Jumaat, 6 Ogos 2010

Keputusan benar guru aktif politik diperinci

2010/08/06

SUNGAI SIPUT: Kerajaan akan mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat bagi memperincikan lagi keputusan membenarkan guru siswazah terbabit aktif dalam politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata pekeliling itu bagi memberi garis panduan, khususnya kepada pengetua dan guru besar untuk menguruskan guru siswazah yang berpolitik seperti meluluskan permohonan cuti bagi urusan politik.

"Kita akan memperjelaskan lagi perkara ini supaya pengetua dan guru besar lebih memahami bentuk kebenaran yang diberikan dan bagaimana mahu mengendalikan guru yang mahu aktif berpolitik.

“Begitupun, ia akan dipastikan tidak menjejaskan Peraturan-Peraturan Am Perkhidmatan Guru (PAPG) sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab sempena Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Bersama Warga Pendidik Daerah Kuala Kangsar di Pusat Konvesyen Sungai Siput di sini, semalam.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyatakan berkuat kuasa 1 Ogos lalu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik.

Muhyiddin berkata, kerajaan hanya memberi kebenaran kepada guru siswazah dan tidak penjawat awam lain untuk bergiat aktif dalam politik.

Katanya, ini disebabkan kerjaya perguruan dianggap istimewa, selain mempunyai tempoh bekerja fleksibel serta lebih memahami masalah rakyat peringkat akar umbi.
“Dari segi sejarah, guru sudah membuktikan daya kepemimpinan mereka dalam hiraki politik serta berperanan penting menggerakkan nasionalisme yang kini dirasakan kehilangannya selepas mereka dilarang aktif berpolitik,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan guru yang mahu aktif berpolitik supaya perlu memiliki kebijaksanaan, khususnya dalam pembahagian waktu kerana tanggungjawab utama mereka adalah untuk mendidik pelajar menjadi warga berguna kepada negara.

Berita Harian Online: 6 Ogos 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Baguslah macam tu..jangan ada guru yang lebih besar kepala daripada Guru Besar atau Pengetua. Ada satu kejadian dimana seorang guru biasa memegang jawatan Setiausaha Parti peringkat bahagian ( tempat rahsia)merasmikan satu majlis di sekolah sendiri dengan Guru Besarnya menjadi Yang Berusaha dan si guru biasa tu pula terpaksa di panggil Yang Berbahagia pada masa tu kerana Ketua tidak hadir. Jadi macam mana????Tak eloklah dipandangan mata..