Ahad, 5 Disember 2010

576 sekolah amat kritikal

KOTA BELUD 4 Dis. - Kira-kira 576 daripada 9,600 sekolah yang telah diaudit di seluruh negara dikenal pasti amat kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, usaha menaik taraf sekolah berkenaan akan dilaksanakan awal tahun depan melibatkan peruntukan awal sebanyak RM500 juta.

"Sebanyak enam peratus daripada 9,600 buah sekolah yang diaudit jawatankuasa fizikal pengauditan sekolah di seluruh negara berada dalam kategori kritikal.

"Kita berharap pada tahun hadapan akan dapat peruntukan awal sebanyak RM500 juta," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanamun, Pinjaman Hassin.

Pada majlis itu, Puad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina bangunan baru menempatkan enam bilik darjah di SK Nanamun.

"Mesej yang saya terima daripada Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju untuk membina bilik darjah baru SK Nanamun ini yang diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.

Menurutnya, usaha menaik taraf sekolah-sekolah terbabit akan melibatkan pembinaan bilik darjah dan rumah guru yang dikategorikan sebagai amat kritikal.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini pihak kementerian telah memulakan usaha menaik taraf asrama pelajar melalui peruntukan RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Sebanyak RM20 juta daripadanya diberikan untuk Sabah, RM20 juta untuk Sarawak dan RM10 juta untuk Semenanjung bagi menaik taraf asrama-asrama usang yang dikategorikan amat kritikal," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 45 projek pembinaan sekolah di negara ini dikenalpasti sebagai 'projek sakit'.

"Kalau hendak dibandingkan dengan kira-kira 17,000 projek kita, maka 45 projek sakit ini memang kecil tetapi kita tidak pandang ringan dan ambil tindakan seperti menyenarai hitam kontraktor terbabit," ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 5 Disember 2010

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa baru sekarang (disember 2010) baru pihak kementerian sedar dan mata terbuka melihat kesengsaraan dan kedaifan sekolah2 di kota belud. kemana pihak ini selama 53 tahun negara merdeka? tak BUAT KERJA KER?

576 sekolah amat kritikal.. banyak tu...

Tanpa Nama berkata...

malas naik kapal terbang dan masuk hutan di Sabah dan Sarawak kerana jalan di sini yang dikatakan highway sama seperti jalan kampung di selangor.

masa dulu tiada kepentingan di Sabah bah. Sekarang ni Kerajaan baru menteri baru orang baru bertenaga dan prihatin seperti Dr fuad.Ini macamlah YB yang kita mahu bertul=betul buat kerja untuk rakyat

Yang dulu2 tu hanya kuat suara di parlimen yang mereka tak nampak pun cakap sahaj

Tanpa Nama berkata...

Keadaan ini normal. Bila kuasa mula terancam, maka baru nak kerja bersungguh. Masa selesa tak kisah sangat.

Tanpa Nama berkata...

Sebab itulah subsidi dikurangkan...harga minyak dan gula dinaikkan.
"

kamanuk berkata...

Kalau gitu menteri-menteri dulu tu makan siang-siang le...

Saya cadangkan YB Dr. Fuad di naikkan jawatan ke Menteri Pelajaran Malaysia sebab apa dialah satu-satunya TM Pelajaran yang sukan masuk kampung. Pendek kata prihatin le..

Tanpa Nama berkata...

ha.ha.ha.ha.ha.ha.haa,,,,,,,