Ahad, 1 Ogos 2010

Siling Sekolah Menengah Tinggi Melaka runtuh



YAAKUB Md. Amin (kanan) mengatakan sesuatu kepada Gan Tian Loo semasa melawat runtuhan sebahagian siling Pusat Sumber SMK Tinggi Melaka akibat dimakan anai-anai, Banda Hilir, semalam.


MELAKA 31 Julai - Siling pusat sumber Sekolah Menengah Tinggi Melaka di Banda Hilir dekat sini runtuh awal pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan kerana ia berlaku sebelum pelajar menggunakan pusat sumber tersebut.

Kejadian itu hanya disedari seorang guru bertugas yang membuka pintu pusat sumber itu kira-kira pukul 8 pagi dan mendapati sebahagian silingnya runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md. Amin yang mengunjungi tempat kejadian lega kejadian itu berlaku sebelum pusat sumber itu beroperasi.

"Jika ia berlaku ketika pelajar sedang menggunakan pusat sumber ini, mungkin ada pelajar yang akan tercedera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Yaakub, kejadian itu dipercayai berlaku akibat kayu alang siling tersebut reput dan dimakan oleh anai-anai.

Beliau berkata, pusat sumber itu ditutup serta-merta buat sementara waktu bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya negeri menyiasat punca kejadian.

"JKR akan melihat keseluruhan siling dan bumbung di sekolah tersebut bagi memastikan adakah ia selamat untuk digunakan," katanya.

Sekolah Menengah Tinggi Melaka yang mempunyai kira-kira 1,400 pelajar dan 125 guru itu adalah sekolah tertua di negeri ini dan mula dibina pada 1826.

Tiga Ketua Menteri iaitu Datuk Adib Adam, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pernah bersekolah di situ.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2010

Tiada ulasan: