Ahad, 7 September 2008

NUTP hantar memo seragam gaji guru

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Perbezaan kelulusan pengajar diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengemukakan memorandum kepada kerajaan bagi mengusulkan skim gaji bersepadu khusus untuk kira-kira 350,000 guru siswazah dan bukan siswazah di seluruh negara, akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata struktur skim gaji itu disediakan dengan khidmat pakar swasta dan akan menyediakan laluan kerjaya lebih baik serta teratur sama taraf atau seimbang kepada guru, di samping memberi penekanan kepada sistem ganjaran untuk mereka yang ada nilai tambah.

Katanya, sistem ganjaran itu antara lain memberi pengiktirafan secara peningkatan skim gaji kepada guru siswazah yang meningkatkan kelayakan akademik ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata, skim gaji ketika ini tidak memperuntukkan penambahbaikan kepada guru siswazah yang melanjutkan pelajaran sehingga menyebabkan ada yang meletak jawatan atau menyertai profesion mengajar di institusi lebih tinggi.

Hashim berkata, skim bersepadu berkenaan turut membolehkan guru bukan siswazah menikmati kesinambungan tangga gaji sebagai guru siswazah dengan mengambil kira pengalaman mereka.

"NUTP mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran menyediakan kursus khas kepada guru bukan siswazah apabila tamat mengikutinya, terus diiktiraf sebagai guru siswazah.

"Langkah penyeragaman skim gaji bersepadu amat perlu kerana keadaan sekarang terlalu kompleks kerana banyak kumpulan guru siswazah dan bukan siswazah menjalankan tugas sama di bawah satu sekolah sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, usul itu ialah antara perkara yang dipersetujui pada Persidangan Perwakilan NUTP ke-18 di Pulau Pinang, baru-baru ini, dan bengkel khusus diadakan dalam waktu terdekat bagi mengumpul input berkaitan secara terperinci.

Sebagai presiden baru NUTP bagi sesi 2008-2011 menggantikan Anuar Ibrahim, Hashim, 52, turut berazam meningkatkan keahlian kesatuan itu kepada 200,000 menjelang 2015 berbanding 135,000 ketika ini, membela nasib guru gred DGA29/DG41 yang berada dalam DG44 serta memartabatkan profesion keguruan secara keseluruhan.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, yang turut hadir pada sidang akhbar sama pula berkata, guru sebagai kumpulan kakitangan awam terbesar memerlukan skim gaji berasingan, antara lain bagi memudahkan kerajaan membuat pertimbangan terhadap tuntutan dikemukakan.

Bukan itu saja, katanya, beberapa jawatan baru juga perlu diwujudkan di sekolah seperti setiausaha peperiksaan, ketua guru disiplin, pembantu guru dan guru kokurikulum, selain menambah staf sokongan

Sementara itu mengenai pendirian NUTP supaya dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hanya dijalankan pada peringkat sekolah menengah pula, Hashim berkata, kesatuan berkenaan akan tetap akur sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan di sekolah rendah seperti sekarang.

Berita Harian Online: 6 September 2008

Tiada ulasan: