Rabu, 9 Februari 2011

Guru tipu diculik minta RM1,000

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

2011/02/09

Lelaki berpakat dengan rakan guna wang tebusan beli ganja

KUANTAN: Gara-gara terdesak mendapatkan duit untuk membeli dadah, seorang guru sekolah rendah berpakat dengan dua rakannya menipu isterinya dengan mendakwa bahawa beliau diculik dan meminta wang tebusan RM1,000 bagi membebaskannya.

Dalam kejadian di Temerloh, Sabtu lalu, guru berusia 30 tahun itu mengarahkan seorang daripada rakannya menyamar dan menghubungi isterinya bagi memaklumkan suaminya ‘diculik’ sejak Jumaat lalu.

Rakan guru terbabit juga meminta wanita berusia 30 tahun itu menyediakan wang tebusan jika mahu suaminya dibebaskan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata mangsa yang ketakutan kemudian menghubungi Balai Polis Temerloh memaklumkan kejadian berlaku sebelum polis menyusun strategi dengan meminta mangsa menuruti arahan suspek.

“Sebaik mangsa meninggalkan wang tebusan di tepi tong sampah seperti diarahkan, sepasukan anggota polis membuat intipan melihat seorang lelaki mengambil bungkusan itu.

“Lelaki terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Temerloh untuk siasatan sebelum suspek mendedahkan dua lagi rakannya sedang menunggu dalam kereta, tidak jauh dari bangunan berkenaan.

“Polis kemudian membuat serbuan terhadap kereta berkenaan dan menahan dua lagi suspek sebelum dibawa ke IPD Temerloh dan memanggil mangsa berhubung penahanan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Md Nor berkata, sebaik tiba di IPD Temerloh, mangsa terkejut apabila mendapati dalang sebenar perbuatan terbabit adalah suaminya sendiri.

“Siasatan awal mendapati, suami mangsa mengaku melakukan perbuatan terbabit kerana terdesak untuk mendapatkan wang RM1,000 dipercayai untuk membeli ganja,” katanya.

Berita Harian Online: 9 Februari 2011

Tiada ulasan: