|
|
REMBAU 2 Jun - Berkat kecemerlangan mentadbir dan menyediakan sistem pengurusan sekolah secara efektif dan kondusif, dua pengetua di negeri ini terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan 2009 di sini baru-baru ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Samad, Rahana Tawan dan Pengetua SMK Dato' Mohd. Tahan, Hing Jen Soon pada Majlis Anugerah Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid Terbilang (JPNS) 2009.
Rahana dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan Pengurusan Kokurikulum JPNS 2009 manakala Jen Soon pula dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pengurusan Hal Ehwal JPNS 2009.
Mereka dipilih untuk menerima anugerah tersebut di atas khidmat sumbangan dalam melonjakkan kecemerlangan pada sistem pengurusan sekolah masing-masing.
Menurut Rahana, beliau akan menjadikan anugerah tersebut sebagai suntikan semangat ke arah memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa depan.
''Kejayaan ini merupakan hasil usaha kami di pihak guru dan juga pelajar yang turut bekerja keras dalam membangunkan aspek kokurikulum SMK Dato' Abdul Samad, Port Dickson.
''Ini kerana sekolah saya merupakan antara sekolah di negeri ini yang terlibat dan mempunyai penyertaan yang tertinggi terhadap aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jelasnya, SMK Dato' Abdul Samad sememangnya dikenali sebagai sekolah pembangunan kokurikulum yang aktif terutamanya menerusi persatuan pakaian seragam dan olahraga.
''Sekolah ini telah terpilih menjadi johan Kadet Polis peringkat kebangsaan tahun lalu dan pembangunan atlet olahraga.
''Ini kerana, kita mempunyai kemudahan yang lengkap untuk melatih serta mencungkil bakat pelajar dalam sukan olahraga dan untuk itu juga, kita turut melantik jurulatih khas dalam membimbing pelajar," ujarnya.
Sementara itu, Jeng Soon yang ditemui memberitahu, hasil usaha gigih untuk menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif dan membangunkan sahsiah pelajar secara komprehensif telah membuatkan dia terpilih menerima anugerah itu.
Katanya, kejayaan tersebut diperoleh ketika dia mentadbir SMK Pasir Panjang, Port Dickson yang mempunyai kira-kira 680 pelajar sebelum ditugaskan untuk menguruskan SMK Dato' Mohd. Tahan, Gemencheh, Tampin dua bulan lalu.
''Semasa saya menjadi pengetua SMK Pasir Panjang, saya mempunyai cabaran untuk menguruskan pelajar yang rata-rata berasal dari kawasan pedalaman.
''Maka cabaran utama saya adalah untuk mengatasi masalah disiplin dan kehadiran pelajar ke sekolah," ujarnya.
Menurut Jeng Soon, menerusi kempen dan program 3K yang dijalankannya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan yang meliputi soal kebersihan, kesihatan dan keselamatan, ia dilihat mampu membentuk keperibadian unggul di kalangan pelajarnya.
''Apabila kita menyediakan persekitaran yang kondusif dan selesa, masalah disiplin dapat diatasi dan lebih menggembirakan saya, kehadiran pelajar sekolah meningkat secara konsisten berbanding sebelum ini," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 3 Jun 2010
1 ulasan:
Tahniah kepada kedua-dua Pengetua yang menerima Anugerah Guru Cemerlang.Kerja keras yang dicurahkan semestinya diberikan pengiktirafan. Cuma kepada pihak-pihak tertentu janganlah lupa bahawa semua kerja di sekolah tidak dilaksanakan oleh seorang sahaja. Biasanya ketua hanya mempengerusikan mesyuarat sahaja yang kadang-kadang semua mesej di sediakan oleh orang lain. Ada orang lain yang menyediakan semua bahan. Kadang-kadang tidur lewat, dan selalunya pulang lewat dari sekola ke rumah. Apabila penganugerahan diberikan kepada seorang individu sahaja ada persoalan di sini, iaitu bagaimana nasib si Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan dan Jurulatih yang sebenarnya terlibat secara langsung? Apakah hanya Pengetua sahaja yang bertanggungjawab dan menerima segala-galanya? Apakah mereka hanya layak diberikan Anugerah Cemerlang di peringkat sekolah atau daerah sahaja sedangkan pegetuanya menerima anugerh di peringkat negeri atau kebangsaan? Tetapi, saya tidak mempertikaikan anugerah yang di terima oleh dua orang pengetua ini. Sememangnya mereka layak kerana mereka berdua duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua guru yang terlibat dalam pegurusan kokurikulum dan Hal Ehwal Murid di sekolah masing-masing. Cuma apa yang saya suarakan di atas hanyalah sebagai renungan kepada kita semua bahawa disebalik kejayaan sekolah itu sebenarnya ada orang yang bekerja diam-diam dan tidak suka publisiti kerana memang sifatnya begitu bekerja dengan penuh keikhlasan. Kadang-kadang mengeluarkan wang ringgitnya sendiri ketika pelajar yang terlibat ada masalah semasa sesuatu aktivti berlangsung.
renung-renungkan
'ketika kita memandang bintang dilangit jangan lupa rumput dibumi'
Catat Ulasan