Rabu, 19 Mei 2010

Gotong-royong bersihkan Pantai Penyabong sempena Hari Guru

MERSING 18 Mei - Seramai 600 orang warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin, Endau mengadakan gotong-royong bersama penduduk Kampung Penyabong bagi membersihkan pantai di situ sempena sambutan Hari Guru, kelmarin.

Mereka adalah guru-guru serta ahli jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta beberapa agensi kerajaan.

Program anjuran PIBG sekolah itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Penyabong turut disertai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Mersing (MDM).

Ketua Kampung Penyabong, Wan Azman Wan Jusuh, 46, berkata, program tersebut amat bermakna kerana di samping menghargai jasa guru-guru, ia juga menanamkan rasa sayang terhadap pantai dan alam sekitar.

"Jika peserta merasai sendiri kesusahan mengumpulkan sampah seperti botol, plastik dan kertas tentu selepas ini mereka akan lebih prihatin terhadap kebersihan pantai ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Guru sekolah berkenaan, Shah Ridha Abdul Jalil, 36, turut melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada penduduk kampung serta agensi-agensi yang turut terlibat menjayakan program itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman pula berkata, program itu berjaya mencapai tujuannya iaitu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya golongan muda agar sentiasa peka terhadap kebersihan alam sekitar.

"Kita perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi untuk menjaga alam sekitar agar bebas daripada sebarang pencemaran supaya generasi akan datang turut merasai kehidupan yang selesa," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2010

Tiada ulasan: