Selasa, 15 Disember 2009

Guru Sarjana dan Phd perlu insentif

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Harakah Daily: 15 Disember 2009

8 ulasan:

Awanama berkata...

Salam,
Saya amat bersetuju jika guru-guru yang ada master atau PHD di berikan kenaikan gaji. Kesanggupan guru-guru yang menyambung belajar ke peringkat master @ PHD adalah untuk memantapkan lagi kemahiran guru.
Guru Qlate..

Awanama berkata...

USAHA YANG BAIK... SYABAS DAN TERIMA KASIH KEPADA YB TELAH MENYUARAKAN PERASAAN DAN HARAPAN KAMI GURU-GURU YANG ADA SARJANA DAN PHD... TERUSKAN USAHA SEHINGGA BERJAYA JASA MU KAMI AKAN KENANGKAN SAMPAI BILA2.

Awanama berkata...

Buang air liur je. Perkara ini dah bertahun-tahun lama diketengahkan.Sampai sekarang habuk pun tak de.

Awanama berkata...

Benar, hingga hari ini 16 Mei 2012, tiada apa2 khabar utk guru2 pemegang Masters, PhD.... hanya pada bulan April lalu, data guru2 yg ada Masters , PhD dikumpul oleh Kementerian bagi tujuan pemberian insentif.... Jangan risau ianya akan dibincangkan mungkin dalam 10 tahun dari sekarang.... Biar sajalah PTD saja yang dpt ganjaran tersebut.... guru... tak layak agaknya

Rohani berkata...

Salam
Bila agaknya pemegang sarjana mendapat insentif atau ia cuma omong kosong pemanis kata.

Awanama berkata...

Salam ,

Saya ingin sangat sekiranya ada pihak yang prihatin terhadap guru-guru yang mempunyai ijazah master dan phd di sekolah-sekolah samada sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.Mereka ini wajar di beri insentif atas usaha untuk menambah ilmu bagi memartabatkan profesion keguruan. Kita sepatutnya bangga akan guru yang sanggup bersusah payah menambahkan ilmu pengetahuan.Guru-guru tersebut biasanya akan melibatkan diri mereka dalam research atau kajian tindakan kerana terdedah kepada ilmu tersebut semasa mengambil master dan phd.Ada juga yang seterusnya melibatkan diri dalam bidang penulisan.Jadi wajarlah mereka di beri insentif kerana memanfaatkan ilmu yang ada pada mereka.Terima kasih

hj.kassim 019 7519292 berkata...

Sebagai guru sarjana dah penat menyuarakannya sejak tahun 2000 lagi dalam pelbagai persidangan guru-guru sarjana negeri johor. inilah kekejaman sistem khususnya bagai pegawai atasan yang tidak mempunyai kelulusan sarjana atau phd.
hj. kassim. anda boleh hubungi saya 019 7519292

Awanama berkata...

Pihak yang bertanggung jawab perlu mengambil tanggung jawab berkaitan peranan dan kebajikan terhadap guru-guru yang berkelulusan sarjana & phd...rasionalnya,kepakaran mereka tetap mengalir dalam setiap aktiviti pekerjaan mrk di sekolah demi anak bangsa biarpun tiada siapa yang perihatin terhadap mereka ini...sabarlah cikguuuu