SEREMBAN 17 Jun – Sambutan Hari Guru buat pertama kalinya yang dianjurkan oleh kerajaan negeri pada 26 Jun ini bukan program membazir seperti dakwaan sesetengah pihak.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, program berkenaan merupakan satu tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus melonjakkan prestasi pelajaran di negeri ini ke tahap yang membanggakan.
“Kerajaan negeri melihat program ini bukanlah sesuatu yang membazir kerana tujuan sebenar kita adalah untuk menyatakan rasa terima kasih kepada semua guru yang telah berusaha melonjakkan prestasi pendidikan di negeri ini.
“Pada saya, kalau ada mana-mana pihak yang mengatakan ia sesuatu yang membazir, terpulang kepada mereka. Apa yang kita lihat jasa guru-guru mendidik anak bangsa wajar diberikan penghargaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai sambutan Hari Guru itu, Mohamad berkata, program berkenaan akan dihadiri 15,000 guru di seluruh negeri ini dan beberapa pengisian akan dijalankan sepanjang majlis berkenaan termasuklah jamuan makan malam.
Katanya, perhimpunan yang akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ini merupakan kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPNS) dan kerajaan negeri.
“Walaupun Hari Guru ini sebenarnya agenda dari Jabatan Pelajaran, kita ambil alih sebagai acara kerajaan negeri.
“Selain mengadakan jamuan makan malam dan memberikan Anugerah Tokoh Guru negeri, kita juga selitkan beberapa acara sampingan,” kata beliau.Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan