Jumaat, 23 Mei 2008

Syarat baru elaun guru ajar bidang ketukangan

JPA tetapkan tempoh mengajar minimum 15 waktu seminggu

GURU subjek Ketukangan perlu memenuhi syarat minimum mengajar 15 waktu seminggu bagi melayakkan mereka terus menikmati Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata penambahan syarat baru itu ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi memastikan hanya guru terbabit secara langsung dalam perkhidmatan kritikal mendapat manfaat insentif berkenaan.

Beliau menjelaskan kadar BIPK yang diterima kekal lima peratus daripada gaji pokok bagi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) dan 10 peratus untuk Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPPLD).

Katanya, perkara itu diputuskan menerusi Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 2007 dan surat edaran JPA bertarikh 20 Mei lalu.

“Kerajaan telah mengkaji semula skim perkhidmatan kritikal dan membuat keputusan PPPS dan PPPLD yang mengajar bidang ketukangan akan terus menerima BIPK jika memenuhi syarat baru waktu mengajar itu.

“Sebelum ini ia diberi kepada semua guru berkelulusan Ketukangan walaupun ada antara mereka hanya mengajar satu waktu seminggu bagi subjek itu dan ia dianggap tidak adil bagi guru yang meluangkan lebih 60 peratus atau 15 waktu mengajar seminggu bagi subjek itu.


“Tidak dinafikan penguatkuasaan syarat baru ini menyebabkan sebilangan besar daripada lebih 2,000 penerima BIPK Ketukangan sebelum ini tidak menerima elaun kritikal itu sejak Januari lalu tetapi ia bukan dimansuhkan terus JPA seperti didakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Beliau mengulas dakwaan NUTP baru-baru ini bahawa isu elaun kritikal untuk subjek Ketukangan ditarik balik JPA antara empat tuntutan warga pendidik yang perlu ditangani segera supaya tidak menjejaskan moral dan mutu perkhidmatan golongan terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPA akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran pada 3 Jun depan bagi membincangkan pelaksanaan insentif baru yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

“Kementerian belum menerima surat pengesahan daripada JPA sama ada tarikh penguatkuasaan insentif baru itu secara serta-merta atau backdated.

“Namun, JPA telah menetapkan mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran untuk membincangkan perkara berkenaan Jun depan,” katanya.

Alimuddin berkata, antara langkah awal pelaksanaan insentif itu mengenal pasti Guru Besar DG41 yang layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke Gred DG44 di kalangan 361 Guru Besar sedia ada.

“Ketika ini, terdapat 361 Guru Besar yang dilantik secara Khas Untuk Penyandang sehingga Julai 2007. Namun, jumlah yang layak dipertimbangkan untuk ke Gred DG44 berdasarkan tempoh tiga tahun akan dikenal pasti dalam masa terdekat,” katanya.


Oleh Rosniza Mohd Taha

Berita Harian Online:23 Mei 2008




Tiada ulasan: