Jumaat, 18 Disember 2009

Tambah guru tahap satu

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menambah jumlah guru terutama bagi tahap satu dalam usaha meningkatkan penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M).

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad (gambar), berkata nisbah guru sedia ada hanya memberi penumpuan terhadap pelajar tahun enam dan langkah berkenaan dianggap tidak tepat berikutan penguasaan 3M sepatutnya dimulakan di kalangan murid tahap satu.

“Buat masa ini, nisbah guru untuk murid darjah satu hingga tiga adalah 1.5 berbanding 1.7 untuk murid tahun enam. Keadaan sama turut berlaku untuk murid sekolah menengah dengan nisbah guru pelajar tingkatan satu, 1.5 manakala bagi tingkatan dua hingga lima, 1.7,” katanya selepas persidangan perwakilan KGMMB, di sini, semalam.

Menurutnya, KGMMB meminta KPM menilai semula nisbah berkenaan dan memberi ruang kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT) berkualiti diserap ke dalam profesion perguruan.

“Ada sebahagian GSTT berminat dengan bidang pendidikan, namun mereka terpaksa berhenti sekiranya mendapat tawaran pekerjaan lain memandangkan jawatan GSTT hanya sementara.

“Oleh itu, menjadi kerugian kepada guru terbabit kerana terpaksa melepaskan tanggungjawab yang belum selesai dan pelajar menjadi mangsa kerana perlu menyesuaikan diri dengan guru lain,” katanya.

Menurutnya, KGMMB meminta KPM mewujudkan semula kelas dalam cuti (KDC) untuk memberi pendedahan sewajarnya kepada GSTT.

“Mereka mempunyai pengalaman mengajar, cuma kurang aspek pedagogi dan perkara itu diterapkan ketika mengikuti KDC. Kami percaya GSTT mampu menjadi pendidik yang baik,” katanya.

myMetro: 18 Disember 2009

1 ulasan:

Awanama berkata...

Bukan tambah guru Tahap 1, tetapi semua sekali. Bukan 1.7 tapi 2. Dah berpuluh thn nisbah ni tak ditambah, sedangkan kerja guru bertambah berkali ganda. Kami tak kisah banyak kerja, asalkan jgn guru disalahkan bila result UPSR turun. Satu lagi, pengiraan guru utk SKM yang lebih 100 murid perlu dipinda. Dah tak relevan. Wujudkan guru akademik dan separa akademik jika tak mampu wujudkan pembantu guru.