Selasa, 20 Mei 2008

Anjang Ali tokoh guru istimewa

GURU istimewa, Anjang Ali, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Payung, Jertih, Terengganu menerima Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya 2008 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anjang yang cacat penglihatan sejak lahir bersama 12 penerima lain menerima anugerah masing-masing yang disampaikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada majlis Malam Kilauan Budi, di Melaka, baru-baru ini.

Penerima lain Datin Hamizah Che Embi dari SMK Tuanku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas.
Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dimenangi Zazili Md Nawi, Md Yusop Mahmud serta Wee Siu Hiang, sementara Anugerah Pemimpin Dalam ICT diterima Raja Zainal Abidin Raja Yahaya, Wong Chee Kheon serta Zakiah Md Lassim.

Anugerah Guru Inovatif kategori Keseluruhan dimenangi Latifah Arshad dari SMK Convent Sentul, Kuala Lumpur, menerusi ciptaan Alat Bantuan Untuk Menentukan Imej Titik Putaran yang turut mengungguli kategori Individu Sekolah Menengah.

Guru Inovatif (Individu Sekolah Rendah) dimenangi Abdul Wahab Khalid dengan ciptaan Khat Board, sementara Guru Inovatif (Kumpulan) dimenangi Zainuddin Rafie dan Suhaimi Abd Rahman dari SMK (A) Wataniah, Machang, Kelantan menerusi Komik Dalam Komsa, manakala Guru Inovatif (Pra Sekolah) milik Anita Othman dengan ciptaan Riang Ria Bersama Abjad.

Ketika ditemui, Anjang berkata, walau cacat penglihatan, beliau tidak pernah berputus asa dalam usaha mencari ilmu untuk mengejar cita-cita menjadi guru.

Anjang memulakan pendidikan awal di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth (Bermasalah Penglihatan), Johor Bahru dan peringkat menengah di Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Setapak serta SM St John, Kuala Lumpur.

Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya pada 1985 hingga 1988 sebelum memasuki Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur bagi merealisasikan hasratnya menjadi pendidik.

Selain mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, Anjang turut aktif menghasilkan pelbagai karya penulisan termasuk buku cerita kanak-kanak dan remaja, puisi serta skrip drama radio.

Anugerah yang diterima sebelum ini ialah Anugerah Guru Cemerlang 2006 daripada Pemuda Umno dan Tokoh Guru Kualiti.

Berita Harian Online: 20 Mei 2008



Tiada ulasan: