Isnin, 27 Disember 2010

Semesta kekal rekod sekolah terbaik 5 tahun

RAUB 26 Dis. - Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta) di sini mengekalkan rekod apabila menjadi sekolah terbaik selama lima tahun berturut-turut di negeri ini selepas 103 daripada 128 pelajarnya memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.

Pengetua Semesta, Kamaruddin Kasim berkata, pencapaian 81 peratus semua A itu membuktikan perancangan yang baik dan usaha bersungguh-sungguh mampu meraih kejayaan cemerlang.

Katanya, sekolah itu memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.01 berbanding 1.02 tahun lalu dan 1.05 pada 2008.

"Mata pelajaran yang mendapat 100 peratus A tahun ini juga meningkat daripada tiga kepada lima subjek iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, pada tahun lalu seramai 108 daripada 125 pelajar atau 86.4 peratus memperoleh semua A dalam PMR.

Beliau berkata, pada 2005 seramai 88 pelajarnya mendapat 8A atau 63.31 peratus (GPS 1.096) dan pada 2006 seramai 81 pelajar mendapat 8A atau 65.32 peratus (GPS 1.105).

Pada 2007 katanya, seramai 95 pelajar mendapat 8A atau 67.86 peratus dengan GPS 1.059 manakala pada 2008 seramai 94 pelajar mendapat 8A dengan 73.44 peratus dan GPS 1.05.

"Amalan budaya kerja yang diterapkan seperti membina sikap bertanggungjawab terhadap diri dan organisasi banyak mendorong pencapaian cemerlang ini," katanya.

"Guru dan pelajar mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan kerana ia memberi kesan positif terhadap kecemerlangan pendidikan.

"Konsep ini diterapkan kepada tenaga pengajar dan pelajar supaya mereka sentiasa berusaha keras mencapai yang terbaik dalam semua bidang diceburi," katanya.

Menurut Kamaruddin, guru dan pelajar juga digesa menjauhi sindrom selesa bagi mengelakkan mereka leka terhadap tanggungjawab masing-masing.

Beliau juga memuji peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Alumni SEMESTA dan masyarakat yang sentiasa membantu terutama di segi penyaluran dana.

Sementara itu, pelajar terbaik PMR 2010 SEMESTA, Shamsul Ammar Shamsul Baharin, 16, berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak heranlah... kalau 100 tahun berturut-turut pun. kalau dah murid-mutid terpilih je kat sekolah tu. Cubalah ambil murid-murid yg kureng sikit.... kalau dpt meningkatkan prestasi, barulah boleh dibanggakan.

kamanuk berkata...

Tahniah kepada Semesta kerana dapat mengekalkan prestasi terbaik.Namun begitu pencapaian prestasi sekolah ini tidak boleh dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain kerana sekolah ini mempunyai pelajar yang terpilih pandai dari tingkatan satu berbanding sekolah-sekolah lain yang hanya menerima pelajar yang diamanahkan ke sekolah terdekat..Tak heran..le

Kalau keputusan sekolah ini dibuat perbandingan dengan pencapaian sekolah-sekolah luar bandar khususnya di Sabah saya rasa PK1 atau Pengetuanya tolol