Selasa, 8 Februari 2011

Guru rugi RM7,000 ditipu rakan Internet

ALOR SETAR 7 Feb. - Kisah penipuan mangsa oleh sindiket-sindiket tertentu di laman-laman sosial di Internet sering dipaparkan melalui media massa namun malangnya ia terus berlaku.

Kali ini seorang guru lelaki berusia 44 tahun dari Kuala Muda di sini, kerugian RM7,000 apabila ditipu temannya dikenali sebagai Molly, di salah sebuah laman terbabit, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Nasbah Jusoh berkata, mangsa mengenali temannya itu yang dikatakan berada di luar negara sebelum mula menjalin perhubungan.

"Setelah sekian laman berkenalan, suspek memaklumkan akan mengirimkan satu bungkusan sebagai hadiah kepada mangsa.

"Bagaimanapun suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian memasukkan wang RM7,000 ke dalam akaun suspek namun barangan itu masih tidak diterimanya.

"Pemeriksaan mendapati suspek menggunakan akaun bank tempatan dan pihak polis masih cuba mengesannya, dipercayai orang tempatan," jelasnya.

Tambah Nasbah, pada 2010 terdapat 20 kes penipuan melalui laman sosial yang melibatkan kerugian sebanyak RM231,490.

"Mangsa terdiri daripada lima lelaki dan 15 wanita dan mereka yang ditipu berusia dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun serta terdiri daripada pelbagai kaum.

"Pada 2009 pula terdapat enam kes di mana kerugian sebanyak RM103,612 dilaporkan dan mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita," jelasnya.

Ujarnya, kebanyakan mangsa mengikut arahan daripada suspek yang dikenali melalui Internet dan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek.

"Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis oleh orang yang tidak dikenali.

"Selain itu, sebelum membuat pembayaran kepada mana-mana pihak mereka perlu merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 8 Februari 2011

Tiada ulasan: