PASIR MAS: Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abd Hamid bertitah, pendidik harus menunaikan tanggungjawab dengan bersemangat kerana banyak insentif sudah diberikan kepada mereka.
Titahnya, pendidik hari ini bernasib baik kerana kerajaan menyediakan pelbagai insentif menarik ke arah memperkasakan kerjaya mereka.
"Melalui insentif ini, ia seharusnya menjadikan pendidik lebih bersemangat dan ikhlas mendidik sekali gus berusaha melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing pada peringkat global. Pendidik juga harus sedar, di bahu mereka disandarkan kecemerlangan masa depan anak bangsa dan usaha itu sebagai jihad yang tinggi nilainya di sisi Allah," titahnya.
Baginda bertitah pada majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2008, di Sekolah Menengah (SM) Teknik Pasir Mas, Bunut Susu, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Ismail Md Noor.
Pada majlis itu tiga warga pendidik dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Kelantan 2008 iaitu Sidi Omar Mat Jusoh, 63; Wan Karimah Wan Yaacob, 51 dan Awang Mohmad, 57. Allahyarham Mohd Din Ismail, dianugerahkan Anugerah Khas, yang diterima balunya, Wan Sapiah Wan Sulaiman.
Tengku Anis bertitah, pendidik adalah insan mulia kerana tanpa mereka usaha membentuk generasi berilmu tidak akan berjaya, umpama hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu.
"Gambaran ini menunjukkan mulianya tugas pendidik kerana mampu memartabatkan seseorang insan sekali gus membezakan kedudukan mereka sesama insan. Oleh itu, martabat guru sebagai pendidik serta pembentuk generasi berilmu sudah lama terpahat dalam jiwa masyarakat sehingga kini menjadi sanjungan masyarakat," titahnya.
Berita Harian Online: 26 Mei 2008
Isnin, 26 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan