Rabu, 16 Februari 2011

RM14j diperlukan baiki sekolah

JOHOR BAHRU - Kira-kira RM14 juta diperlukan bagi membaik pulih 36 sekolah dan menggantikan buku teks yang rosak akibat banjir di Johor baru-baru ini, kata Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.

Markom berkata, kerja baik pulih itu meliputi tandas yang tersumbat dan penggantian kerusi dan meja yang tidak boleh digunakan lagi.

"Sekurang-kurangnya RM2 juta diperlukan bagi menggantikan buku teks sekolah sahaja," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, daripada 36 buah sekolah yang terlibat dengan banjir, 11 buah sekolah ditenggelami air manakala bakinya dijadikan pusat pemindahan banjir.

Laporan mengenai nilai kerugian semua sekolah yang terlibat telah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan pihaknya berharap kerja baik pulih itu dapat dilakukan bulan depan, katanya.

Markom berkata, proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah yang sebelum ini ditutup disebabkan banjir sudah bermula seperti biasa.

"Pusat pemindahan yang terakhir ditutup petang semalam adalah Sekolah Seri Sepakat Jaya, Seri Medan, Batu Pahat," katanya.

Banjir melanda negeri ini bermula hujung bulan lepas mengakibatkan lebih 40,000 penduduk terpaksa dipindahkan. - Bernama

Kosmo Online: 16 Februari 2011

Tiada ulasan: