Khamis, 3 Disember 2009

Sekolah biasa atasi premier?

TAWAU 2 Dis. - Kerajaan tidak menolak kemungkinan terdapat sekolah biasa tersenarai sebagai 20 sekolah terbaik mengatasi sekolah premier berdasarkan audit ke atas 10,000 sekolah yang telah selesai dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian berdasarkan pencapaian menyeluruh mengikut kriteria yang ditetapkan itu turut merangkumi prestasi warga pendidik di sekolah berkenaan.

''Jangan terkejut kalau ada sekolah biasa sudah mengatasi sekolah premier. Hari ini, kemungkinan itu tidak mustahil berlaku," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tawau di Balung dekat sini hari ini.

Muhyiddin menjelaskan, kedudukan itu penting kerana ia akan membantu kementerian melaksanakan sistem imbuhan kepada pengetua dan guru-guru yang berjaya meningkatkan kecemerlangan di sekolah masing-masing.

Menurutnya, penilaian pertama ke atas sekolah-sekolah akan dilakukan sepanjang tahun depan dan imbuhannya pula akan diberikan pada tahun berikutnya iaitu 2011.

"Bentuk imbuhan akan diumumkan serentak dengan pengumuman perincian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian itu tidak lama lagi,'' katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian akan terus berusaha meningkatkan kebajikan pentadbir dan guru di sekolah selari dengan pencapaian yang diperoleh pelajar.

Utusan Malaysia Online: 3 Disember 2009

1 ulasan:

Awanama berkata...

Sekolah Premier hanya untuk pelajar yang cemerlang. Jika prestasi mereka merosot akan ditukarkan ke sekolah biasa. Maknanya sekolah tersebut gagal untuk menngekalkan kecemerlangannya. Sepatutnya mereka mendidik pelajar mereka sehingga dapat cemerlang dan bukannya menyingkirkan mereka dari sekolah berkenaan.