LANGKAH memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, merupakan satu revolusi dalam sistem pendidikan negara kita. Ia akan mengubah banyak perkara, dari sudut akademik, ekonomi dan sosial secara drastik dan menyeluruh.
Perubahan ini perlu dan wajar disegerakan kerana sistem yang berorientasikan peperiksaan sedia ada sudah mencecah tahap kronik. Kebimbangan ibu bapa terhadap prestasi pelajaran anak-anak semakin melampau. Murid seawal darjah satu sudah dihantar ke kelas tuisyen. Takut ketinggalan berbanding anak jiran atau anak saudara-mara.
Bilangan murid dan pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan menjadi keutamaan berbanding kemahiran insaniah seperti kebolehan berkomunikasi secara berkesan, berfikiran kreatif dan bijak menyelesaikan masalah.
Lambakan pelajar yang mendapat semua A untuk semua mata pelajaran tidak mencerminkan mutu pelajar berkenaan. Ia juga tidak menepati Falsafah Pendidikan Negara yang mahu menghasilkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelek.
Sebaliknya, ada yang berpendapat, lambakan pelajar mendapat A ini menggambarkan mudahnya sesuatu peperiksaan itu. Tiada nilai. Malah ada yang mencebik mengatakan graf keputusan dimanipulasi untuk memenuhi kehendak pihak tertentu. Namun, ia sekadar dakwaan atau tuduhan tanpa bukti.
Tanpa UPSR dan PMR, para guru tidak lagi terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran sehingga terabai pelajar di kelas belakang. Fenomena ini adalah lumrah dalam sistem sekarang di mana pentadbir sekolah dan guru hanya fokus kepada pelajar kelas 'pandai' sahaja demi memburu prestasi cemerlang sekolah dalam peperiksaan. Natijahnya, pelajar yang kurang cerdik akan terus tercicir.
Kelak, guru boleh menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mengikut tahap kebolehan pelajar tanpa terlalu terikat kepada silibus. Paling penting setiap pelajar perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi (Linus) atau bahasa mudahnya membaca, menulis dan mengira. Linus adalah salah satu daripada empat bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran. Semua pelajar normal perlu menguasainya sebelum memasuki Tahap Dua sekolah rendah.
Dalam pada itu, pemansuhan UPSR dan PMR, pastinya akan menjimatkan banyak kos kepada ibu bapa. Tiada lagi yuran tuisyen. Tiada lagi perbelanjaan untuk membeli buku latihan atau bahan rujukan multimedia seperti cakera padat (CD) interaktif dan pembelajaran atas talian. Kos tidak langsung seperti wang saku, tambang pengangkutan dan caj sewaan jalur lebar untuk Internet juga boleh dijimatkan.
Bagaimanapun, pendapatan pengusaha kelas tuisyen termasuk guru-guru yang mengajar secara sambilan di situ akan terjejas teruk. Begitu juga dengan penerbit buku dan pengeluar bahan pengajaran multimedia.
Di negara maju seperti Jepun amalan satu peperiksaan awam sahaja untuk memasuki universiti telah lama dipraktikkan. Sekolah diberi autonomi mengikut daerah atau negeri masing-masing dan bukannya ditadbir secara berpusat seperti kita di sini. Segalanya dikawal selia oleh Kementerian Pelajaran kecuali 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang diberi autonomi bersyarat.
Jika model ini yang ingin digunakan, implikasi kos untuk kerajaan melaksanakan sesuatu pembaharuan atau projek rintis adalah sedikit berbanding sekarang. Sebagai contoh, untuk program pembestarian sekolah, kerajaan membelanjakan beratus juta ringgit untuk membekalkan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke semua sekolah di seluruh negara. Bayangkan kesan penjimatan jika sekolah ditadbir dalam keluasan geografi yang lebih kecil mengikut daerah atau negeri.
Namun, kerajaan tidak boleh lepas tangan sepenuhnya khususnya dalam menyediakan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Andai dibiarkan pasti mereka tercicir dan terbiar tanpa pembelaan. Mujur kerajaan kita tidak culas dalam aspek ini. Buktinya bangunan sekolah di kota dan di desa sama sahaja sehingga menimbulkan tanda tanya kepada pelawat dari luar negara.
Revolusi ini juga akan membebaskan minda ibu bapa dalam memilih hala tuju anak masing-masing mengikut potensi serta kecenderungan mereka. Tidak lagi terkongkong dengan laluan akademik semata-mata.
Hal ini membolehkan bidang lain khususnya sukan dan seni dapat berkembang maju dengan pesat dan pantas. Ibu bapa juga tidak lagi takut untuk melepaskan anak masing-masing menyertai kegiatan kokurikulum.
Pada ketika itu, hasrat Kementerian Pelajaran untuk menjayakan program '1 pelajar 1 sukan' akan terlaksana dengan mudah dan tanpa bantahan.
Hasilnya, ramai bakat baru yang berkebolehan dan berkemahiran akan muncul bukan sahaja dalam sukan malah dalam bidang lain juga. pencarian dan program pembangunan boleh dimulakan sejak di peringkat sekolah rendah lagi sehingga ke sekolah menengah. Pelajar punya banyak masa untuk berinovasi, berkarya dan bersukan dengan sepenuh hati tanpa risau untuk menduduki peperiksaan.
Hanya pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja mereka perlu memberi sepenuh perhatian. Itu pun jika mereka mahu melanjutkan pengajian ke universiti. Jika tidak, mereka boleh meneruskan kerjaya masing-masing dalam industri kreatif, sukan atau menjadi usahawan muda.
Selain itu, pemansuhan ini juga akan mengubah mekanisme pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP). UPSR dan PMR menjadi faktor utama pemilihan pelajar ke SBP sekarang ini.
Sebagai cadangan, berdasarkan tempat yang disediakan di SBP terhad, maka satu ujian khas merangkumi kecerdasan IQ dan EQ perlu diadakan. Ujian ini hanya terbuka kepada pelajar yang layak berdasarkan penilaian tertentu di peringkat sekolah. Ujian khas ini mirip kepada kaedah pemilihan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diamalkan ketika ini.
Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2010
1 ulasan:
Saya bersetuju 100%. Hujah yg sama dgn apa saya ingin tuliskan. Cuma tambahan......Pekeliling 7 /KPPM 1998 yg sepatutnya difahami oleh pegawai di JPN dan PPD tidak berlaku. Mungkin mereka sendiripun tak pernah baca pekeliling penting tentang konsep sbenar UPSR.
UPSR di sekolah2 hari ini diumpamakan seperti satu tiket utk menentukan hidup@mati seseorg murid. Ada juga yg menjadikan YUPSR spt tiket namm masuk universiti.
Realiti di sekolah:
1. Subjek lain X dijar lagi pada penggal2 dan diganti dgn jadual anjal.
2. Aktiviti kokurikulum pun dikecualikan utk thn 6.
3. Kelas tambahan malam dan hari sabtu serta ahad.
4. Cikgu dipaksa mengajar kelas tambahan.
Oiiii..... itulah antara apa yg berlaku di disekolah hari ni.
Catat Ulasan