Rabu, 26 Mei 2010

Kementerian siasat terperinci laporan

MUAR 25 Mei - Kementerian Pelajaran akan menyiasat secara terperinci berhubung laporan kes masalah disiplin membabitkan jenayah rogol dan pergaduhan di sebuah sekolah di Rawang, Selangor semalam.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti apa sebenarnya berlaku bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan.

"Kalau ada asas maka pihak pentadbir sekolah boleh mengambil tindakan, iaitu satu, kalau melanggar disiplin sekolah maka kementerian ada peraturan yang boleh dikenakan kepada yang melanggar kesalahan.

"Tetapi kalau ia lebih daripada batas disiplin iaitu berkaitan undang-undang maka kita boleh bawa perkara itu kepada pihak polis untuk menyiasat cara mendalam bagi memastikan apa yang diajukan itu benar berlaku," katanya selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri Pelajaran bersama warga pendidik Muar di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan akhbar StarProbe hari ini yang mendedahkan masalah disiplin sebuah sekolah di Rawang apabila pelajarnya didakwa terlibat dalam gangsterisme, samseng, merogol dan meminta wang perlindungan RM8 hingga RM36 seorang di sekolah. Laporan itu mendakwa, penduduk sekitar sekolah itu kini dalam ketakutan terhadap gejala pelajar sekolah itu yang didakwa terlibat dalam pergaduhan, minum arak, merokok.

Katanya, kementerian memandang berat masalah tersebut walaupun ia hanya dilaporkan oleh sebuah akhbar tetapi untuk berlaku adil ia perlu disiasat.

Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2010

Tiada ulasan: