Rabu, 30 Disember 2009

Kementerian perlu selesaikan pertindihan gred jawatan

Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, mahu isu pertindanan tawaran serta perluasan pergerakan gred perjawatan secara hakiki guru dan pegawai yang bertugas di sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN) perlu diselesaikan segera secara sistematik.

Presidennya, Mohd Sabri Arshad, berkata penyelarasan perlu ada antara JPN dan Kementerian Pelajaran supaya penawaran tidak bertindan antara perjawatan dan time base kepada guru terbabit.

“Ada pegawai mendapat dua tawaran serentak antara guru cemerlang dan time base DG44, sekali gus seolah-olah tiada penyelarasan dalam penentuan perjawatan khusus.

“Kalau boleh ada penetapan khusus dalam penawaran agar lebih sistematik dan tersusun sejajar Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diamalkan Kementerian,” katanya.

Sabri berkata, pengisian jawatan kosong juga perlu disegerakan khususnya di institut perguruan guru (IPG) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) bagi memberi laluan kerjaya lebih luas kepada guru dan pegawai terbabit secara tidak langsung meningkatkan semangat serta sokongan moral kepada warga pendidik.

“Guru yang berada di time base DG44 wajar dinaikkan ke gred lebih tinggi kerana ada di antara mereka yang berpengalaman luas dan sesuai berkhidmat di IPG atau kolej matrikulasi.

“Beri peluang kepada mereka meningkatkan diri, sekali gus menjadi aset negara dalam membina modal insan masa depan yang lebih cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Jemale Paiman, berkata Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang bertugas di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil harus diserapkan dengan memberi latihan, sekali gus membantu mengisi kekosongan perjawatan.

“Ini membuka peluang GSTT berpengalaman yang telah berkhidmat beberapa tahun diserapkan ke jawatan tetap dengan memberi latihan semasa cuti,” katanya.

Katanya, bekas guru besar, pengelola, guru cemerlang dan pegawai di PPD serta JPN yang memiliki ijazah serta berada di gred DG41 perlu dinaikkan ke gred DG44.

Berita Harian Online: 30 Disember 2009

1 ulasan:

Awanama berkata...

"Katanya, bekas guru besar, pengelola, guru cemerlang dan pegawai di PPD serta JPN yang memiliki ijazah serta berada di gred DG41 perlu dinaikkan ke gred DG44."

Bila agaknya nak diberi peluang kepada bekas guru besar yang berkhidmat di JPN/PPD dan juga GPK DG41 dsekolah rendah menikmati kenaikan gred ke DG 44 iaitu sama dengan keistimewaan yang dinikmati oleh Guru Besar DG 41 di sekolah rendah.

Kenapa perlu ada Double Standard dalam perkhidmatan pelajaran.