GURU perlu sentiasa menyedarkan pelajar mengenai nikmat kebebasan serta keamanan belajar dan bersekolah di negara ini, kata Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin.
Katanya, pelajar harus diingatkan keperluan membina dan mengekalkan hubungan serta perpaduan ketika negara lain menghadapi pertumpahan darah, kemusnahan dan kehancuran saban hari.
Justeru, beliau berkata, guru berperanan mendidik dan menyuburkan jati diri dalam jiwa pelajar kerana jatuh atau bangunnya sistem pendidikan terletak pada bahu mereka sebagai pendidik.
Pertahankan sistem pendidikan kita daripada dicerobohi sentimen perkauman, dinodai prasangka keagamaan dan dirasuk kepentingan politik sempit.
"Kita perlu menyuburkan semangat perpaduan dan cintakan tanah air dalam diri anak didik kerana merekalah yang bakal menerajui serta mewarnai masa depan negara," katanya dalam ucapan merasmikan Majlis Konvokesyen ke-28, Institut Perguruan Islam (IPI), Bangi, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Institut Perguruan Kota Bharu, Sallehuddin Abd Wahab. Hadir sama Pengarah IPI, Amin Mohd Rashid dan Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Mohd Taib.
Majlis konvokesyen kali ini meraikan 287 graduan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2007, KPLI Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) - Program Latihan Perguruan Swasta (PLPS) Ambilan Mei 2006, KPLI Mod KDC - Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Disember 2005, Kursus Perguruan Lepas Diploma (KPLD) Mod KDC - LPBS Ambilan Disember 2005, Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) Mod KDC - LPBS Ambilan Disember 2003, dan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Ambilan Januari 2007.
Seterusnya, Asariah berkata, perkembangan dan kemajuan pendidikan negara mendesak guru menguasai pelbagai kemahiran generik, antaranya kemahiran berfikir, mengguna serta mengintegrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta berkebolehan menguasai bahasa kedua dengan baik.
Berita Harian Online:24 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan