MARAN 12 Sept. - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mengingatkan golongan guru di negara ini menjadikan bulan Syawal sebagai landasan untuk bergerak lebih mantap bagi menghadapi cabaran pendidikan pada masa akan datang.
Presidennya, Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, guru akan berhadapan dengan tugas berat 'menyiapkan' pelajar mereka menghadapi tiga peperiksaan awam penting tidak lama lagi.
Katanya, pelajar sekolah rendah dan menengah akan menghadapi peperiksaan penting iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Walaupun wujud polemik kewajaran peperiksaan awam dikurangkan kerana dikatakan tidak relevan lagi dengan dasar pendidikan wajib di sekolah rendah dan menengah, ia tidak boleh dijadikan alasan.
"Namun demikian, tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik tetap diteruskan dengan penuh tanggungjawab walaupun pada masa sama terdapat kekangan kepentingan urusan keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.
Beliau juga menyeru semua warga guru menjadikan semangat Syawal sebagai ikatan mengukuhkan tali persaudaraan dan ukhuwah sesama warga pendidik.
Tegasnya, tanggungjawab dalam bidang itu adalah suci kerana ia membentuk seorang insan menjadi warganegara yang baik dan berbudi.
Katanya, ikatan persaudaraan dan kekitaan persaudaraan Islam perlu diperkukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran yang semakin sukar dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan.
"Warga pendidik harus memberi lonjakan baru untuk mengukuhkan persaudaraan, berkongsi maklumat dan saling bekerjasama dalam pelbagai urusan.
"Roh kekeluargaan dan semangat kekitaan patut diperkukuhkan kerana faktor ini menjadi teras kekuatan Islam dan kemajuan negara bangsa di negara ini," katanya.
Mohamed Sabri berkata, warga pendidik mempunyai kekuatan tersendiri dalam merealisasikan hala tuju Falsafah Pendidikan Negara kerana kerajaan meletakkan pendidikan di landasan yang betul.
Menurutnya, prasarana pendidikan negara yang bertaraf dunia malah menjadi salah satu punca punca pendapatan melalui sektor pelancongan pendidikan yang menarik minat ramai pelajar asing ke negara ini.
Katanya, penyediaan peruntukan besar kerajaan dalam belanjawan tahunan bagi pendidikan membuktikan pemimpin negara mengutamakan sektor pendidikan yang menjadi aset kepada kemajuan negara.Utusan Malaysia Online: 13 September 2010
1 ulasan:
Betullah tu tuan Presiden.
Seorang guru harus ikhlas, tekun bekerja,memahami dasar-dasar kerajaan dan lebih daripadad itu GURU HARUS BERADA DIBELAKANG KERAJAAN DAN BUKAN DIBELAKANG PEMBANGKANG..TAU.
Tapi sejak kebelakangan ini ramai guru menyebalehi pembangkang kenapa..???????Kenapa benda ini tidak ditekankan oleh kesatuan guru.
Kalau kita mengajar murid dengan baik tetapi dalam masa yang sama memimpin parti pembangkang..adakah itu BETUL...??????
Catat Ulasan