Jumaat, 19 September 2008

Keputusan muktamad isu Sains, Matematik Disember

PULAU PINANG 17 Sept. - Kementerian Pelajaran sedang mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak sebelum keputusan muktamad sama ada mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dibuat pada Disember ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, ini kerana pandangan dan idea daripada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, pensyarah, guru dan pelajar perlu diambil kira sebelum sesuatu polisi dilaksanakan.

''Keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 akhir tahun ini.

''Sebelum sebarang keputusan atau polisi dibuat, kita memerlukan lebih banyak pandangan.

''Usaha ini perlu dilakukan dan diperhalusi kerana kita tidak mahu mengorbankan masa depan anak-anak kita. Mereka ini pewaris kepimpinan akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Beban Tugas Guru anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru di seluruh negara di Batu Feringghi di sini hari ini.

Seramai 72 wakil daripada 24 Kesatuan dan Persatuan Guru dari seluruh negara menghadiri mesyuarat selama tiga hari yang bermula semalam.

Kementerian Pelajaran juga, katanya sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar setiap pandangan bagi memastikan pelaksanaan keputusan itu menguntungkan semua pihak.

Justeru, katanya, dalam usaha mengumpul lebih banyak pandangan, Kementerian Pelajaran akan mengadakan dua lagi siri persidangan meja bulat, Jumaat ini melibatkan guru sekolah rendah dan menengah serta pegawai kementerian dan jabatan Pelajaran.

''Persidangan seterusnya akan diadakan pada bulan Oktober melibatkan ahli politik sama ada dari pembangkang atau pihak kerajaan.

''Sebanyak 22 kertas kajian dan pemantauan telah dibentangkan di dalam dua persidangan meja bulat sebelum ini yang diadakan pada Julai dan Ogos lalu," katanya.

Sementara itu, Razali mendedahkan kira-kira 35 peratus guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh negara dikenal pasti tidak boleh menguasai bahasa Inggeris.

Katanya, masalah itu dikesan melalui satu kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian di beberapa sekolah terpilih baru-baru ini.

''Apabila murid-murid mempunyai potensi untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sesetengah guru pula menghadapi masalah untuk menguasai bahasa itu dengan baik.

''Ia akan memberi kesan negatif kepada murid yang memerlukan bimbingan untuk menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 September 2008

Tiada ulasan: