Isnin, 7 Disember 2009

Guru wajar dilibatkan tugasan lain

SAYA merujuk kepada surat saudara Akmal Fairuz bertajuk Erti sebenar guru cemerlang yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009. Luahan beliau memaparkan rasa tidak puas hati diri sendiri dengan cuba memperbesarkan beberapa isu remeh yang menunjukkan beliau kurang jelas tentang peranan seseorang guru, peranan Kementerian Pelajaran, peranan pengurus sekolah, peranan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), malah peranan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Beliau menyebut hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugas sebenar. Saya tidak pasti dari manakah fakta ini diperoleh atau itu merupakan dapatan kajian beliau yang boleh diperakukan. Semua yang bergelar guru tentu maklum bahawa tugas utama atau guru adalah mengajar.

Tetapi ini tidak bererti guru tidak boleh melibatkan diri atau dilibatkan dengan pelbagai tugasan lain. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya tentang kata-kata seorang pensyarah semasa saya masih di Maktab Perguruan (sekarang IPGM) lewat tahun 70-an dahulu; ''Guru adalah segala-galanya''. Ungkapan keramat itulah yang menjadikan kami menghayati peranan dan pengorbanan sebagai guru.

Melaksanakan tugasan lain bukan bererti ia perlu dibuat sehingga mengabaikan tanggungjawab masuk ke kelas untuk menyempurnakan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru perlu bijak mengimbangi masa dan kepelbagaian tugasan kerana ia bukan sahaja memberikan seseorang guru itu pengalaman yang berharga bahkan dapat meningkatkan pelbagai kemahiran dalam melaksanakan tugasan lain.

Erti guru yang sebenar ialah guru yang bijak mempelbagaikan potensi serta kebolehan diri baik dari aspek P&P mahupun tugas sampingan yang diamanahkan kepadanya. Memang terdapat guru yang hanya pandai merungut dan menolak tugasan lain yang diberikan tetapi adakah guru seperti ini menolak kenaikan pangkat secara time-based setelah 10 tahun berkhidmat?

Bagi saya Kementerian Pelajaran Malaysia amat peka dengan beban tugas guru kerana saya juga terlibat secara langsung dalam 'Wacana Beban Tugas Guru' yang turut dihadiri sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelajaran tidak lama dahulu.

Penambahbaikan

Hakikatnya kerajaan, melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, sentiasa melaksanakan penambahbaikan demi memartabatkan guru dan pendidikan. Contohnya meningkatkan norma perjawatan guru dalam pelbagai aspek tugasan dari masa ke semasa.

Barangkali saudara masih baru sebagai guru atau sebagai orang muda yang kurang sabar melihat perkembangan yang pada saudara perlu dilaksanakan dalam sekelip mata. Ingatlah sahabatku, organisasi pendidikan adalah organisasi yang terbesar dalam perkhidmatan awam.

Jika dibandingkan laluan kerjaya atau seorang guru yang mula mengajar pada tahun 70-an dan sebelumnya dengan era guru 90-an hingga kini, memang ternyata ia berbeza. Saban tahun ramai yang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Ada antara mereka dari kalangan jurutera, bidang guaman dan sebagainya yang ingin menempatkan diri sebagai pendidik sedangkan tawaran yang dapat diberikan tidak sebesar jumlah yang memohon. Jelas profesion guru tetap menjadi rebutan ramai.

Beberapa tuduhan yang mempertikaikan kebolehan seseorang guru seperti 'bestari', 'cemerlang' dan 'pakar' amatlah tidak bertanggungjawab. Proses melantik seseorang Guru Cemerlang bukanlah sesuatu proses yang boleh dibuat secara semberono. Selain permohonan rasmi oleh seseorang guru itu sendiri, perakuan dan sokongan daripada pentadbir sekolah, penilaian oleh rakan-rakan guru serta warga sekolah dan penilaian oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti baru boleh memartabatkan seseorang guru itu sebagai Guru Cemerlang.

Saudara tentu tahu bidang kecemerlangan seseorang Guru Cemerlang atau Guru Pakar. Guru juga banyak ruang dan peluang untuk menambah ilmu di dada dengan mengikuti program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sehingga ke tahap Doktor Falsafah. Kita tidak seharusnya memberi pandangan berasaskan pengalaman singkat, pengetahuan dan ilmu yang cetek dan jangan sekali-kali berasaskan emosi.

Sewajarnyalah seseorang guru itu, berdasarkan pengalaman, ilmu dan kebolehan memimpin, diberi penghormatan serta kepercayaan menjadi pemimpin organisasi pendidikan samaada sebagai Ketua Panitia Mata Pelajaran, Ketua Bidang, Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Jabatan, Guru Penolong Kanan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah Pelajaran hatta sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Kecemerlangan

Mereka inilah yang memartabatkan dunia pendidikan sehingga terjelma Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi atau setidak-tidaknya meningkatkan peratus kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam peperiksaan awam di seluruh negara.

Kedinamikan arena pendidikan memerlukan guru yang serba boleh. Arah tuju pendidikan masa kini adalah ke arah melahirkan modal insan yang terbilang dan berminda kelas pertama.

Marilah kita hayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, rungkaikan apa yang tersirat dan apa yang tersurat. Akhir kata, tugas mendidik ke arah 'kemenjadian' seseorang pelajar itu bukanlah terletak semata-mata di atas bahu guru semata-mata, bahkan melibatkan institusi keluarga dan juga masyarakat secara langsung.

ALZAMAN

Pulau Pinang

Utusan Malaysia Online: 7 Disember 2009

1 ulasan:

Awanama berkata...

elok kaji semula gelaran guru cemerlang. kalau guru tu nak lebih hebat, dia kena buat semua kerja, kenapa guru cemerlang dilarang dari memegang jawatan dalam sekolah seperti Ketua Panitia dsbnya? Di sekolah saya, saya nampak guru cemerlang ni lebih relaks dari guru-guru lain sebab mereka tak pegang apa-apa jawatan. so, kesimpulan yg saya boleh buat, kalau nak fokus pada P&P dan kurangkan beban kerja kerani, jadilah guru cemerlang...