Rabu, 8 Disember 2010

Pastikan guru terlatih ajar Pendidikan Kesihatan - PIBGN

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Pelajaran perlu memastikan guru yang mengajar subjek Pendidikan Kesihatan di setiap sekolah mempunyai kelayakan yang sepatutnya sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah tersebut perlu diberi tumpuan agar pelaksanaan Pendidikan Kesihatan kelak tidak terpesong daripada objektif sebenar pelaksanaannya.

Katanya, setiap perancangan daripada kementerian perlu ada tindakan susulan bagi memastikan setiap apa yang dirancang tercapai.

"Para guru perlu dilatih semula kerana mereka seolah-olah tidak yakin dan kurang pengetahuan tentang kaedah yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.

"Jika modul dan panduan sahaja yang hebat tetapi guru tidak bersedia, memang sukar untuk melaksanakan pengajaran subjek tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai Pendidikan Kesihatan yang akan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain mulai tahun hadapan.

Mohd. Puad berkata, bermula tahun depan, Pendidikan Seks terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan akan menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers).

Menurut Mohamad Ali, Pendidikan Kesihatan bukan suatu kaedah pengajaran yang mudah sebaliknya memerlukan seorang pendidik yang betul-betul terlatih serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang itu.

Bagaimanapun katanya, PIBGN tetap menyokong hasrat kementerian untuk melaksanakan subjek tersebut kerana ia mampu membimbing pelajar ke arah kebaikan.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menjayakan hasrat kerajaan ini, jangan pula selepas ini ada bantahan kerana ia diperkenalkan di peringkat sekolah rendah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bersetuju Pendidikan Kesihatan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain.

Katanya, Pendidikan Kesihatan tidak perlu digabung dengan mana-mana subjek kerana ia memerlukan tumpuan yang mendalam terhadap isi kandungan yang akan diajar.

"Sebelum ini Pendidikan Seks hanya diajar dengan diselitkan dalam subjek tertentu dan ia terbukti gagal untuk membendung pelajar daripada terlibat dalam masalah sosial," katanya.

Bagaimanapun katanya, apa yang perlu dilakukan kini adalah memantapkan bahan sedia ada di dalam kokurikulum sekolah terutama membabitkan buku-buku panduan mengajar Pendidikan Kesihatan.

Utusan Malaysia Online: 8 Disember 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Untuk penegtahuan semua, Pendidikan jasmani& Pendidikan Kesihatan bukanlah mata pelajaran yang diutamakan di sekolah skrg ini. Subjek ini digunakan utk mengajar subjek peperiksaan UPSR khasnya thn 6. Ramai guru yg ajar PJ/PK bukanlah guru terlatih dlm bidang ini. mereka disuruh mengajar PJ/PK hanya utk mencukupkan minit mengajar shj. harap menteri, KPPM tahu apa yg berlaku ini.

Tanpa Nama berkata...

Wahai Cikgu-cikgi, saya dulu pun cikgu jugak. Untuk nak jaga prestasi sekolah, PJ, Jawi (Guru Besar yg ajar)dan Lukisan (Pendidikan Seni) tak diajar selama hampir setahun dalam darjah 6. Sekolah cipta dua jadual. Satu jadual yg betul2 (bukan cobaaan) dan sati lagi jadual macam anjal lah. Jadi waktu PJ, Jawi dan Lukisan ni, diagihkan kepada Mate dan BI. Bila Nazir atau ada pelawat dtg, ikut jadual yang betul. Itu murid pelik kenapa ada PJ ari ni, baju utk PJ tak dibawa. Masa tu yg kena tegur ialah guru PJ lah. Kena buat laporan, mengapa ajar PJ dgn pakain seragm sekolah ... Begitulah sistem pendidikan kita.

kamanuk berkata...

Ramai guru opsyen PJPK di sekolah.GB/Pengetua kena tau ini. Jangan abaikan. Pegawai di Sektor Akademik bukalah fail lama cek siapa guru opsyen PJPK lepas tu panggil le kursus. Ini apa..