Ahad, 7 September 2008

Timur: Guru bersara selepas 35 tahun khidmat

JERANTUT: Selepas 35 tahun mengharungi dunia pendidikan, Tengku Nasimah Tengku Abdul Rashid, 56 menamatkan perkhidmatan sebagai guru semalam dengan penuh rasa sedih kerana meninggalkan anak murid tersayang.

Baginya dunia pendidikan adalah satu pekerjaan yang murni kerana dapat mendidik murid menjadi seorang insan yang berjaya bukan aja di dunia tetapi juga di akhirat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai guru, beliau hanya mengajar di dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Lembing tempat kelahirannya selama 10 tahun dan seterusnya di Sekolah Kebangsaan Jerantut selama 26 tahun.

Beliau adalah guru yang paling lama berkhidmat di sekolah berkenaan di bawah lima orang guru besar.

Pemergian beliau semalam disambut dengan penuh rasa hiba tetapi meriah oleh 390 pelajar dan 38 guru sekolah itu dalam upacara khas yang diadakan untuknya.

Murid turut menyediakan pelbagai persembahan khas untuk beliau dan diakhiri dengan lagu `Di Manakan Kucari Ganti'.
Beliau kemudian diarak dengan menaiki sebuah kereta antik meninggalkan kawasan sekolah diiringi dengan bacaan salawat ketika bersalaman dengan murid-murid.

Dalam ucapannya beliau menasihatkan murid supaya terus belajar bersunguh-sungguh, meningkatkan disiplin diri dan menghormati guru bagi memastikan mereka memperolehi ilmu yang diberikan guru.

Katanya, murid hari ini berbeza dengan murid dahulu kerana mereka lebih aktif berbanding murid dulu yang sentiasa mendengar kata guru.

Beliau berkata murid hari ini juga beruntung kerana suasana pembelajaran lebih baik dengan adanya pelbagai kemudahan pembelajaran disediakan untuk mereka berbanding dahulu.

Berita Harian Online: 6 September 2008

Tiada ulasan: