Rabu, 16 Jun 2010

Mandarin, Tamil bukan wajib


Muhyiddin Yassin bersama para peserta Persidangan Pelajar Antarabangsa 2010 anjuran Sekolah Perempuan St. George di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 15 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan pelajaran Bahasa Mandarin dan Tamil yang bakal dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah kebangsaan sebagai subjek wajib.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, pengajaran kedua-dua bahasa tersebut akan dilaksanakan secara elektif untuk memberi pilihan selain memudahkan pelajar kaum Cina dan India mempelajari bahasa ibunda mereka di sekolah kebangsaan.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan mewajibkan penyediaan guru-guru bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan bagi memastikan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Saya hendak betulkan ini kerana ada sedikit kesilapan kenyataan awal yang dikeluarkan yang mengatakan kerajaan hendak mewajibkan sekolah kebangsaan belajar Mandarin dan Tamil, itu saya nak betulkan.

"Apa yang kita mahu ialah supaya dasar POL yang sudah lama diperkenalkan bukan sahaja diteruskan tetapi dilaksanakan sepenuhnya supaya di setiap sekolah kebangsaan disediakan guru yang cukup untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.

"Dengan ini, pelajar mempunyai pilihan, yang penting apabila mereka mahu menguasai bahasa ibunda, mereka boleh memperolehinya menerusi sistem kebangsaan dan tidak perlu berpusu-pusu ke sekolah jenis kebangsaan yang kadang-kadang tidak cukup tempat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa 2010 anjuran Sekolah Perempuan St. George di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Muhyiddin berkata, apa yang penting ialah kerajaan mahu mengukuhkan pembelajaran Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan dengan menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.

Beliau memberitahu, kini terdapat 373 guru Bahasa Mandarin dan 163 guru Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan.

"Kita ada lebih 7,000 sekolah rendah di seluruh negara, kita akan latih guru berkelayakan dan mereka boleh ditempatkan di sekolah-sekolah ini, sama ada terdapat pelajar yang mahu belajar atau tidak itu soal kedua," tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum ini ada kemungkinan pihak sekolah tidak memberi perhatian kepada pembelajaran kedua-dua bahasa tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa berketurunan Cina dan India.

"Justeru apabila kita dapat menyediakan kemudahan pembelajaran kedua-dua bahasa ini di sekolah, tentu sekali mereka lebih mudah untuk menguasai bahasa ibunda menerusi sistem sekolah kebangsaan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Jun 2010

1 ulasan:

Zulfadzli Haron berkata...

P&P Bahasa Mandarin terutamanya perlu diwajibkan dan bukannya semata-mata menjadi subjek POL. Tidak rugi untuk mempelajari satu ilmu baru tetapi amat merugikan jika kita kehilangan ilmu tersebut. Usahlah dipolitikkan isu ini kerana yang lebih penting ialah meneruskan perjuangan 1 Malaysia.

ikhlas,
http://reformasimindaguru.blogspot.com