Isnin, 29 September 2008

Cikgu digalak sertai kegiatan persatuan martabatkan pendidikan

Oleh Basir Zahrom

BERPENGALAMAN selama 20 tahun dalam bidang pendidikan termasuk 12 tahun menjadi perunding motivasi, Kamarudin Kasim berpendapat guru di negara ini perlu berpersatuan dan mempunyai hala tuju masing-masing dalam memartabatkan perjuangan sebagai pendidik.

Sehubungan itu, katanya, guru perlu bekerjasama dengan banyak pihak bagi melonjakkan kecemerlangan pendidikan ke tahap membanggakan seiring dengan negara maju seperti Jerman, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Selangor berkata, kesatuan dan persatuan guru juga perlu bergerak aktif dalam memperjuangkan isu berkenaan.

“Sebagai salah seorang jawatankuasa Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), saya lihat sekarang ini seperti hanya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) saja yang menyerlah memperjuangkan isu berkaitan guru, walhal ia juga salah satu kesatuan yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran, sama seperti KGMMB,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, KGMMB yang mempunyai keahlian seramai kira-kira 22,000 itu perlu mengembalikan zaman kegemilangannya serta menjadi pemangkin khususnya di kalangan guru Melayu Semenanjung dengan menjadikannya lebih dominan berbanding persatuan atau kesatuan guru lain.

Katanya, pemilihan dalaman KGMMB untuk jawatankuasa tertinggi yang bakal berlangsung bulan depan penting dalam menerajui kesatuan ini ke tahap yang lebih progresif.

“Sebagai salah seorang calon presiden pada pemilihan bulan depan, saya ingin melihat KGMMB dikenali dengan perjuangannya selain dapat bergabung dengan badan bukan kerajaan dalam dan luar negara menjalankan program berkaitan pembangunan pendidikan.

“Pada dasarnya KGMMB memang mempunyai satu kumpulan di peringkat Asia Tenggara iaitu Persatuan Guru-guru Nusantara (PGN) yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei dan banyak pertemuan dilakukan sebelum ini, kali terakhir pada 2004 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Ketika itu, tiga orang menteri turut hadir iaitu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Wilayah Persekutuan (bekas), Tan Sri Mohd Isa Samad dan Menteri Pengajian Tinggi (bekas), Datuk Dr Shafie Mohd Salleh masing-masing merasmikan majlis, meninjau pengisian program dan menutup rasmi program.

Katanya, tahun berikutnya KGMMB juga pernah membuat kunjungan hormat Hari Guru Nasional Indonesia di Solo yang turut dihadiri wakil PGN dari Brunei dan disambut baik 35,000 guru di sana.

“Kami bertukar pandangan dan banyak idea kami diserapkan ke dalam sukatan pelajaran Indonesia seperti dalam penggunaan teknologi maklumat dan bahagian pengurusan,” katanya.

Sebelum itu, Kamarudin berkata KGMMB bergerak hingga ke Beijing, China mewakili negara di Persidangan Pengajian Melayu Kedua pada 2002 membincangkan isu pendidikan berkaitan Bahasa Melayu yang dihadiri 150 ahli bahasa seluruh dunia dan bahasa komunikasinya adalah Bahasa Melayu baku.

“Jadi sekarang, KGMMB perlu kembali dengan prestasi sebegitu atau bergerak lebih aktif jika mahu melihat anak bangsa maju dan berdaya saing,” katanya.

Berita Harian Online: 29 September 2008

Tiada ulasan: