Jumaat, 12 September 2008

Guru parah ditetak depan mesin ATM

ALOR STAR: Seorang guru wanita cedera parah selepas ditetak bertubi-tubi dalam kejadian samun ketika mangsa mengeluarkan wang daripada mesin mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Kuala di sini, lewat petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 7.30 petang itu, mangsa seorang guru sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di sini, Thor Hai Fong, 45, dipercayai diserang lelaki bersenjatakan parang sejurus mangsa mengeluarkan wang daripada mesin ATM berkenaan.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, suspek yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam bank itu dan menarik beg mangsa menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan.

"Ketika itu, hanya ada empat pelanggan yang sedang berurusan di mesin ATM berkenaan dan apabila saya cuba membantu, suspek mengeluarkan parang yang disembunyikan dari pinggangnya dan mengugut akan mencederakan saya jika menolong mangsa.

"Ketika bergelut dengan mangsa, suspek menetak tangan mangsa berulang kali sebelum melarikan beg tangan mangsa dengan menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Mangsa dihantar ke klinik berdekatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Berita Harian Online: 11 September 2008

Tiada ulasan: