Rabu, 26 Mei 2010

Tamparan ‘maut’ guru

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/05/26

KODIANG: Seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di sini, berdepan risiko menjadi pekak selepas gegendang telinga kirinya pecah dipercayai akibat ditampar seorang gurunya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, Mohd Khairul Azri Zulkifli, 11, murid Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, dekat sini, turut bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding selepas ditampar guru lelaki berusia 40-an itu.


Bapanya, Zulkifli Romli, 45, ketika ditemui berkata, pada hari kejadian anak bongsunya itu pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus tidur.


Dia berkata, tidak lama kemudian, anaknya mengadu kepada ibunya, Che Waqi Baharom, 45, telinga kirinya sakit dan selepas diperiksa didapati ada kesan darah.


“Apabila ditanya, barulah dia mengaku ditampar guru di sekolah. Saya membawanya ke klinik di Arau, Perlis, sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar, kira-kira jam 9 malam.


“Namun, pihak hospital kemudian merujuk anak saya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) keesokannya dan mereka mengesahkan gegendang telinga kiri Mohd Khairul Azri pecah. Pemeriksaan juga menunjukkan anak saya mengalami masalah dengan pendengarannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Menerung di sini, semalam.


Katanya, anaknya perlu menjalani rawatan susulan bulan depan dan sekiranya gegendang telinganya masih rosak, dia perlu menjalani pembedahan.


Mohd Khairul Azri ketika ditemui mengakui telinganya sakit selain masih mengalami masalah pendengaran.


Difahamkan, kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita mengarahkan murid dalam kelas Mohd Khairul Azri berpindah dari tingkat dua ke tingkat bawah blok bangunan sekolah itu.


Kebetulan, kelas di tingkat bawah itu masih digunakan murid tahun tiga bersama guru lelaki terbabit. Difahamkan, tindakan Mohd Khairul Azri memasuki kelas bersama tiga rakannya ketika guru lelaki itu masih di dalam kelas berkenaan mengundang kemarahannya.


Zulkifli berkata, guru terbabit memarahi anaknya dan tiga murid terbabit sebelum menampar keempat-empat mereka. Difahamkan, seorang daripada rakan Mohd Khairul Azri turut cedera di mulut apabila terjatuh ke lantai selepas ditampar.

“Saya kecewa dengan tindakan kasar guru itu. Dia sepatutnya tidak berbuat demikian terutama di depan lebih 30 murid lain. Malah, kejadian itu juga berlaku di depan guru wanita itu yang sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada guru besar,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kodiang, Ahad lalu.


Katanya, dia juga kecewa dengan pihak sekolah yang tidak memaklumkan kepadanya keputusan mesyuarat pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai kejadian itu, Ahad lalu.


Zulkifli berkata, walaupun masih sakit, anaknya tetap ke sekolah semalam dan kelmarin kerana perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.


Sementara itu, guru besar sekolah itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat kanak-kanak itu di rumahnya, Sabtu lalu dan sudah pun meminta maaf.

myMetro: 26 Mei 2010

3 ulasan:

pemerhati guru2 berkata...

Apa nak jadi dengan manusia sekarang, semakin panas baran tak tentu arah.

Barangkali, perlu setiap kelas di sekolah dipasang dengan aircond supaya semua guru2 40an SEJUKKK dan tak naik darah bila menhadapi karenah2 yang seumpama ini.

Tanpa Nama berkata...

saya tidak hairan jika ada guru yang terikut perasaan ketika berhadapan dengan murid yang tidak berdisiplin. Untuk pengetahuan umum, hari ini guru berhadapan dengan situasi yang sangat lain kerana murid sekarang bukan macam zaman 70an, 80an atau 90an. Murid dahulu sangat hormat dengan guru. Sesetengah murid hari ini terutama sekali di bandar, guru di hadapan pun mereka tidak nampak apa lagi hendak mengucapkan 'Selamat Pagi Cikgu ' itu jauh sekali. Saya ingat lagi ketika saya belajar di menengah rendah ada seorang guru lelaki yang kecil lagi pendek. Guru ini berasal dari Melaka. Guru ini sangat tegas dan kebetulan dia adalah guru disiplin sekolah. Tetapi walau pun guru ini tegas dan rasanya bersikap garang kepada kami semua namun ramai murid yang takut dan menghormati guru ini kerana setiap kemarahan guru disiplin ini ada sebabnya. Ada kalanya murid yang bersalah dirotan tidak terkecuali saya kerana sebagai murid yang agak nakal di sekolah ada sahaja perbuatan kami yang tidak disukai oleh guru berkenaan. tetapi kami tidak pula melawan apa lagi berdendam denga guru berkenaan wal hal dia guru semenanjung. Kami tetap menghormati guru disiplin kami sehinggalah beliau berpindah balik ke semenanjung. Kami rasa sebagai seorang pelajar ketika itu amat kehilangan seorang guru yang mementingkan disiplin ketika berada di sekolah atau di rumah.Disebabkan sikap guru inilah maka kumpulan saya sekitar 79-82 kebanyakannya masuk universiti dan dapat pekerjaan yang baik.
Suatu hal yang amat menjengkelkan saya pada hari ini ialah sikap pelajar yang tidak tahu menghormati guru. Bayangkan guru di hadapan murid tidak nampak apa lagi nak 'mengucapkan Selamat Pagi Cikgu' itu jauh sekali. Bila disiasat murid ini anak pegawai. Ramai murid di sekolah sememangnya tidak takut kepada peraturan seolah.
Punca semua masalah ini ialah sistem peraturan yang ada sekarang sangat mengongkong guru. Tangan guru sebenarnya diikat dari belakang. Mata dan mulut guru dikunci. Yang dibenarkan hanya bercakap tentang isi pelajaran sahaja. Pandang murid pun kena hati-hati. Apabila sistem peraturan guru begini rupa maka pelajar dan sesetengah ibubapa mengambil kesempatan untuk mengambil tindakan undang-undang, laporan polis atau datang ke sekolah seperti orangg besar menyalahkan guru jika ada masalah anak-anak mereka berlaku disekolah.

Tanpa Nama berkata...

Apa yang dikatakan oleh tanpa nama dalam komen kedua bertarikh 31 mei itu memang sangat benar dan memang satu fakta. Pelajar sekarang berlainan dengan pelajar dahulu kerana persekitaran sekarang sudah berubah.

Namum begitu, satu perkara yang sangat penting dan MAHA PENTING...

Sejahat mana pelajar itu, sebiadab mana pelajar itu, apabila keadaan berlaku di mana mereka ini menimbulkan kemarahan...perkara pertama yg perlu dilakukan adalah... MENGUCAP... atau BERISTIGFAR!!!!! Perkara yang tidak diingini berlaku adalah melakukan sesuatu yang mencederakan sehingga melibatkan pendarahan atau kecacatan!!! masya-Allah... mereka adalah anak didik yang diamanahkan dan kenakalan/perbuatan jahat/melampau mereka adalah UJIAN ALLAH!