Sabtu, 19 Februari 2011

2 sekolah Terengganu diiktiraf SBT

KUALA TERENGGANU 18 Feb. - Pengiktirafan dua buah sekolah di negeri ini sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Kedua 2011 menjadi asas kepada pencapaian yang lebih bear pada masa depan.

Selain membanggakan seluruh warga pendidik di negeri ini, ia menjadi perangsang bagi sekolah-sekolah lain meningkatkan kecemerlangan akademik dan menempa nama dalam pelbagai pertandingan di persada negara dan antarabangsa.

Ketua Sektor Pengurusan dan Akademik Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Zubir Embong, pemilihan Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman adalah tepat.

''Biarpun pihak jabatan mensasarkan tiga buah sekolah setiap tahun menerima pengiktarafan tersebut namun dua buah sekolah itu sudah memadai untuk peringkat permulaan," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyenaraikan 23 buah sekolah lagi yang diiktiraf sebagai SBT bagi Kohort Dua menjadikan jumlah keseluruhannya 43 buah setakat ini.

Sebelum ini, sebanyak 20 buah sekolah telah diumumkan sebagai SBT pada tahun 2010 namun tiada sekolah di negeri ini tersenarai dalam kelompok perintis itu.

Menurut Zuber, apa yang penting langkah untuk mengekalkan prestasi sekolah berkenaan di tahap yang paling cemerlang terus dilakukan selain merealisasikan sasaran tiga buah sekolah SBT setiap tahun pada masa akan datang.

"Dalam usaha ke arah itu, pelaksanaan melalui pelan induk Hala Tuju Pembangunan Pendidikan Negeri Terengganu akan digerakkan merangkumi pelbagai agenda dan program untuk sekolah tersebut.

"Pengiktirafan ini juga membakar semangat kita untuk terus melahirkan mereka-mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan seterusnya mencapai hasrat kerajaan melaksanakan pendidikan terbilang Terengganu pada masa depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam usaha menempatkan sekolah-sekolah dalam kelompok SBT, pihak jabatan telah melakukan lawatan ke beberapa buah sekolah yang telah diiktiraf untuk meninjau perkembangannya.

"Kecemerlangan kita di dalam bidang pendidikan telah diakui namun ada beberapa perkara yang kita masih tidak memenuhi spesifikasi kementerian pada tahun lalu menyebabkan kita gagal terpilih.

"Justeru itu, dengan pengiktirafan dua buah sekolah ini membolehkan ia menjadi penanda aras buat sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.

''Kita mahu memastikan sasaran untuk mencapai tiga buah sekolah SBT setiap tahun tercapai dan ini menuntut komitmen semua pihak," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 19 Februari 2011

Tiada ulasan: