Isnin, 2 Ogos 2010

Tingkatkan keselamatan pelajar


Keselamatan dan kesihatan murid di luar kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius daripada kerajaan, ibu bapa dan masyarakat. - gambar hiasan


KISAH tragis seorang pelajar perempuan ditarik ke dalam kereta dan cuba dirogol ketika beliau sedang menunggu ibunya datang di luar kawasan sekolah memang sangat menakutkan para ibu bapa. Begitu juga dengan kisah pemandu van sekolah 'gila seks' yang sanggup merogol kanak-kanak yang ibu bapa telah memberikan rezeki kepadanya. Terbaru, kes mencabul kehormatan serta deraan yang dilakukan oleh guru-guru 'hilang akal' terhadap pelajar-pelajar yang begitu menghormati mereka di sekolah.

Malah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah mengeluarkan kenyataan supaya masalah samseng di kalangan remaja sekolah diambil tindakan yang serius. Malah setiap hari kisah keselamatan pelajar yang pergi balik sekolah semakin mendapat tempat di media utama negara.

Maka di sinilah pendidikan berkaitan keselamatan diri sangat penting. Melalui pendidikan pelajar seharusnya dibina keinsanan melalui program-program pembinaan diri secara teratur, berkala dan penilaian yang berterusan. Sebagai contoh apabila sekolah melaksanakan minggu suai kenal untuk pelajar baru di asrama, dua perkara pokok yang perlu ditekankan ialah kasih sayang dan perkongsian.

Selain masalah buli, gaduh dan serangan fizikal, ada juga isu-isu lain mengenai tahap keselamatan di sekolah yang juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Misalnya, laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan daripada 40,124 buah bas sekolah yang diperiksa oleh Puspakom sebanyak 16,697 gagal dalam ujian keselamatan.

Walaupun Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan setiap bas diperiksa setiap enam bulan sekali, ada pemilik bas sekolah yang gagal untuk melaksanakan peraturan tersebut atas faktor kos atau kealpaan mereka sendiri.

Bagaimana pula dengan bas, van serta 'kereta sapu' yang 'melarikan diri daripada diperiksa' walaupun kenderaan ini pada setiap hari mengangkut anak-anak ulang-alik ke sekolah. Jumlahnya tentulah lebih besar daripada jumlah yang dinyatakan oleh pihak JPJ.

Jika pembaca membuat pemerhatian rambang, cara dan budaya penggunaan bas pun amat berbahaya sekali. Malah ada pelajar yang tersungkur di dalam bas kerana belum sempat duduk, bas sudah memecut laju. Penulis sendiri pernah melihat peristiwa seorang pemandu bas yang memandu laju sehingga seorang pelajar perempuan yang berdiri di tangga bas terhumban keluar daripada bas dan mengalami kecederaan parah di kepala gara-gara sikap pemandu bas yang cuai.

Malah bilangan pelajar di dalam bas juga biasanya melampaui bilangan yang dibenarkan. Keuzuran bas juga sangat mencemaskan dan kebanyakan bas sekolah yang beroperasi ini menggunakan bas mini wilayah yang terkenal sekitar tahun 1970-an di Bandaraya Kuala Lumpur dulu.

Selain itu, keselamatan sekolah kita juga merujuk kepada masalah keracunan makanan yang kerapkali berlaku. Malah sesetengah ahli masyarakat sudah tidak mengambil pusing berkaitan isu keracunan makanan di sekolah disebabkan selalu sangat mendengar kisah tersebut di kaca televisyen serta di dada akhbar.

Pada tahun 2008 dilaporkan kes keracunan makanan di sekolah adalah 448 kes di seluruh negara, bertambah daripada tahun 2007 sebanyak 412 kes. Daripada jumlah tersebut 31 peratus berlaku di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah.

Malah dua bulan pertama bagi tahun 2009 telah mencatatkan kes keracunan makanan di sekolah sebanyak 31 kes yang melibatkan 3 buah sekolah rendah. Kes-kes ini nampaknya semakin meningkat tanpa sebarang kenyataan yang tegas oleh pihak Kementerian Pelajaran tentang cara menangani serta jaminan bahawa kes seumpamanya tidak akan berulang lagi.

Tahap keselamatan sekolah juga diragui oleh pihak ibu bapa apabila beberapa laporan akhbar berkaitan dengan kelakuan pelajar lelaki dan juga kes-kes guru lelaki yang bertopengkan manusia melakukan pencabulan kehormatan dan rogol terhadap pelajar perempuan. Walaupun kes-kes seperti ini masih terpencil tetapi ini tidak bermakna salah laku ini tidak akan meningkat jika tiada usaha membendungnya dilakukan oleh pihak sekolah.

Soalannya sekarang, apakah kes-kes keselamatan sekolah ini boleh diatasi? Apakah langkah segera, jangka pendek serta jangka panjang yang harus diambil oleh pihak sekolah. Di pihak Kementerian Pelajaran, apakah pula dasar dan peraturan yang boleh disemak semula agar tahap keselamatan sekolah menjadi keutamaan dan dilihat sedang melakukan tindakan yang sewajarnya. Berikut mungkin beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan.

Sebagai langkah segera, pihak sekolah perlu mengenal pasti kawasan dan masa yang berpotensi untuk sesuatu perlakuan yang boleh menggugat keselamatan sekolah boleh berlaku.

Utusan Malaysia Online: 3 Ogos 2010

Tiada ulasan: