Oleh Norliza Abdullah
2010/09/09
Usaha tangani masalah sosial remaja semasaPERSATUAN Masyarakat Prihatin Pulau Pinang menggesa Kementerian Pelajaran segera mewujudkan perjawatan Pekerja Sosial Sekolah (PSS) yang dilihat sebagai alternatif terbaik membendung masalah disiplin pelajar terutama dalam kalangan remaja.
Presidennya, Hashim Ismail, berkata saranan itu perlu berikutan amalan sama sudah dilaksanakan di beberapa negara maju antaranya Jepun yang berjaya melahirkan generasi muda lebih berhemah.
Beliau berkata, cadangan diwujudkan PSS sudah lama dicetuskan golongan ilmuan. Implikasi mengenainya sudah dikaji dan dibahas serta diperhalusi bagi memastikan keberkesanan membantu menyelesai pelbagai masalah serta mengatasi pelajar berisiko yang memerlukan bimbingan.
“PSS wajar diwujudkan segera berdasarkan sudah banyak cadangan yang dibentangkan dari semasa ke semasa oleh golongan akademik dari universiti tempatan.
“Jawatan ini sangat penting dan menjadi nafas baru dalam membantu kerajaan melahirkan generasi muda yang lebih seimbang iaitu cemerlang akademik dan pembangunan insaniah,” katanya.
Hashim berkata demikian ketika mengulas kenyataan peserta Seminar Kebangsaan Kerja Sosial dalam Pendidikan anjuran Universiti Utara Malaysia, baru-baru ini yang bertujuan mengurangkan masalah sosial dalam kalangan pelajar.
Laporan akhbar menyebut, jawatan itu boleh dioptimumkan untuk menangani isu remaja yang terdedah dengan unsur negatif dari luar. PSS lebih menumpukan kerja dengan persekitaran sosial pelajar luar sekolah iaitu keluarga, rakan dan komuniti setempat.
Beliau berkata, gejala yang melanda pelajar dan remaja kini sudah sampai ke tahap merunsingkan masyarakat khususnya dalam kalangan ibu bapa. Fenomena itu perlu ditangani secara bersepadu.
Sungguh pun banyak pihak berusaha membendung masalah itu, namun katanya sikap buruk dan tingkah laku tidak beretika remaja semakin menjadi-jadi.
“Masyarakat tidak sanggup lagi terus menerus mendengar forum, seminar, perbincangan atau pun cadangan yang berakhir tanpa kesudahan,” katanya.
Mengulas fungsi utama PSS, Hashim berkata, jawatan PSS begitu diperlukan terutama di sekolah berisiko tinggi yang memerlukan pengawasan dan bimbingan berterusan. Jawatan itu perlulah dilantik dalam kalangan penduduk setempat.
Pemilihan itu katanya, bersesuaian dengan tugasnya sebagai penghubung persekitaran sosial pelajar di luar sekolah iaitu keluarga, rakan dan komuniti setempat.
Pemilihan PSS terlatih kata beliau, bertepatan dengan kehendak masyarakat untuk memperbaiki dan mengembalikan fungsi sosial individu ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup dalam usaha menjana modal insan sebagai pelapis pemimpin akan datang.
Berita Harian Online: 10 Disember 2010
1 ulasan:
Ya..saya setuju diadakan PSS tapio kena pilih betul-betul siapa yang jadi PSS sekolah..
Catat Ulasan