Sabtu, 14 Ogos 2010

110 guru Labuan terima anugerah cemerlang

LABUAN 13 Ogos - Seramai 110 pegawai dan guru menerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 peringkat Jabatan Pelajaran Labuan yang diadakan di Dewan Serbaguna SJKC Chi Wen, kelmarin.

Mereka ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Pelajaran Labuan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dari 21 buah sekolah menengah dan rendah di pulau ini.

Dua orang pegawai iaitu Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Ag Marten Abd Rahman dan guru cemerlang SMK Pantai, Noraini Abdul Rahman menerima APC 2009 daripada Kementerian Pelajaran.

Penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, hadiah prestasi sebanyak RM1,000, peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya, peluang bagi pencalonan untuk menerima pingat serta nama dan gambar akan dipamerkan di pejabat di lokasi yang strategik.

Semua anugerah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Labuan, Mohammad Zaki Mohd Yusof di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Mohd. Salekhan Othman selaku pengerusi AJK Penganjur APC 2010, pegawai kanan Jabatan Pelajaran Labuan, Pengetua dan Guru Besar.

Dalam ucapannya, Mohd Zaki berkata pencapaian prestasi yang cemerlang dan kejayaan sepanjang 2009 adalah hasil daripada keazaman dan komitmen oleh individu itu sendiri.

Katanya, sikap positif berkenaan yang dimiliki oleh penerima APC sewajarnya dibudayakan dan diteruskan untuk meningkatkan imej organisasi.

"Melalui kaedah pembudayaan perkhidmatan cemerlang mampu merealisasikan matlamat Wilayah Persekutuan Labuan untuk menjadi pusat kecemerlangan pelajaran di negara ini,'' katanya.

Beliau menasihatkan semua warga pendidik supaya meneruskan usaha mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu dan putus asa.

Mohd. Zaki berharap, kecemerlangan yang dicapai sekarang akan menjadi nadi dan perangsang untuk terus meraih kejayaan serta kecemerlangan pada masa akan datang.

"Semoga dengan kasih sayang yang kita curahkan untuk mendidik anak bangsa akan mendapat keberkatan daripada Tuhan," katanya.

Majlis APC itu diserikan lagi dengan persembahan koir oleh kakitangan Jabatan Pelajaran Labuan.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2010

Tiada ulasan: