Isnin, 21 Februari 2011

Sekolah mesti dibina lebih teliti

MIRI 20 Feb. – Kerajaan mahu projek pembinaan bangunan-bangunan sekolah dibuat secara lebih teliti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlakunya masalah seperti retakan kepada struktur bangunan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian terhadap tanah khususnya di kawasan tanah tinggi misalnya, perlu diberi tumpuan utama bagi memastikan bangunan sekolah itu tahan lama.

Sebagai contoh katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Luping dan SK Long Sukang di Lawas yang menelan kos pembinaan berjuta-juta ringgit, namun tidak sampai tujuh tahun bangunan sekolah itu tidak dapat digunakan kerana masalah pemendapan tanah yang menyebabkan bangunan retak.

“SK Long Luping misalnya, siap pada 2005 dengan membabitkan kos RM5 juta, namun akhirnya dua bangunan tidak dapat digunakan iaitu blok pentadbiran dan asrama.

“Masalah utama adalah kerana pemendapan tanah disebabkan kebanyakan sekolah tersebut dibina di atas tanah tinggi iaitu di kawasan pergunungan.

“Jadi, kita berharap masalah ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat Sekolah Menengah (SM) Sains Miri dekat sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca utama kebanyakan sekolah-sekolah di Sarawak mengalami masalah keretakan di bangunan sehingga tidak dapat digunakan.

Mohd. Puad berkata, untuk mengatasi masalah itu, kementerian telah meluluskan peruntukan RM3.5 juta bagi SK Long Luping dan RM2.5 juta lagi untuk SK Long Sukang bagi mengatasi masalah cerun yang mendap dan menaik taraf kemudahan di sekolah itu.

Katanya, tender untuk SK Long Luping akan dibuka minggu depan, manakala SK Long Sukang yang melibatkan pembinaan bangunan sekolah pasang siap pula sudah 40 peratus dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Semasa lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta dengan RM1.4 juta untuk membina bangunan kelas sementara dan RM600,000 lagi digunakan untuk kajian pemendapan tanah di Sekolah Menengah (SM) Sains Miri.

Beliau menambah, pembinaan kelas sementara itu melibatkan empat blok bangunan yang diperbuat daripada fiber komposit yang mempunyai lapan buah bilik kelas, tambahan kepada 12 bilik kelas yang sedia ada.

Sebelum ini, pelajar dan kakitangan SM Sains Miri diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Baram berikutan terdapat bangunan yang retak dan tidak selamat digunakan tetapi ia dibatalkan.

“Oleh sebab cadangan berpindah itu dibatalkan, maka kementerian bersetuju meluluskan peruntukan tersebut untuk membina bangunan sementara menunggu bangunan kekal,” katanya.

Pada lawatan itu juga, beliau turut mengumumkan peruntukan RM510,000 untuk membantu Sekolah Menengah Agama Miri di Bakam selepas bumbung asrama terbakar tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 21 Februari 2011

4 ulasan:

Guru Limbang berkata...

Kualiti binaan bangunan Sekolah di Sarawak memang kategori gred C. Bayangkan suiz untk lampu pun kita tekan boleh termasuk dalam dan patah dengan mudah.
Kipas sekolah pun bukan yang jenis berjenama yang terbukti tahan seperti Panasonic, KDK. Manala nak tahan kipas tu, pusing je macam hidup segan mati tak mahu. Itu belum lagi masuk sistem pendawaian yang cacamerba.
Mana pergi peruntukan yang diberi tu kalau tak dimakan sendiri oleh kontraktor yang dilantik.Dalam pelan rancangan semua ada, sekali buat, semua jadi 'downgrade'
Apa cerita?!

Tanpa Nama berkata...

Biasaklah tu. kat mana-mana pun camtu lah cikgu....

dusunsabah berkata...

Macam mana kualiti bangunan sekolah baik kalau main subkontrak je. Semua orang hendakkan untung. Itulah sebab usia bangunan sekarang teruk..kontraktor besarnya dari seberang orang-orang kanan pak menteri jadi yang disini dapat subkontrak je....

Tanpa Nama berkata...

jgn kata sekolAH di sarawak, SK Semenyih di selangor ada bangunan 4 tingkat siap thn 2006 tiada cf tapi diduduki juga dgn tandasnya tak boleh digunakan, bangunan pun dah nmpak uzur kalau tgk betul2 lantai simennya dah pecah2 mcm nak tunggu runtuh