Jumaat, 30 Mei 2008

SK Pendidikan Khas sasar 30 peratus lulus UPSR

BAHAGIAN Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran mengenal pasti 30 peratus daripada 1,792 murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di semua 28 Sekolah Pendidikan Khas seluruh negara tahun ini lulus semua mata pelajaran.

Pengarahnya, Rozainum Ahmad, berkata golongan berpotensi itu sudah dikenal pasti sejak peringkat awal proses pembelajaran iaitu ketika murid berkenaan di Tahun Satu.

Beliau berkata, pemerhatian mendapati, walaupun mereka menghadapi masalah fizikal, namun golongan ini mampu mencapai kejayaan setanding rakan mereka yang normal.

“Murid pendidikan khas memerlukan bimbingan berterusan dan sebelum menduduki peperiksaan, mereka dikehendaki menyertai Program Kecemerlangan Akademik (Proka) UPSR.

“Proka bertujuan meningkatkan kuantiti calon lulus semua mata pelajaran, selain mengesan dan mengenal pasti kumpulan yang berpotensi mencapai keputusan cemerlang ujian itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Mengenai program tahun ini, Rozainum berkata, ia diadakan dalam dua fasa iaitu pertama memberi tumpuan subjek Bahasa Melayu dan Matematik membabitkan 146 murid, termasuk cacat pendengaran (112), cacat penglihatan (29) dan disleksia (lima).

Katanya, program lima hari bermula 11 Mei lalu, di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dikendalikan 98 guru pendidikan khas, penceramah, fasilitator dan guru pengiring.

“Menerusi program itu, setiap sesi perbincangan mengambil masa sepuluh jam membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu (Kefahaman), Bahasa Melayu (Penulisan) dan Matematik.

“Satu slot selama dua jam digunakan untuk melaksanakan pra ujian, manakala tiga slot lagi untuk membuat pengesanan dan rawatan serta menyampaikan teknik menjawab,” katanya.

Rozainum berkata, guru pengiring turut didedahkan teknik penandaan kertas jawapan latihan murid.

Bagi Proka fasa dua pula katanya, ia akan diadakan pada Jun depan di tempat yang sama membabitkan Bahasa Inggeris dan Sains.

Sejak pelaksanaan Proka dua tahun lalu, beliau berkata, keputusan UPSR menunjukkan peningkatan. Peratus lulus Bahasa Melayu (Kefahaman) meningkat kepada 49.6 peratus berbanding 33.7 peratus tahun sebelumnya.

Berita Harian Online: 30 Mei 2008

Tiada ulasan: