Jumaat, 13 Ogos 2010

SRJK (C) Jalan Davidson juara robotik

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kehebatan robot yang mampu membancuh teh tarik dan menghidangkan muruku membolehkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Jalan Davidson di sini muncul juara Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat Wilayah Persekutuan 2010.

Pertandingan tersebut di Pusat Sains Negara di sini hari ini.

Guru sekolah tersebut, Thien Lee Yin berkata, pasukannya memilih muruku dan teh tarik kerana ia adalah makanan popular rakyat Malaysia.

"Tema bagi kategori terbuka adalah 'robot mempromosikan pelancongan' dan kami telah lama berfikir apakah idea yang patut dimasukkan dalam robotik.

"Akhirnya, kami mendapati muruku dan teh tarik paling bagus untuk diaplikasikan serta ia berpotensi menceritakan budaya Malaysia," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu yang disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Abdul Halim Ismail.

Menurut Lee Yin, kemenangan itu melayakkan pasukannya mewakili Wilayah Persekutuan pada pertandingan robotik peringkat kebangsaan di Kuantan pada 25 hingga 27 September ini.

"Kami akan bekerja keras membolehkan pasukan ini menjadi johan bagi peringkat kebangsaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengubah sistem pendidikan kepada satu transformasi baru untuk membina sistem kurikulum yang teratur.

"Sains telah menjadi aspek yang penting dalam pendidikan kerana kerajaan ingin menerokai inovasi dalam teknologi untuk bersaing di arena antarabangsa," tegasnya.

Katanya, bidang robotik adalah unsur yang wujud daripada kreativiti dan inovasi serta memerlukan perhatian berterusan semasa penciptaan.

Utusan Malaysia Online: 13 Ogos 2010

Tiada ulasan: