Jumaat, 23 Mei 2008

7,430 murid tahun satu di Terengganu tidak tahu membaca

MARANG 22 Mei - Sebanyak 7,430 pelajar tahun satu di negeri ini dilaporkan masih tidak dapat menguasai kebolehan membaca dan menulis meskipun pelbagai program pendidikan disediakan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh membantutkan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan berkualiti tinggi.

Berikutan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

''Saya terkejut selepas menerima laporan bahawa masih terdapat pelajar tahun satu tidak dapat membaca dan menulis.

''Jadi, JPNT hendaklah mengkaji kenapa hal ini boleh berlaku, apakah kegagalan itu berpunca kemiskinan, tidak dapat pendidikan prasekolah, tidak cukup makanan berzat atau alasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Institiut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Nazir Persekutuan yang juga bekas Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Datuk Rahim Tahir diisytiharkan sebagai Tokoh Guru 2008.

Ahmad berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa program dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran dan pendidikan di negeri ini.

Jelasnya, lebih banyak guru pakar, guru besar dan guru berkelayakan akan dihantar ke luar negara bagi membolehkan mereka menerima pendedahan baru dalam usaha memastikan mutu pendidikan negeri ditingkatkan.

Menurutnya, ia adalah selaras dengan agenda utama kerajaan negeri yang akan memberikan perhatian khusus dalam pendidikan.

'Pelbagai perancangan diatur untuk menjamin masa depan negeri menerusi kelangsungan program dan aktiviti kecemerlangan pendidikan sedia ada dengan memberi suntikan nilai tambah baru," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Warisan dan Kesenian negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib agar berunding dengan pihak berkuasa Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini untuk memperhebatkan pemasangan iklan dan promosi pelancongan di lapangan terbang tersebut.

Katanya, ini penting kerana iklan merupakan satu cara terbaik bagi membolehkan pelancong mengetahui destinasi menarik termasuk pulau dan pantai yang terdapat di negeri ini.


Utusan malaysia Online:23 Mei 2008

Tiada ulasan: