Khamis, 10 Jun 2010

Guru perlu anggap beban demi pembangunan ilmu anak bangsa

2010/06/10

MERUJUK kepada rungutan dalam ruangan ini Bakal DG48, Pinggiran Putra, Putrajaya bertarikh 22 Mei lalu bertajuk Pentadbir sekolah wajar ubah sikap. Isu dibangkitkan oleh Bakal DG48 dengan pendapat bahawa masalah beban tugas guru di sekolah tidak dapat diselesaikan selagi pentadbir tidak mengubah sikap.

Dalam kenyataan Bakal DG48, pihak pentadbir sekolah dikatakan banyak mengarahkan guru menjalankan kelas tambahan, menghadiri mesyuarat dan mengikuti taklimat bersama pengetua selain membuat kerja yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pada waktu petang dan Sabtu.
Ingin ditegaskan di sini, bahawa Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil serta memberi perhatian terhadap masalah beban tugas guru terutama yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.

Satu jawatankuasa menangani isu beban tugas guru diwujudkan bagi mengenalpasti faktor yang menyebabkan beban tugas guru dan cadangan penyelesaiannya.

Kementerian juga sudah mengeluarkan satu surat pekeliling iktisas Bil. 8/2005 berhubung pelaksanaan bekerja lima hari seminggu sebagai rujukan pihak pentadbir sekolah seperti berikut:

Sekolah yang berjaya melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja hendaklah meneruskannya dan sekolah yang menghadapi kesulitan untuk melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja disebabkan pelbagai faktor seperti kekangan masa, ruang, kepakaran dan sebab lain boleh menggunakan hari Sabtu dengan syarat tidak melebihi dua kali sebulan.

Bagaimanapun, kementerian percaya tujuan pihak pentadbir sekolah mengarahkan guru menjalankan kelas tambahan, menghadiri mesyuarat dan taklimat bersama pengetua serta menjalankan aktiviti tambahan pada waktu petang dan Sabtu adalah untuk membangunkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran


Berita Harian Online: 10 Jun 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Soal beban guru seperti yang selalu diwar-warkan bagi saya tidak menjadi masalah. Sudah 24 tahun saya berkhidmat sebagai guru dan selama itulah saya cuba membuat apa yang termampu oleh saya demi kerjaya sebagai guru. Apabila memasuki bidang perguruan maka cabaran-cabaran yang mendatang patutlah sudah bersedia memikulnya.Kalau mengharap naik pangkat dan naik gaji untuk apa mempersoalkan beban tugas. Kalau hanya sanggup menjadi guru yang mengajar di kelas sahaja dan tidak mahu terlibat dengan aktiviti lain khususnya guru penasihat kokurikulum atau jurulatih janganlah mengharapkan gaji naik. Kalau terasa sangat bebanan tu jadi itu dan ini baik isi borang letak jawatan. Carilah kerja yan gaji RM 2000.oo keatas yang tiada bebanan kerja.

Saya mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya mana-mana guru yang tidak mahu terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan juga apa-apa kegiatan sekolah seperti mesyurat, taklimat dan sebagainaya supaya diberikan gred gaji lebih rendah atau yang berlainan dengan mana-mana guru yang terlibat secara aktif dalam kedua-dua bidang kurikulum dan kokurikulum termasuk Pengetua dan Guru Besar yang lebih mengutamakan aktiviti akademik semata-mata.
Apa yang saya perhatikan di beberapa sekolah ada guru yang memikul tanggungjawab sebagai guru akademik, guru kelas, setiausaha itu dan ini, jurulatih, guru penasihat kokurikulum tetapi jawatan dan gaji lebih rendah berbanding dengan sesetengah guru yang hanya tahu mengajar di kelas sahaja. Setiap hujung tahun guru yang dapat cemerlang ialah guru yang hanya mengajar sahaja sebab kononnya markah untuk penglibatan kokurikulum hanya 5 % sahaja. Jadi kalau begini mana keadilannya. Bila ada apa-apa aktiviti Pengetua akan panggil si Anu untuk buat kerja, dia boleh buat tapi bila keluar keputusan SPM dan subjek ini 100% lulus maka guru yang hanya mengajar tadi yang disanjung-sanjung manakala si Anu tadi hanya memerhatikan markah NPT nya dengan banyak persoalan diberi markah oleh pengetua cukup-cukup makan sahaja.
Jadi sebenarnya bukan soal beban tugas sahaja yang patut dibincangkan dan diselesaikan tetapi soal keadilan kepada semua guru siapa yang banyak menyumbang kepada prestasi akademik dan kokurikulum.Jangan hanya guru yang mengajar di kelas sahaja yang diberikan NPT yang cemerlang sementara guru-guru yang terlibat secara langsung dalam kedua-dua bidang ini hanya cukup makan sahaja. Saya mohon supaya guru yang sanggup melakukan apa-apa juga tugasan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah diambil perhatian yang sewajarnya.

Tanpa Nama berkata...

Berkaitan dengan ulasan Tanpa Nama di atas, rata-rata di sesebuah sekolah memang ada guru-guru yang aktif mengajar dan melaksanakan serta menjayakan program-program lain seperti kokurikulum dan sebagainya (Hari Anugerah, Hari itu dan Hari ini), dan ada guru yang tumpuan penuh kepada akademik sahaja dan kurang terlibat (setakat ada nama dalam persatuan dan unit beruniform, atau AJK itu dan ini).

Seperti yang dinyatakan oleh beliau, memang selalunya dan memang SELALUNYA, mereka yang aktif ini jarang mendapat cemerlang NPT, sedangkan usaha dan tenaga diberikan lebih dari 100%. Apa yang mereka ini dapat hanya kepuasan apabila hasil kerja membawa kepada kejayaan atau berjaya dilaksanakan.

Alasan yang diberikan oleh mereka yang memberi tumpuan lebih kepada akademik adalah mereka mempunyai tugasan dalam bidang akademik yang lebih diutamakan perlu diselesaikan. Oleh itu, beban sudah sama berat dipikul.

Apatah lagi 'core business' adalah mengajar, bukan aktif dalam kokurikulum.

Sebenarnya, apa punca berlakunya keadaan seperti ini?

Ini adalah berkaitan rapat dengan 'human resources'. Apabila pemimpin peringkat sekolah tidak mampu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan 'human resources' di sekolahnya, tambahan pula ada tangan hantu yang berupaya mempengaruhi mereka di sebalik tabir, yang lebih kepada menjatuhkan pihak lain, bukan kepada menjana kerjasama yang utuh, nah, itulah akibatnya.

Hanya yang pandai mengampu sahaja dan mempunya PR yang hebat walaupun kerja tidak berapa hebat akan meniti dari satu jawatan ke satu jawatan yang lebih tinggi.