Selasa, 2 September 2008

Ramai Guru Sains Dan Matematik Masih Lemah Penguasaan Bahasa Inggeris

BESUT, 2 Sept (Bernama) -- Guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik diminta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail berkata imbuhan yang diterima mereka itu sepatutnya digunakan untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris bagi mempertingkatkan kemahiran mereka dalam menguasai bahasa itu.

Ramai di kalangan guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang itu untuk tujuan lain menyebabkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru Sains dan Matematik masih di takuk lama, katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan sekolah daerah Besut di sini hari ini.

Razali berkata sejak Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, kerajaan telah membayar BISP kepada guru Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka yang berkelulusan diploma.

Beliau tidak menafikan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris menghadapi sedikit masalah yang berpunca daripada kelemahan guru dalam menguasai kemahiran Bahasa Inggeris untuk mengajar subjek itu.

Razali berkata setakat ini kerajaan telah membelanjakan hampir RM5 bilion untuk program itu.

-- BERNAMA

BERNAMA.COM: 2 September 2008

Tiada ulasan: