Khamis, 24 Februari 2011

Inovatif patut jadi syarat guru naik pangkat

2011/02/24

MENARIK sekali pandangan Dr Kamal Jit Singh yang disiarkan akhbar ini pada 19 Februari lalu mengenai pemikiran inovatif.

Sekolah memang tempat paling sesuai melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Guru perlu terlebih dulu memiliki pemikiran inovatif untuk menjadi perangsang kepada pelajar yang inovatif.

Bukan sekadar guru yang mengutamakan kelulusan dan memberi maklumat kepada pelajar untuk dihafal dalam peperiksaan.

Ramai guru berkeupayaan untuk melakukan inovatif. Setiap tahun, pada Hari Guru juga ada anugerah Guru Inovatif.

Lebih ramai guru boleh melakukan inovatif jika diberi insentif.
Oleh itu, dalam usaha kita mencari alternatif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam termasuk guru, unsur guru inovatif wajar dijadikan kriteria penting untuk kenaikan pangkat, pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Guru Cemerlang.
Guru inovatif mempunyai pengalaman dan idea untuk merenung masalah dalam profesion, mencari jalan penyelesaian, menyusun strategi, mengubah suai strategi, melaksanakan program, membuat penilaian, menunjukkan demonstrasi, serta dokumentasi.

Setidak-tidaknya guru boleh membuat kajian tindakan dalam P&P. Hasil kreatif dan inovatif mereka boleh menjadi rujukan guru lain.

Sekolah perlu mempunyai jawatankuasa penilai untuk ketelusan pemilihan. Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan profesion perguruan.

Program inovasi itu mungkin dijalankan oleh seorang guru atau dalam kumpulan.
Kemahiran bekerja dalam kumpulan juga adalah satu usaha inovatif yang bukan mudah dibina dalam kalangan guru di sekolah.

GURU BIASA,
Tangkak

Berita Harian Online: 24 Februari 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum.
Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa Inovatif patut jadi syarat guru naik pangkat. Saya juga ingin memberi cadangan agar hadiah guru inovatif dikaji semula. Berilah kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus menyumbang idea yang kreatif untuk dengan memberi hadiah wang tunai seperti RM100K, RM50K, RM30K dan sebagainya. Jika penyanyi diberi hadiah sebanyak itu, dimanakah nilai idea seorang guru yang terbaik. Jika setakat hadiah plak dan sijil, itu selayaknya menjadi hadiah murid sekolah rendah sahaja. Jadi, apa nilainya idea seorang guru?
Maaf jika pendapat ini menyinggung sesiapa. Sekian, terima kasih.