Jumaat, 11 Februari 2011

Bantuan persekolahan RM2.5 bilion diagih

PUTRAJAYA 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan 2011 berjumlah RM2.5 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Majlis berlangsung selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Menurut kenyataan kementerian itu, peruntukan tersebut bagi merapatkan jurang pendidikan di antara murid di bandar dan luar bandar serta amat bermanfaat bagi murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.

Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003.

''Agihan peruntukan bantuan persekolahan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan persekolahan yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran kepada murid-murid berkelayakan setiap tahun,'' kata kenyataan itu.

Bantuan itu merangkumi Rancangan Makanan Tambahan; bantuan Pakaian Seragam Sekolah; Biasiswa Kecil Persekutuan; Biasiswa Kelas Persediaan Universiti; Biasiswa Sukan; Elaun Prauniversiti; Elaun Murid Berkeperluan Khas; bantuan Geran Perkapita Prasekolah; bantuan Makanan Prasekolah; bantuan Geran Perkapita dan Yuran Khas Sekolah.

Bantuan Kokurikulum Sekolah; bantuan Makanan Asrama; Perjalanan Asrama; Perjalanan dan Pengangkutan Murid; Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh; bantuan Jaket Keselamatan; Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan; Program Susu 1Malaysia; bantuan Sukan Sekolah; bantuan Kurikulum Prasekolah; bantuan Kurikulum Asrama dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Tujuh bahagian yang menerima bantuan tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang; Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional; Bahagian Pendidikan Khas; Bahagian Pendidikan Islam; Bahagian Sukan; Bahagian Kokurikulum dan Kesenian serta Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Pada tahun ini, Jabatan Pelajaran negeri Sarawak menerima peruntukan Bantuan Persekolahan tertinggi iaitu RM393 juta manakala di peringkat kementerian pula, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang sebanyak RM117 juta.

Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan itu dapat memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu sehingga ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Utusan Malaysia Online: 11 Februari 2011

Tiada ulasan: