Rabu, 2 Disember 2009

Tambah 845 guru jika laksana sekolah satu sesi

NUSAJAYA 1 Dis. – Johor memerlukan seramai 19,837 guru sekolah menengah jika berhasrat melaksanakan persekolahan satu sesi di seluruh negeri ini iaitu pertambahan seramai 845 guru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, bagi sekolah rendah, seramai 32,029 guru diperlukan dan jumlah itu melibatkan pertambahan 5,716 guru.

Beliau berkata, mengikut data sehingga 31 Julai lalu, terdapat 132 buah sekolah rendah daripada 889 buah sekolah yang menjalankan persekolahan dua sesi.

Menurutnya, bagi sekolah menengah, terdapat 127 sekolah yang masih menjalankan persekolahan dua sesi daripada 249 buah sekolah.

“Jumlah guru sekolah rendah yang diperlukan itu melibatkan murid seramai 384,856 orang pada tahun depan iaitu pertambahan seramai 3,810 murid berbanding tahun ini.

“Jumlah guru sekolah menengah pula melibatkan seramai 287,415 pelajar iaitu pertambahan 8,645 pelajar pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lau Chin Hoon (BN-Pemanis) mengenai bilangan guru dan bilik darjah yang diperlukan untuk kerajaan negeri melaksanakan persekolahan satu sesi di Johor.

Ia berdasarkan data terkini dan data unjuran tahun depan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Maulizan berkata, sebanyak 1,455 bilik darjah diperlukan bagi sekolah rendah dan 1,105 bilik darjah pula diperlukan bagi sekolah menengah untuk melaksanakan persekolahan satu sesi.

Utusan Malaysia Online: 2 Disember 2009

Tiada ulasan: