa.
Kumpulan pertama lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sini telah berjaya menempatkan diri menjadi sebahagian tenaga pengajar di serata pelosok negara dan mereka memperlihatkan ketrampilan setanding dengan lulusan universiti lain.
Ketua Eksekutif Unirazak Kota Bharu, Ramlan Awang Omar berkata, program yang dimulakan pada 2005 itu telah melahirkan seramai 60 graduan perintis pada tahun lalu.
"Tiga puluh daripada mereka berjaya menjadi guru di bawah Kementerian Pendidikan manakala selebihnya di institusi pendidikan kerajaan yang lain dan juga swasta.
"Ini adalah bukti jelas bahawa lulusan UniRazak tidak kurang hebatnya dari segi keupayaan berbanding dengan lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan pelajar baru dan pelancaran alumni serta Skim Pelajar Dapatkan Pelajar (SGS) di sini baru-baru ini.
Ramlan berkata, hanya pelajar yang mempunyai semangat dan iltizam untuk membangunkan diri, minda dan aspek spiritual mampu mengejar cita-cita masing-masing.
''Di sini kami menekankan agar setiap pelajar tidak mensia-siakan kemudahan dan peluang melanjutkan pengajian," ujarnya.
Beliau berkata, UniRazak Kota Bharu adalah satunya-satunya cawangan universiti itu di pantai timur dan menyediakan pengajian peringkat asas, diploma dan ijazah.
Katanya, terdapat dua fakulti pengajian di situ iaitu Fakulti Pendidikan dan Fakulti Pengurusan Perniagaan dengan tenaga pensyarah tetap seramai lapan orang.
Jelasnya, pihak universiti mengadakan tiga sesi pengambilan pelajar setiap tahun dan kini mempunyai lebih 150 pelajar dengan majoritinya menuntut di bawah Fakulti Pendidikan.
"Sehingga hari ini kita sudah mengeluarkan lebih 2,000 graduan dan kebanyakannya tidak menghadapi masalah menempatkan diri dalam masyarakat dan pasaran kerja," katanya.
Salah seorang lepasan Ijazah Pendidikan universiti itu, Norasikin Abdullah, 25, dari Kuala Terengganu berkata, dia tidak menyesal memilih UniRazak untuk menyambung pelajaran.
Katanya, walaupun telah melepaskan peluang ke sebuah IPTA di utara selepas peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malasysia (STPM), peluang belajar di UniRazak dalam bidang yang diminati adalah lebih utama.
''Saya bercita-cita menjadi seorang guru sejak kecil tetapi apabila saya mendapat tawaran masuk ke jurusan yang bukan menjadi minat saya.
''Biarlah tidak dapat ke universiti awam asalkan saya dapat belajar sesuatu yang dekat di hati," katanya yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Agama (A) Saadatul Qura', RPT Kesedar, Kuala Krai.
Md. Nazruddin Md. Nawi, 27, pula berkata, kelewatan menerima surat kemasukan ke sebuah universiti awam telah membawanya ke UniRazak.
Dia yang berasal dari Kampar, Perak berkata, kemudahan yang ada di situ setanding dengan tempat lain dan tidak menjejaskan persiapan untuk menjadi seorang pendidik sama seperti ibu dan arwah ayahnya.
Katanya, pada peringkat awal dia mengambil pengajian peringkat sijil sebelum menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan pengkhususan dalam teknologi maklumat.
"Hati saya sudah nekad untuk meneruskan 'kerjaya' keluarga jadi bagi saya tiada masalah belajar di mana-mana pun," katanya.
Hasil kesungguhannya, Nazruddin kini bertugas sebagai guru tingkatan satu dan dua di SMR (A) Repah, Tampin, Negeri Sembilan sejak Oktober tahun lalu.
Seorang lagi graduan UniRazak yang menjadi pendidik adalah Siti Nur Athirah Md. Sulaiman, 24, yang berasal dari Kota Bharu.
Bermula Januari tahun lalu, dia berkhidmat sebagai guru matematik di Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Terengganu.
"Selepas STPM saya mendapat tawaran ke Univesriti Teknologi Mara (UiTM) tetapi jurusan yang ditawarkan juga bukan pilihan saya.
"Alhamdulillah saya memilih masuk ke sini, bukan sahaja saya berjaya menamatkan pelajaran dan menjadi guru tetapi bertemu jodoh dengan lepasan di sini juga," katanya.
Utusan Malaysia Online: 23 Jun 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan