Rabu, 28 Januari 2009

EXCELLENCE IN SCHOOLS: Build on niche factor

By : LIONG KAM CHONG, Seremban

IN its quest for excellence, the Education Ministry has called on schools to explore and identify its own "niches" in the broader education system and then strive hard to excel in those chosen fields.

This is a laudable move. When our schools can each take pride in specific areas of achievements, our students will benefit vastly.

In this context, I would like to share a catchword -- "Success and excellence" -- which I used to inspire my students when I was a school head.

I strongly believe this catchword had been effective in bringing confidence to my students and propelling them to greater heights.

I agree that every child is blessed, in good measure, with multiple abilities. At the same time, each child is gifted in specific area(s) of ability.
With proper nurturing and discipline, these abilities will flourish. Therefore, each child can and should develop into a confident being, sure of what he or she can do.

This means that with reasonable effort and discipline, every child can achieve "success" in all aspects of his or her schooling. At the same time, every child can strive for "excellence" in his or her gifted areas of study or learning. "Success and excellence" should not elude any child.

Not every child needs to achieve a string of A's in his or her exam: That is excellence. But every child should strive to pass major exams: That is success.

Not every child can aspire to be a top-notch sportsman or sportswoman (excellence), but every child should strive to do well in physical education classes and enjoy sports and games (success).

Not every child achieves excellence by aspiring to be a famed pianist, violinist or artist. But every child who tries can learn the rudiments of music and achieve success.

As parents and teachers, we should impress upon our children and students the real meanings of "success and excellence". Everyone can and should strive to achieve "success" in whatever one sets out to do. We are endowed with sufficient inborn abilities to master the basics of most things that need to be learnt or done. With proper teaching or coaching, we can succeed in everything we put our hearts to. Every child should know this.

Nevertheless, excellence, as it rightly should, demands a higher standard of achievement. Excellence in a particular field is the reserve of the selected few. Every child should also know this. There is no need to be envious or fearful of others so long as we are confident of our own "niche".

It is the rare individual who can excel in a myriad of fields or endeavours. But each child can strive to excel in a niche of his or her own. The important thing is that each child knows where his gifts lie and be given the opportunity to explore and exploit them. Then, with hard work and discipline, he or she will achieve excellence.

On the other hand, each child must know it is his or her own responsibility to achieve "successes" in the basics, the minimum standards and the general things required of schooling. In this, there should be no compromise.

If schools promote the concept of "Success and excellence" among their students, they will see more successes and excellence exhibited by their students.

The Education Ministry's grand objective of establishing "niche" schools can be realised sooner rather than later. We can then march towards Vision 2020 with confidence. Success and excellence -- that's the way to go!

The New Straits Times Online: 27 Januari 2009

Selasa, 27 Januari 2009

Pengetua SBP diberi kuasa ambil pelajar

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Projek perintis pilih lulusan UPSR ke asrama

KUALA LUMPUR: Mulai tahun ini, semua pengetua 48 sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh negara diberi kuasa autonomi untuk memproses sendiri pengambilan 20 peratus pelajar lulusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Tingkatan Satu.

Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran, Ashah Samah, berkata pemberian kuasa autonomi melalui projek perintis itu hanya untuk 20 peratus calon, iaitu 1,160 pelajar daripada keseluruhan pengambilan 5,838 calon, manakala baki 80 peratus masih diproses kementerian.

"Pengambilan 80 peratus pelajar oleh Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster sudah pun mendaftar diri pada 12 Januari lalu, manakala 20 peratus yang dipilih pengetua akan menyertai mereka pada 23 Februari ini.

"Projek perintis ini membabitkan semua 48 SBP yang menawarkan kemasukan ke Tingkatan Satu. Bagi 20 peratus pelajar itu, permohonan calon dikemukakan secara terus kepada sekolah tanpa melalui kementerian.

"Pengetua SBP sudah mula menjalankan temuduga untuk pengambilan pada 19 Januari lalu. Pelajar yang diproses melalui kuasa autonomi ini boleh menyemak keputusan permohonan melalui laman web Kementerian Pelajaran beralamat www.moe.gov.my pada minggu ketiga bulan depan.

"Walaupun pemilihan 20 peratus pelajar itu ditentukan SBP sendiri, keputusannya tetap melalui proses pengesahan kementerian yang akan mengeluarkan surat tawaran," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kementerian Pelajaran menerima 92,850 permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di SBP tahun ini.

Ashah berkata, pengetua SBP akan membuat pemilihan pelajar berdasarkan sekurang-kurang tiga bidang kecemerlangan, mencakupi pencapaian akademik, kokurikulum akademik dan sukan/permainan.

Beliau berkata, pelaksanaan kajian perintis pemberian kuasa autonomi kepada pengetua SBP selaras matlamat Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, untuk memberi kuasa, ruang dan autonomi kepada sekolah kluster atau sekolah kelompok cemerlang bagi melonjakkan kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Setakat ini, 11 SBP yang menawarkan kemasukan ke Tingkatan Satu sudah terpilih sebagai sekolah kluster.

Berita Harian Online: 26 Disember 2009

Penggunaan buku teks beri kesan positif dalam P&P


AZARIAH mengagihkan bekalan buku teks kepada muridnya.

ISU berkaitan beg berat di sekolah tidak akan berakhir kerana pelajar terpaksa membawa buku teks, selain buku kerja dan latihan yang akan digunakan guru ketika mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Penggunaan buku teks terus relevan walaupun guru mempunyai pilihan untuk melaksanakan kegiatan di bilik darjah dengan bantuan peralatan canggih teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Guru besar Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor, Asnaniar Alias, berkata penggunaan buku teks yang dilaksanakan secara menyeluruh memberi kesan positif dalam proses P&P.

Walaupun dunia dikejutkan dengan ledakan alat komunikasi canggih, beliau berkata, kaedah konvensional menerusi penggunaan buku teks dan bahan cetak berkaitan masih sesuai diguna pakai hingga ke hari ini.

Setiap kali proses pembelajaran berlangsung, katanya, kedua-dua bahan berkenaan dijadikan rujukan, selain bahan tambahan sama ada diambil daripada keratan akhbar, majalah atau internet.

Sementara itu, guru pengelola Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sekolah berkenaan, Azariah Yaacob, berkata penggunaan buku teks masih digunakan dalam sistem pendidikan semua peringkat di sekolah.

Rujukan itu kata beliau, dijadikan panduan kepada sukatan pelajaran bagi subjek yang diajar dan ia berkesan dalam meningkatkan pemahaman di kalangan murid.

Bagi melancarkan proses pengagihan buku teks, katanya, data pelajar dikemaskini seawal Mei untuk dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum tindakan susulan ke Jabatan Pelajaran Negeri.

Memandangkan SPBT memberi peluang kepada semua murid mendapat pinjaman, katanya, ia lebih mudah kerana guru tidak perlu membuat tapisan bagi memilih mereka yang layak.

“Guru hanya menyediakan maklumat mengenai jumlah bekalan diperlukan untuk keperluan tahun seterusnya berdasarkan enrolmen murid sedia ada dan murid baru Tahun Satu seterusnya,” katanya.

Jika ada perubahan jumlah murid terutama membabitkan mereka yang bertukar sekolah, Azariah berkata, murid tadi perlu menunggu sehingga sesi persekolahan bermula untuk mendapatkan bekalan baru.

Bagi mereka yang bertukar sekolah dalam negeri yang sama beliau berkata, murid boleh membawa buku berkenaan ke sekolah baru.

Bagaimanapun katanya, bagi murid dari negeri lain mereka perlu mendapatkan buku berkenaan di sekolah baru.

“Proses ini mungkin mengambil masa kerana bekalan sedia ada akan diberikan kepada murid sekolah terbabit dan selebihnya diberikan kepada murid baru.

“Jika bekalan tidak mencukupi, guru akan mendapatkannya dari PPD,” katanya ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.

Seorang murid, Nur Alia Sabrina Mohamad Azlan, 10, berkata dia mendapat bekalan buku teks sebelum cuti semester akhir.

Buku berkenaan katanya, digunakan untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh cuti .

“Setiap kali ke kedai buku saya akan melihat buku latihan dan jika sesuai, saya minta ibu untuk membelinya sebagai rujukan tambahan,” katanya.

Bagi guru mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, Norul Azman Mohammed Nor, berkata dia masih menggunakan buku teks sebagai bahan rujukan, selain menjadikan kemudahan ICT sebagai pelengkap.

Beliau berkata, segala ilustrasi menarik yang terkandung dalam buku teks akan dimuat turun ke dalam komputer bagi membolehkannya menggunakan secara interaktif. Gabungan buku teks dan kemudahan ICT ini memudahkan murid memahami sesuatu topik.

Berita Harian Online: 26 Januari 2009

Isnin, 26 Januari 2009

PPSMI: Kerajaan bersikap terbuka

TEMERLOH 24 Jan. - Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan bersikap terbuka bagi memastikan semua suara rakyat Malaysia diambil kira sebelum menentukan hala tuju Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian sentiasa menghargai pandangan semua pihak bagi memastikan mereka diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, cadangan mahupun kebimbangan di dalam suasana yang kondusif dan membina berhubung PPSMI.

Sehubungan itu beliau memberitahu, kementerian sedang memperkemaskan PPSMI dengan mengambil kira kesannya terhadap pelajar, kesediaan guru-guru dan kesan jangka panjang terhadap bahasa kebangsaan.

''Kerajaan juga mengambil kira implikasinya daripada segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan serta jurang pencapaian para pelajar bandar dan luar bandar.

''Saya harap semua pihak bersabar dan memberi sedikit masa kepada kementerian supaya dapat menghasilkan cadangan yang baik, tepat dan bernas untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai pelajaran seluruh Pahang di sini hari ini.

Kata Hishammuddin, beliau sendiri sentiasa memantau setiap perkembangan yang berlaku dan menyedari masih terdapat kelompok-kelompok tertentu di dalam masyarakat yang resah, bimbang dan risau pandangan mereka tidak diambil kira oleh kementerian.

Menurutnya, soal tidak puas hati atau tindakan membantah dasar itu pada hakikatnya tidak harus wujud kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau memberitahu, kerajaan sangat mengambil berat mengenai PPSMI terutama selepas tamat tempoh enam tahun pelaksanaannya di peringkat sekolah rendah.

''Kerajaan menyedari betapa pentingnya PPSMI ditangani secara teliti demi kepentingan bersama tanpa mengenepikan pihak-pihak yang berkepentingan kerana masa depan para pelajar tidak boleh diambil mudah," katanya.

Hishammuddin menambah, Jawatankuasa Induk Pelaksanaan PPSMI yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, (KPPM), Datuk Alimuddin Md. Dom telah selesai meneliti semua pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

''Saya insaf dan sedar bahawa isu PPSMI merupakan satu isu besar dan mempunyai implikasi berkekalan kepada anak bangsa dan masa depan negara kita.

''Oleh itu, usaha-usaha ini diharap dapat memastikan sebarang keputusan yang bakal dibuat menjadi keputusan kolektif rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, sejak Persidangan Meja Bulat Pertama pada 14 Julai lalu hingga Persidangan Meja Bulat Kelima pada 16 Disember lalu, pihaknya telah mendapatkan pandangan daripada lebih 600 peserta antaranya daripada profesional pendidikan, kesatuan dan persatuan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional, korporat, pemimpin komuniti dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Kata Hishammuddin, semua pandangan itu diterima termasuk melalui memorandum, saluran media dan sebagainya serta pandangan dan kajian yang dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat Pertama sehingga yang Kelima baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online: 25 Januari 2009

Ahad, 25 Januari 2009

Hishammuddin Jamin Peruntukan Untuk PIBG Mencukupi

TEMERLOH, 24 Jan (Bernama) -- Pengagihan peruntukan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menjalankan aktiviti tahunan tidak akan terjejas walaupun negara sedang berdepan dengan krisis ekonomi dunia, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan masih mampu menyediakan dan menyalurkan peruntukan mengikut keperluan PIBG terutamanya bagi menjalankan kegiatan kokurikulum di sekolah.

Peruntukan diluluskan bergantung kepada bilangan pelajar dan aktiviti yang akan dijalankan oleh sekolah berkenaan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di sini, Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkan peruntukan PIBG dan juga bantuan lain seperti pinjaman buku teks, pakaian sekolah dan bantuan untuk pelajar miskin.

Mengenai perjumpaan tertutup itu, Hishammuddin berkata perjumpaan itu bertujuan untuk mendengar pandangan mengenai pelaksanaan dasar dan program Kementerian Pelajaran di peringkat akar umbi.

Katanya ia meliputi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP), Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaan projek membabitkan Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Mengenai PPSMI, beliau berkata Jawatankuasa Induk Pelaksanaan PPSMI telah selesai menganalisis semua pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung sama ada dasar itu wajar dikekalkan atau tidak.

"Pandangan itu termasuk melalui memorandum, saluran media, pandangan dan kajian yang dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat pertama sehingga yang kelima baru-baru ini," kata beliau.

Sementara itu, Hishammuddin berkata penahanan dan pendakwaan beberapa pemimpin Umno berhubung politik wang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan melemahkan Umno untuk terus berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

Ketua Pemuda Umno itu yakin perkara itu tidak akan menjejaskan pemilihan parti Mac ini kerana setiap perwakilan adalah matang untuk memilih pemimpin yang berkelayakan.

"Pada masa ini adalah penting untuk semua ahli Umno bersatu dan terus menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bagi," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu telah menjadi amalan Umno dalam menghadapi situasi yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam parti.

BERNAMA: 24 Januari 2009

Sabtu, 24 Januari 2009

Azam guru besar SK Penderas


SHAHIZAH Jasni menerima hadiah basikal daripada ADUN Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar (dua dari kanan) pada majlis Pencapaian Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR 2008 di Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 22 Jan. - Kejayaan empat pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Kuala Krau dekat sini memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini membuktikan anak-anak Orang Asli mampu mencapai kejayaan cemerlang jika ada kesungguhan.

Kejayaan itu juga secara tidak langsung menafikan pandangan sesetengah pihak kononnya masyarakat Orang Asli menolak pendidikan dan mahu terus kekal hidup dengan budaya nenek moyang mereka yang terus bergantung kepada hasil hutan sebagai mata pencarian.

Guru Besar SK Penderas, Sahri Shahalan berkata, sebaik sahaja ditugaskan sebagai guru besar di sekolah berkenaan tiga tahun lalu, beliau berazam untuk memberikan pendidikan terbaik kepada masyarakat dan anak-anak Orang Asli yang tinggal di kawasan Jenderak.

''Langkah awal saya ialah membetulkan sikap guru-guru dengan mengingatkan mereka tidak berada di zon selesa. Sebaliknya saya meminta mereka memberikan komitmen dan bekerja keras dua kali ganda daripada sekolah biasa.

''Alhamdulillah mereka faham dan menyahut cabaran tersebut. Saya menetapkan tahun 2010 sebagai visi guru-guru untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang pelajar Orang Asli mendapat 5A dalam UPSR.

''Bagaimanapun sasaran itu dicapai lebih awal apabila dua pelajar mendapat 5A dalam UPSR 2007," kata Sahri semasa ditemui pada majlis pencapaian anugerah pelajar cemerlang UPSR 2008 baru-baru ini.

Sahri berkata, kejayaan 100 peratus UPSR tahun lalu menyebabkan beliau terpaksa mengubah strategi visi 2010 kerana sasaran berjaya dicapai tiga tahun lebih awal.

Katanya, antara langkah yang diambil bagi meningkatkan pencapaian SK Penderas ialah melancarkan program motivasi dengan membawa Ahli Dewan Negara, Senator Awang Bongsu melancarkan marathon di kalangan pelajar Orang Asli sejak tahun 2006.

Selain itu, kata beliau, para pelajar sekolah berkenaan juga dibawa melawat sekolah Orang Asli yang maju di SK Bangku, Sepang, Selangor.

Katanya, pelajar yang berpotensi untuk mencapai kejayaan digalakkan tinggal di asrama serta menyarankan ibu bapa mereka datang setiap hujung minggu untuk berbincang dengan guru mengenai pencapaian dan perkembangan semasa pelajaran anak-anak mereka.

Tambah Sahri, menerusi pelbagai program motivasi, pelajar dan ibu bapa juga disarankan tidak merasa rendah diri kerana mereka juga mempunyai kebolehan sama dengan pelajar lain asli untuk mencapai kejayaan jika berusaha lebih gigih.

''Dua pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun 2007 telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan dan pihak sekolah akan turut membantu empat lagi pelajar yang mendapat keputusan yang sama tahun ini supaya mendapat biasiswa dan belajar di sekolah berasrama penuh.

''Selain UPSR, SK Penderas turut mencapai beberapa kejayaan dalam sukan dan kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan nasional. Semua kejayaan itu adalah hasil kerjasama guru, ibu bapa, kakitangan sekolah dan masyarakat," kata Sahri.

Pada tahun ini, beliau mensasarkan lapan pelajar dapat 5A dalam UPSR dan berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pelajaran dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) terus memberikan sokongan bagi mencapai wawasan Lonjakan Saujana 2010.

Menurutnya, kejayaan 2007 membolehkan pihak sekolah mendapat anugerah cemerlang dan wang RM300,000 sekali gus meletakkan SK Penderas menjadi tanda aras kejayaan Orang Asli di Pahang.

Empat pelajar yang mendapat 5A UPSR tahun lalu ialah Shahizah Jasni, Intan Kurniawati Karna Hidayat, Nasyamira Aireina Ali dan Salwani Bi.

Sementara itu, Jasni Kimoy dipilih sebagai menerima Anugerah Ibu Bapa berikutan kejayaan dua anaknya mendapat 5A dua tahun berturut-turut dalam UPSR iaitu Zuhaizah, 14, pada tahun 2007 dan Shahizah, 13, pada tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2009

Jumaat, 23 Januari 2009

Guru aktif jual produk MLM abai pelajar

SAYA dipelawa seorang rakan sekerja untuk menjadi ahli syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM), namun saya tidak berminat dan menolak pelawaan itu dengan baik.

Apa yang menarik perhatian saya mengenai MLM ialah majalah bulanan syarikat itu keluaran Disember 2008, pada satu ruangan bertajuk ‘Guru Rasai Kepuasan Sertai Elken.’ Persoalannya, berapa ramaikah guru yang menjadi pengedar berjaya kepada syarikat MLM. Guru menghabiskan masa untuk menjual produk syarikat berkenaan.

Jika ingin berjaya sebagai pengedar bertaraf berlian, nilam dan delima dalam syarikat MLM, mereka perlu menjual produk dalam jumlah tertentu untuk mendapat mata ganjaran dan perlu hadir kursus kepemimpinan yang diatur syarikat.

Begitu juga dengan pensyarah di kolej pengajian awam yang saya lihat sibuk menjual produk kesihatan. Jika guru dan pensyarah sibuk memasarkan produk masing-masing daripada buku, bagaimana dengan nasib anak murid dan pelajar? Bukankah tugas utama guru mendidik dan mengajar.

Saya tidak mempertikai jika guru dan pensyarah mencari pendapatan lebih tetapi dari segi perkhidmatan, tidak manis jika pegawai kerajaan terkejar-kejar wang, lebih pentingkan tugas sebagai pengedar daripada tugas rasmi sebagai guru di sekolah sedangkan setiap bulan dibayar gaji.

Kalau betul sudah kaya menjadi pengedar seperti terpapar dalam majalah syarikat, kenapa tidak lepaskan saja jawatan guru atau pensyarah kalau perniagaan itu lebih memberikan kepuasan? Berapa ramai guru ini benar-benar ikhlas dengan tugas mereka.

Dulu pernah menjadi isu guru dan pensyarah mengajar sambil lewa di sekolah tetapi bersungguh-sungguh mengajar di pusat tuisyen, lalu pihak kementerian mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan guru mengajar tuisyen kecuali mendapat kebenaran ketua jabatan dan mendaftarkan pusat berkenaan.

Mungkin kementerian patut fikirkan apa pula tindakan yang sesuai diambil bagi memastikan pendidik di sekolah ini datang daripada guru yang komited dengan tugas guru bukan tugas jual penapis air atau susu.

FAIZAH DIN,
Sungai Petani, Kedah.

Berita Harian Online: 22 Januari 2009

Jangan rahsia jika pelajar lakukan jenayah


WAN Mohd. Zahari Wan Busu bersalaman dengan guru-guru besar pada Majlis Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Cameron Highlands di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands, semalam.


CAMERON HIGHLANDS 21 Jan. - Para pengetua dan guru besar sekolah diminta tidak merahsiakan perbuatan pelajarnya yang terlibat dengan jenayah daripada pengetahuan pihak polis semata-mata mahu menjaga nama sekolah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi boleh mengundang masalah pada kemudian hari.

''Kalau perbuatan jenayah ini disembunyikan, kita bimbang ia akan merebak seterusnya memudaratkan keselamatan pelajar lain dan sekolah itu sendiri.

''Perbuatan jenayah tidak perlu disembunyikan kerana lambat-laun ia tetap akan diketahui oleh polis," katanya ketika berucap pada Majlis Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Cameron Highlands Tahun 2009 di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zahari, pengetua dan guru besar yang mengetahui pelajar mereka terlibat dalam jenayah boleh berhubung terus dengan pegawai perhubungan sekolah untuk memaklumkan perkara itu agar tindakan segera boleh diambil.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya belum pernah menerima laporan pengetua atau guru besar menyembunyikan pembabitan pelajar dalam jenayah di daerah Cameron Highlands.

Malah katanya, daerah Cameron Highlands merupakan antara tempat yang mencatatkan kes jenayah paling rendah membabitkan pelajar sekolah di negara ini.

''Sepanjang tahun lalu misalnya, hanya tiga kes jenayah membabitkan pelajar dilaporkan berlaku di Cameron Highlands iaitu dua kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal.

''Tiga pelajar ditangkap kerana terlibat dalam kes pecah rumah manakala seorang lagi kes curi motosikal dan penangkapan mereka yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga hingga lima telah berjaya menyelesaikan kes tersebut," katanya.

Wan Mohd. Zahari berkata, keseluruhannya masalah jenayah di Cameron Highlands berada dalam keadaan terkawal apabila hanya 61 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, jumlah itu didapati menurun 23.75 peratus berbanding 80 kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2007.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2009

Khamis, 22 Januari 2009

Penolong kanan sekolah ditahan kes rasuah politik

KUANTAN: Seorang penolong kanan sebuah sekolah di Raub ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang hari ini kerana disyaki terbabit kes rasuah politik.

Guru lelaki berusia 40-an itu ditahan di sekolahnya pada 2.15 petang tadi.

Pengarah SPRM negeri, Sutinah Sutan, ketika dihubungi berkata guru itu akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana kesalahan itu yang didakwa dilakukan di sebuah hotel di ibu negara.

Dia didakwa memberi rasuah RM200 kepada seseorang sebagai dorongan bagi mengundi seorang calon ketua bahagian Umno di Pahang pada pemilihan bahagian itu November tahun lalu.

Berita Harian Online: 21 Januari 2009

Guru didakwa meliwat, lakukan seks oral

21/01/2009 3:34pm

KLANG, 21 Jan — Seorang guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan meliwat dan melakukan seks oral terhadap seorang remaja lelaki berumur 14 tahun di sebuah rumah di Rantau Panjang di sini, Ogos tahun lepas.

Badrul Akmal Ishak, 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii dengan meliwat mangsa di rumah No: 53, Jalan Genting 5/KU4, Taman Kembara 2, Rantau Panjang, kira-kira pukul 1 pagi pada 24 Ogos tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Badrul Akmal, yang ditangkap pada 29 Ogos tahun lepas, juga didakwa sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii iaitu dengan memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa, kira-kira pukul 3 pagi di tempat dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pembantu Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin membantah ikat jamin diberikan kepada Badrul Akmal kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa.

Peguam Gerard Lazarus yang mewakili tertuduh bagaimanapun menyangkal dakwaan Aimi Syazwani dengan alasan anak guamnya yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis tidak pernah mengganggu mangsa.

Lazarus memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah munasabah dan mengenakan syarat-syarat tambahan kepada anak guamnya.

Hakim Yong Zarida Sazali kemudian membenarkan Badrul Akmal diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta seorang penjamin dan melarang tertuduh mendekati atau menganggu mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan Badrul Akmal melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes itu selesai dan menetapkan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia Online: 21 Januari 2009

Rabu, 21 Januari 2009

Kemudahan pertukaran bukan hak mutlak kakitangan awam

SAYA ingin memberi pandangan berhubung surat 'Pegawai Sedih' dalam ruangan ini kelmarin berhubung masalah permohonan pertukaran isterinya. Pengadu perlu faham, sebagai pegawai awam dia boleh diarahkan bertugas di mana saja oleh ketua jabatan. Pertukaran bukan hak mutlak seorang pegawai awam. Mereka harus sedar ketua jabatan lebih mengetahui keperluan anggota di sesuatu tempat.

Pengadu boleh memohon tetapi bukan memaksa pihak atasan mengikut kehendaknya. Jika ramai pertukaran pegawai awam dilayani, nescaya rakyat tidak mendapat perkhidmatan bermutu.

Nescaya banyak sekolah akan kekurangan guru dan hospital kekurangan jururawat kerana semua mahu bertukar ke tempat diingini. Pengadu harus bersabar kerana pertukaran bukan dengan sekelip mata. Dia harus fikirkan kepentingan masyarakat lebih daripada segalanya. Dia dan isteri ketika mohon guru dulu berjanji akan bertugas di mana saja diarahkan. 'Pegawai Sedih' harus syukur kerana guru mudah bertukar kerana banyak sekolah cuma mengambil sedikit masa dan kesabaran.

Malah, lebih penting dia dan isteri bekerja tetap dan terjamin. Renungkanlah bagaimana ada pasangan yang saya ketahui bekerja di sektor swasta terpaksa berjauhan kerana syarikat suami hanya ada di Pulau Pinang dan isteri di Ipoh dan syarikat itu tiada cawangan lain dan sudah tentu tidak boleh mohon pertukaran.

Ada juga syarikat yang mempunyai banyak cawangan tetapi tiada kemudahan untuk bertukar.

Saya khuatir kualiti perkhidmatan guru di sekolah atau perkhidmatan lain akan terjejas jika ramai asyik memikir hendak tukar dan kurang komitmen bertugas.

PEGAWAI MENURUT PERINTAH,
Shah Alam, Selangor.

Berita Harian Online: 20 Januari 2009

Selasa, 20 Januari 2009

Timur: Pelajar, guru bantah kekejaman Zionis

TUMPAT: Hampir 1,000 pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi Pasir Pekan, di sini, mengadakan demonstrasi secara aman membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Pelajar dan guru terbabit yang diketuai Pengetuanya, Muslim Che Yusof, berhimpun di pekarangan sekolah itu sejak jam 8 pagi semalam dan berakhir dua jam kemudian bagi mengutuk kekejaman tentera Yahudi itu.

Muslim berkata, warga sekolah itu membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Enam Atas serta 58 guru.

"Demonstrasi ini adalah tanda keprihatinan warga sekolah ini terhadap penderitaan rakyat Palestin berikutan tindakan kejam tentera Israel di Wilayah Gaza.

"Kami tidak mahu ketinggalan, justeru hari ini, kami bersama-sama dengan masyarakat negara ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan tentera Zionis itu," katanya ketika ditemui pada majlis itu, semalam.

Muslim berkata, selain demonstrasi secara aman, pihaknya turut menganjurkan solat hajat dan kutipan derma bagi menzahirkan rasa simpati terhadap nasib umat Islam di negara Palestin.

Katanya, kutipan derma daripada seluruh warga sekolah itu akan diserahkan kepada pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.

Berita Harian Online: 19 Januari 2009

Ahad, 18 Januari 2009

Silibus Tahap Satu dikurang dua tahun

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Usaha pastikan murid kuasai kemahiran 3M

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mengurangkan tempoh pendidikan Tahap Satu sekolah rendah kepada dua tahun, manakala Tahap Dua menjadi empat tahun.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata ia sebahagian daripada transformasi pendidikan rendah yang akan dilaksanakan tahun depan jika projek rintis sedia ada mencatat kejayaan dan berkesan.

“Ini bermakna pendidikan Tahap Satu hanya meliputi Tahun Satu dan Tahun Dua, manakala Tahun Tiga dimasukkan dalam peringkat Tahap Dua bersama Tahun Empat sehingga Tahun Enam.

“Penukaran Tahun Tiga kepada Tahap Dua mempercepatkan peningkatan kualiti pendidikan mereka.

“Rasional langkah ini ialah murid sekarang didapati tidak memulakan persekolahan Tahun Satu daripada ‘kosong’ kerana kebanyakan mereka didedahkan kepada pendidikan prasekolah.

“Generasi sekarang lebih bersedia memulakan persekolahan, tambahan pula kerajaan menyediakan banyak kemudahan pendidikan awal yang menjadi sebahagian daripada nikmat kemajuan negara,” katanya.

Alimuddin berkata, transformasi pendidikan dilaksanakan berperingkat dan dimulakan dengan murid Tahun Satu tahun depan.

Ditanya kemungkinan ada murid terutama di luar bandar atau pedalaman yang tidak mampu menguasai kemahiran 3M sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, beliau berkata, bilangannya berkurangan tetapi guru terbabit akan menumpukan usaha membantu mereka.

Bagaimanapun, Alimuddin tidak menolak kemungkinan pelaksanaan transformasi pendidikan tahun depan lewat sedikit jika banyak masalah atau kekurangan dalam projek rintis, termasuk yang membabitkan 500 sekolah rendah tahun ini.

Katanya, antara aspek utama diberi tumpuan ialah menangani jadual waktu padat, bilangan mata pelajaran yang banyak dan penekanan keterlaluan kepada kecemerlangan akademik.

“Transformasi kurikulum dilaksanakan bagi menangani isu ini dengan memberi penekanan kepada pembelajaran menyeronokkan, mengurangkan bilangan mata pelajaran peperiksaan, memberi penekanan lebih kepada taksiran berasaskan sekolah, meningkatkan pembabitan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah serta memperkukuh penghayatan nilai seperti perpaduan, alam sekitar dan patriotisme,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Januari 2009

Sabtu, 17 Januari 2009

Guru kesal rayuan tukar tak dilayan

SAYA adalah kakitangan yang kini bertugas di Kuala Lumpur manakala isteri saya menjadi ustazah dan mengajar di sekolah menengah di Johor.

Bagi memohon perpindahan, saya dan isteri baru-baru ini pergi ke Kementerian Pelajaran, iaitu Bahagian Pendidikan Islam di Putrajaya untuk berjumpa dengan Penolong Pengarah yang bertanggungjawab memproses penempatan guru agama di seluruh negara.

Ketika bertemu dengan pegawai berkenaan, layanan diterima tidak seperti yang diharapkan. Surat rayuan yang diberikan kepada beliau tidak dibaca dengan alasan beliau sibuk jika hendak melayan semua surat rayuan.

Saya cuba berkomunikasi dengan beliau agar rayuan saya dipertimbangkan dengan alasan yang saya juga kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat di Kuala Lumpur dan bertanyakan mengenai polisi berkaitan isteri mengikut suami.

Dengan nada bersahaja beliau menjawab tidak pernah mendengar polisi berkenaan tetapi berjanji akan membawa surat rayuan saya untuk dibincangkan dalam mesyuarat sebelum keputusan dibuat. Seminggu selepas itu saya menghubungi pegawai berkenaan, namun dimaklumkan keputusan belum dibuat.

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, saya dan isteri mengambil keputusan berjumpa terus dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam tetapi dihalang pembantunya yang memberi alasan pengarah sibuk.

Bagaimanapun kami tetap menunggu sehingga pengarah keluar dan terserempak dengan kami yang duduk di bilik tetamu. Saya terus bertanyakan kepada beliau mengenai rayuan saya. Pengarah menerangkan bahawa segala keputusan penempatan sudah diserahkan kepada Penolong Pengarah (pegawai yang pertama kami temui).

Saya memaklumkan kepadanya, pegawai yang saya temui menerangkan rayuan saya akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat, namun Pengarah berkata, tiada mesyuarat berkaitan penempatan diadakan.

Saya dan isteri terus tergamam kerana tidak menyangka pegawai yang berpendidikan Islam sanggup memberi maklumat tidak betul kepada kami semata-mata untuk melepaskan diri sendiri. Saya dan isteri menanggung akibatnya, apabila seorang bekerja di Kuala Lumpur, manakala seorang lagi di Johor.

Saya memohon, Bahagian Pendidikan Islam dapat memberi penjelasan berhubung tindakan berkenaan.





PEGAWAI SEDIH,

Ampang, Selangor.

Berita Harian Online: 16 Januari 2009

SMKS2 sumbang RM2,100 untuk Dakap


KALSOM Khalid menyampaikan cek bernilai RM2,100 untuk Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) kepada Mohammad Yasir Jaafar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2 (SMKS2), semalam.


SEREMBAN 15 Jan. - Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2 (SMKS2) menjadi sekolah pertama di Negeri Sembilan memperlihatkan keprihatinannya dengan menyumbang sebanyak RM2,100 untuk Tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap).

Pengetua SMKS2, Datin Maznah Yusof berkata, pihak sekolah telah mengadakan derma kilat selama empat hari untuk mengutip dana disalurkan kepada Dakap agar dapat mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.

''Seramai 1,305 warga sekolah bersatu hati bagi mengutip dana ini untuk digunakan sepenuhnya bagi meringankan beban mangsa serangan di Palestin.

''Di samping itu, ia juga merupakan langkah memupuk semangat kecintaan serta tolong-menolong terhadap manusia sejagat yang menghadapi penderitaan akibat peperangan di kalangan para pelajar serta tenaga pengajar di sekolah ini," katanya di sini hari ini.

Sumbangan cek yang bernilai RM2,100 itu akan disalurkan ke Tabung Dakap yang ditubuhkan hasil kerjasama Kumpulan Utusan dengan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Kalsom Khalid menyampaikan cek berkenaan kepada wakil Utusan Malaysia, Mohammad Yasir Jaafar sambil disaksikan Maznah Yusof .

Maznah berkata, penderitaan yang dialami rakyat Palestin terutama kanak-kanak dan golongan wanita begitu dirasai oleh warga sekolahnya sehingga melahirkan rasa keinsafan di kalangan mereka.

Beliau berharap agar inisiatif yang dilakukan oleh pihaknya dapat menggalakkan sekolah-sekolah lain di negeri ini untuk menyumbang membantu rakyat Palestin.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2009

PPSMI: Kerajaan bukannya berdiam diri

KUALA TERENGGANU 15 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, isu pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan satu perkara yang boleh diperkatakan secara sewenang-wenangnya tanpa berdasarkan fakta.

Menurut Perdana Menteri, mereka yang ingin memberi komen tentang isu itu hendaklah berbuat demikian berdasarkan kajian dan fakta.

Jelasnya, kerajaan bukan berdiam diri berhubung pelaksanaan PPSMI, sebaliknya pada masa ini keputusan mengenainya belum dibuat kerana kajian tentang perkara itu masih belum selesai.

Katanya, kajian yang dibuat mengambil kira beberapa perkara termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

''Seperti yang diberitahu kepada saya oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kajian mengenai perkara ini belum lagi selesai, (ada) sikit lagi.

''Pada waktu ini tak payah komen, ini bukan satu isu yang kerajaan diamkan diri dan ini bukan isu yang boleh buat macam-macam komen," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Belia Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan isu PPSMI sebagai bahan kempen untuk memenangi hati pengundi Melayu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu ini.

Abdullah memberitahu, selain keputusan UPSR dan PMR, kajian yang dibuat turut mengambil kira keupayaan guru mengajar dalam bahasa Inggeris, kedudukan bahasa Melayu, Perlembagaan Negara serta perbandingan prestasi sekolah bandar dan luar bandar.

Menurutnya, apabila semua maklumat itu diperoleh, laporan mengenainya akan dibuat seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Selepas itu jelasnya, Jemaah Menteri akan berbincang dan membuat keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI berdasarkan maklumat-maklumat yang lengkap itu.

Utusan Malaysia Online: 16 Januari 2009

Jumaat, 16 Januari 2009

Johor: Subjek Bahasa Inggeris punca prestasi merosot

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

Jumlah murid dapat 5A dalam UPSR di Johor tidak sampai 5,000

KLUANG: Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris yang tidak menggalakkan dikenal pasti penyumbang utama jumlah murid yang mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 di Johor tidak mencecah angka 5,000 orang.

Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin, berkata jika 1,343 murid mendapat A dalam mata pelajaran itu, pasti jumlah pelajar yang mendapat keputusan 5A pada ujian itu di Johor seramai 5,401 orang.

Justeru beliau berkata, menjadi tanggungjawab Ketua Panel Bahasa Inggeris setiap sekolah di negeri ini untuk berusaha memastikan kelemahan dalam Bahasa Inggeris dapat diatasi segera bagi meningkatkan pencapaian murid.

"Jumlah murid yang mendapat 5A ialah seramai 4,058 orang manakala 1,343 lagi sekadar mendapat B dalam satu mata pelajaran iaitu adalah Bahasa Inggeris.

"Inilah yang harus kita usahakan terutama guru bahasa Inggeris, kerana saya percaya potensi murid kita untuk mendapat keputusan cemerlang adalah amat tinggi, cuma sedikit kelemahan berlaku dalam pengajaran mata pelajaran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Ketua Panel Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan negeri Johor, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor, Mohd Noor Abdul Ghani dan Pegawai Pelajaran Daerah Kluang, Shahrudin Shariff.

Sufa'at berkata, Bahasa Inggeris turut menyumbang kegagalan 7,665 murid di Johor untuk lulus semua mata pelajaran pada UPSR 2008.

"Mereka lulus empat mata pelajaran lain, tetapi mereka gagal mendapat kelulusan penuh hanya kerana kegagalan mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ketua Panel Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan di negeri ini supaya memikul tanggungjawab untuk memastikan masalah itu dapat diatasi dan bukannya menyalahkan orang lain apabila murid gagal dalam mata pelajaran itu.

"Sebagai pemimpin, kita harus sedia bertanggungjawab apabila berlaku kegagalan. Jangan pula menuding jari kepada orang lain atau mengelak daripada memikul tanggungjawab.

"Jika murid mencapai kejayaan, kita tentunya berbangga tetapi jika sebaliknya kita juga harus sedar dan sedia mengkaji apa puncanya kerana kejayaan lebih cemerlang hanya akan dapat dicapai jika kita belajar daripada kesilapan.

“Sebab itu kita mengadakan perjumpaan awal tahun, supaya kita dapat merancang lebih awal strategi untuk mencapai kejayaan tahun ini," katanya.

Berita harian Online: 15 Januari 2009

Khamis, 15 Januari 2009

Sekolah Terbilang: Ganda kejayaan

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


SMK (P) Sri Aman antara sekolah elit yang menjadi pilihan kebanyakan pelajar perempuan di negeri Selangor.

SMK (P) Sri Aman fokus modal insan guru, pelajar tingkat kecemerlangan

PEMANTAPAN modal insan menjadi fokus utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, bagi merancakkan lagi pembangunan dan kecemerlangan akademik serta kokurikulum sekolah itu.

Berteraskan kepada tiga bidang kekuatan dikenal pasti, iaitu bahasa Inggeris, orkestra dan koir, pelbagai perancangan diatur pentadbir sekolah berstatus Sekolah Kluster, Sekolah Bestari Perdana dan Sekolah Showcase itu dalam usaha mencapai matlamat disasarkan.

Pengetuanya, Alainal Hasani Md Noor, berkata pelbagai pengiktirafan itu tidak bermakna sekolah berkenaan harus berpuas hati, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha bagi meningkatkan lagi pencapaian.

Justeru bagi mencapai hasrat itu, katanya, strategi dan perancangan diatur dan dilaksanakan pihak sekolah dengan memfokuskan usaha memartabatkan modal insan di kalangan pelajar dan guru secara menyeluruh.

“Sebahagian peruntukan khas RM500,000 Sekolah Kluster yang diagihkan Kementerian Pelajaran dimanfaatkan bagi memantapkan bidang kebitaraan sekolah.

PELAJAR mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana selesa.

“Untuk memantapkan orkestra dan koir misalnya, kita mendapatkan khidmat jurulatih luar bagi meningkatkan mutu persembahan sehingga ada sebahagian pelajar berpeluang mengadakan persembahan secara individu di luar negara,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemantapan modal insan di kalangan guru turut diberi penekanan dengan mengadakan lawatan ke sekolah luar negara bertujuan berkongsi kepakaran dan pengetahuan di peringkat global.

Akhir Disember lalu, Alainal Hasani berkata, seramai 25 guru di kalangan ketua bidang mata pelajaran menyertai lawatan ke dua sekolah kluster di Bangkok dan Rayong, Thailand bagi meninjau corak pentadbiran sekolah, selain aspek penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, peruntukan sama turut digunakan bagi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar menerusi penganjuran siri Kem Bahasa Inggeris setiap tahun.


“Pemilihan bahasa Inggeris sebagai salah satu bidang kebitaraan sekolah ini berdasarkan pencapaian cemerlang pelajar dalam mata pelajaran itu pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak lima tahun lalu, kita berjaya mengekalkan pencapaian melebihi 90 peratus pelajar mendapat gred A dalam peperiksaan PMR dan SPM,” katanya.

Beliau menjelaskan, pencapaian akademik keseluruhan sekolah turut membanggakan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Akademik PMR dan SPM Negeri Selangor 2006 kategori sekolah bandar dan Pencapaian Terbaik SPM Peringkat Kebangsaan 2003.

Katanya, sekolah itu turut melaksanakan sistem penilaian formatif bagi menilai aspek keperibadian dan sahsiah pelajar, pembabitan dalam kelas dan kehadiran ke sekolah secara individu.

Sistem itu, kata Alainal Hasani, mewakili 25 peratus daripada keseluruhan markah penilaian pelajar, manakala baki 75 peratus lagi dikira berdasarkan prestasi dalam peperiksaan.

Sejak dilaksanakan empat tahun lalu, beliau berkata, trend peningkatan memberangsangkan berjaya dicatat dari segi pencapaian pelajar dan sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum setiap tahun .

Dalam bidang kokurikulum, katanya, SMK (P) Sri Aman pernah meraih Anugerah Khas Videografi dalam Pertandingan Kid Witness News Peringkat Kebangsaan awal tahun lalu, wakil Selangor ke Pertandingan Projek Riadah Alam Sekitar Kebangsaan pada 2004 dan juara Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Petaling Bawah 18 tahun 2005.

“Kita turut menjalankan pelbagai projek menarik hasil kerjasama beberapa pihak luar dengan Kementerian Pelajaran dan juga sekolah ini.

“Antaranya, sekolah ini muncul yang pertama dipilih menerima kemudahan panel solar yang disambungkan dengan sistem Building Integrated PV (BIPV) berkuasa 4.4 kWp.

“Projek berkonsep mesra alam ini antara lain membolehkan penggunaan tenaga solar ditukar kepada elektrik bagi kegunaan pejabat sekolah dan ia hasil projek kerjasama United Nation Development Programme (UNDP) bersama Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi serta Kementerian Pelajaran membabitkan kos RM130,000,” katanya.

INFO: Kejayaan SMK (P) Sri Aman

  • Meraih Anugerah Khas Videografi dalam Pertandingan Kid Witness News Peringkat Kebangsaan awal tahun lalu

  • Diiktiraf sebagai Sekolah Bestari Perdana dengan pencapaian lima bintang

  • Pencapaian cemerlang pelajar mendapat gred A dalam peperiksaan PMR dan SPM melebihi 90 peratus sejak lima tahun lalu

  • Wakil Selangor ke Pertandingan Projek Riadah Alam Sekitar Kebangsaan pada 2004

  • Juara Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Petaling Bawah 18 tahun pada 2005.

  • Berita harian Online: 14 Januari 2009

    Selasa, 13 Januari 2009

    Ibu bapa bimbang guru Semenanjung ramai

    SIBU: Ketika usaha menghantar guru Semenanjung mengajar di Sarawak disambut baik bukan saja ke arah menangani masalah kekurangan guru, malah ke arah memantapkan lagi integrasi nasional, namun timbul kebimbangan di kalangan ibu bapa mengenai kuota guru Semenanjung di sesetengah kawasan di luar bandar negeri ini, yang dikatakan terlalu ramai berbanding guru tempatan.

    Bahagian Kapit, kira-kira tiga jam perjalanan dengan bot dari bandar ini misalnya dikatakan menghadapi masalah lambakan guru Semenanjung sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa, yang mengadu kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili masyarakat luar bandar negeri ini.

    Malah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kain, Baleh, dalam bahagian itu, kesemua kuota sembilan guru yang ditugaskan mengajar di sekolah berkenaan terdiri daripada guru dari Semenanjung, tanpa ada seorangpun guru tempatan.

    Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata, sebanyak 71.4 peratus atau 500 daripada 700 guru di Bahagian Kapit adalah dari Semenanjung dengan majoritinya berasal dari Kelantan.

    "Kita menghargai kesediaan guru dari Semenanjung berkhidmat di kawasan luar bandar di Sarawak dan berterima kasih kepada mereka, namun ibu bapa di luar bandar mahu supaya jurang perbezaan antara jumlah guru Semenanjung dan tempatan yang mengajar di luar bandar negeri ini dirapatkan.

    "Sekurang-kurangnya jumlah guru Semenanjung dan tempatan diletakkan dengan jumlah yang seimbang. Kita membangkitkan perkara ini atas permintaan ibu bapa dan ia turut dijadikan salah satu resolusi PRS dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Kapit kelmarin," katanya.

    Resolusi PRS turut meminta kerajaan menghubungkan bahagian Kapit dengan jalan raya dengan bahagian lain, kerana setakat ini hanya bahagian Kapit ibarat pulau di Sarawak, yang hanya boleh dihubungi dengan bot.

    Berita Harian Online: 12 Januari 2009

    12 guru KPLI harungi Sungai Tembeling demi tugas


    Guru-GURU menaiki bot penambang ke sekolah di pedalaman Hulu Tembeling di jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.


    JERANTUT 11 Jan. – Seramai 12 guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bersedia mengharungi Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer dengan menaiki bot penambang, semata-mata untuk berkhidmat di beberapa buah sekolah di daerah pedalaman Pahang.

    Mereka yang merupakan graduan universiti tempatan dan luar negara itu berkhidmat di lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pagi, SK Kuala Sat, SK Bantai, SK Mat Daling dan SK Gusai bermula 5 Januari lalu.

    Kumpulan guru DG41 itu, mengajar mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Pemulihan, prasekolah dan Pendidikan Islam.

    Guru prasekolah SK Gusai, Harun Ibrahim, 25, berkata, dia tidak menyangka akan bertugas di kawasan pedalaman Pahang dan bersedia untuk menghadapi persekitaran kerja ‘yang begitu asing’ di Hulu Tembeling.

    “Sebagai pendidik, cabaran ini perlu disambut dan menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik pelajar di pedalaman sehingga menjadi insan cemerlang,” katanya yang berasal dari Dungun, Terengganu ketika ditemui di sini.

    Harun yang merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik dan kini hasratnya itu menjadi kenyataan.

    Guru Pendidikan Islam lepasan Universiti Al Azhar, Mesir, Hafizullah Abdul Jabar, 27, pula mengakui tidak berasa terkejut dan kekok ditugaskan mengajar di Hulu Tembeling kerana sekolah berkenaan mempunyai kemudahan yang setanding dengan sekolah di kawasan bandar.

    “Komitmen saya ialah untuk mendidik pelajar mengenai ilmu Islam khususnya menajamkan pengetahuan mereka tentang al-Quran, fardu ain dan pembinaan akhlak sejajar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” katanya.

    Hafizullah yang berasal dari Kampung Lebak, Temerloh, berkata, bertugas di pedalaman Pahang sebenarnya memberi peluang menimba pengalaman cukup berharga yang tidak diperoleh oleh rakan-rakannya lain yang berkhidmat di kawasan bandar.

    Bagi rakannya, Siti Mashita Mohd. Ali, 25, yang bertugas di SK Gusai pula berkata, dia sedia menyahut cabaran mengajar di kawasan pedalaman dan sekali lagi sedia berjauhan daripada kaum keluarga di Kota Bharu, Kelantan, kerana menganggap kerjaya sebagai seorang pendidik adalah mulia.

    “Setelah menerima surat tawaran, saya tidak sabar-sabar untuk mengajar di sini walaupun terpaksa menaiki bot selama lima jam dan mengharungi jeram yang bahaya,” katanya yang merupakan lepasan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Sementara itu, Penyelia Sekolah Rendah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut, Razali Omar, berkata, kumpulan guru berkenaan dihantar menggunakan dua buah bot penambang pada Rabu lalu, iaitu sebaik sahaja sekolah dibuka selepas banjir di Sungai Tembeling pulih.

    Utusan Malaysia Online: 12 Januari 2009

    Ahad, 11 Januari 2009

    Jaminan Hisham kepada guru di Terengganu

    KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan meneruskan hubungan langsung dengan warga pendidik di Kuala Terengganu yang terjalin semasa hayat Allahyarham Datuk Razali Ismail.

    Beliau berkata, interaksi itu tidak akan terhenti walaupun jawatan Timbalan Menteri Pelajaran yang ditinggalkan Razali bakal diisi oleh bukan Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

    ''Saya sendiri cukup nostalgik dan secara peribadi mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh kerana kawasan ini pernah diwakili bekas timbalan saya yang cukup ikhlas dan komited membangunkan Kuala Terengganu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

    ''Jadi bila kita berjumpa guru-guru, saya nyatakan penting kita bersama-sama untuk memastikan visi dan impian arwah dapat diterjemahkan dalam tindakan yang dilihat sebagai legasi pengorbanannya selama ini," ujarnya.

    Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di sini hari ini.

    Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang sebelum itu menghadiri Kempen Cara Hidup Sihat di sekolah yang sama.

    Beliau berikrar akan membantu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekiranya calon Barisan Nasional (BN) itu menang pada pilihan raya kecil ini bagi meneruskan kecemerlangan pendidikan di kawasan Kuala Terengganu.

    Katanya, komitmen ini diharapkan dapat meyakinkan orang ramai khususnya warga pendidik bahawa kawasan Parlimen ini tidak akan dibiarkan walaupun setelah kematian Razali.

    ''Memang pemergian arwah satu kehilangan besar tetapi saya akan menyokong dan membantu Wan Ahmad Farid jika beliau menang nanti untuk memastikan apa yang dijanjikan itu akan dapat ditunaikan,'' jelasnya.

    Mengulas dakwaan Pas ramai guru dan bekas guru yang memberi undi kepada Razali sebelum ini akan beralih sokongan, Hishammuddin berkata, pengundi di Kuala Terengganu tidak semudah itu menggadaikan masa depan pendidikan anak-anak.

    Utusan Malaysia Online: 10 Januari 2009

    Sabtu, 10 Januari 2009

    Permohonan tukar sekolah terlalu lambat

    SAYA ingin penjelasan berhubung sistem kelulusan pertukaran pelajar sekolah yang diamalkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling, Selangor.

    Pengalaman saya memohon pertukaran sekolah antara negeri sebelum sesi sekolah bermula amat mengecewakan. Permohonan perlu mengambil masa tujuh hari bekerja untuk diluluskan sedangkan sesi persekolahan sudah bermula.

    Saya harap proses itu dipercepatkan dengan sistem berkomputer, kelulusan dapat dibuat dengan segera contohnya dua jam selepas permohonan seperti dipraktikkan untuk permohonan pembaharuan pasport.

    Alasan yang diberikan kerana jumlah permohonan yang banyak serta perlu menyemak keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum kelulusan tidak wajar sehingga menyebabkan pelajar tidak hadir ke sekolah selama seminggu.

    Saya berharap pengurusan PPD Petaling, mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti cara mengatasi permohonan yang banyak. Saya yakin sistem berkomputer dapat memberi maklumat kepada pegawai untuk memberi kelulusan segera serta dilaksanakan dengan ada maklumat terkini dari sekolah.

    Dalam era globalisasi, perubahan patut dibuat agar ibu bapa dan penjaga pelajar mendapat khidmat yang sewajarnya. Saya memohon pengurusan atasan jabatan yang berkenaan agar dapat melaksanakan perubahan proses permohonan pertukaran sekolah dapat disegerakan.

    IBU PRIHATIN,
    Petaling Jaya, Selangor

    Berita Harian Online: 9 Januari 2009

    Jumaat, 9 Januari 2009

    Dasar PPSMI bukan jaminan masa depan bahasa Melayu

    Oleh Dr Sharifudin Lubis

    SYABAS dan tahniah diucapkan kepada Berita Harian kerana sentiasa memberi ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk memperkatakan mengenai nasib bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran globalisasi. Sudah lama perdebatan berkisar isu ini dilayan dan pelbagai pandangan dipaparkan untuk perhatian segenap lapisan masyarakat.

    Pada detik mutakhir kini, isu paling utama ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan kaitannya dengan kelestarian bahasa Melayu serta taraf kedaulatannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

    Persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran sudah membuat beberapa syor. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) juga sudah menyatakan pendiriannya dan terbaru, Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran juga bersuara. Semuanya membawa kepada dua situasi; bahasa Melayu akan terus hidup berdaulat atau mati terhina di bumi sendiri.

    Kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam Berita Harian 31 Disember lalu, mengesahkan bahawa kuasa politiklah yang akan akhirnya menentukan hal ini dan begitu juga dengan segala hal yang sudah diputuskan sebelum ini. Segala-galanya kini di tangan pemimpin politik, khususnya Menteri Pelajaran dan anggota Kabinet.

    Jadi, sebelum apa juga pilihan dimuktamadkan, wajiblah pemimpin bermuhasabah dan sentiasa percaya bahawa keputusan yang diambil itu nanti akan terpahat sebagai catatan sejarah untuk rujukan generasi akan datang.

    Jika baik, anak cucu nanti akan menyanjung, tetapi jika sebaliknya, kita akan terhina sehingga akhir zaman. Ingatkah bagaimana pemansuhan tulisan Jawi dulu?

    Isu ini bukan kecil. Pilihan yang dibuat bakal menentukan bukan saja soal bahasa Melayu semata-mata, malah juga soal bangsa, soal maruah, soal merdeka dan soal menjadi negara maju. Bahasalah nanti yang akan menentukan jenis bangsa kita. Bahasalah nanti yang akan menjadikan bangsa kita bangsa bermaruah, bukan bangsa peminjam.

    Bahasalah nanti yang akan membuktikan bangsa kita benar-benar sudah merdeka, merdeka fizikal dan merdeka mental. Bahasalah nanti yang akan membuktikan negara kita benar-benar menjadi negara yang maju dalam acuan kita sendiri.

    Belum berlaku dalam sejarah moden ini, ada negara maju menggunakan bahasa bangsa lain. Malah, Thailand yang jauh di hadapan dalam bidang pertanian berbanding negara kita, tidak pun menjadi bahasa asing sebagai wadah untuk mencapai kemajuan itu.

    Ketua Pengarah Pelajaran juga menyatakan bahawa kementerian tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Segala pandangan diambil kira kerana ia membabitkan masa depan generasi muda. Namun, apakah dasar PPSMI ini dulu tidak terburu-buru? Ketika dilaksanakan dulu, adakah soal masa depan generasi muda dan bahasa Melayu diambil kira? Apakah pandangan pelbagai pihak dipertimbangkan?

    Kebetulan baru-baru ini, pada bahagian akhir satu program wawancara secara langsung di TV1, saya fikir Alimudin sudah memberi alasan salah mengenai pelaksanaan PPSMI. Kata beliau, PPSMI diharap dapat melonjakkan pencapaian rakyat Malaysia dalam bidang Sains dan Matematik.

    Persoalannya, apakah Malaysia terlalu mundur dari segi itu? Kita baru saja menghantar angkasawan ke angkasa lepas. Sebelum pemilihan Dr Syeikh Muzaffar dan Dr Faiz Khaleed dibuat, beratus-ratus calon lain terpaksa melalui proses pemilihan yang sangat ketat.

    Tidakkah mereka boleh dijadikan tanda aras bahawa pencapaian rakyat Malaysia dalam ilmu Sains dan Matematik sudah setanding dengan negara peneroka angkasa raya? Berapa negara yang mampu berbuat demikian? Benar, kerajaan berbelanja besar untuk program itu, tetapi tidakkah itu tandanya kerajaan kita sendiri yakin akan kesediaan dan kemampuan rakyat?

    Saya tidak faham kenapa kita masih belum dapat mengiktiraf kejayaan kita dalam bidang Sains dan Matematik sehingga melaksanakan dasar PPSMI. Beribu-ribu jurutera, arkitek, doktor, profesor, inventor, pakar dalam pelbagai bidang dilahirkan menerusi sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu.

    Jadi apakah sebenarnya matlamat PPSMI? Jika hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kurikulum, guru-guru, strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P), infrastruktur bahasa Inggeris sajalah yang dipertingkatkan. Janganlah umpama 'lain yang sakit, lain yang diubat.'

    Saya juga hairan apabila Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan bahawa ada pakar luar negara yang dijemput untuk menilai sistem pendidikan kita. Apakah rasionalnya? Wajarkah kita mengiktiraf kepakaran mereka sedangkan latar mereka berbeza?

    Atas jemputan (dibayar dan ditaja?) dan pengiktirafan kita kepada mereka, sudah tentulah mereka akan melaporkan yang 'mulus-mulus' saja. Tidakkah kita sedar bahawa kepakaran mereka tidak dapat menyelamatkan negara mereka daripada keruntuhan moral dan kesirnaan nilai? Masihkah kita percaya kepada idealisme mereka? Sudah merdekakah kita seluruhnya � fizikal dan mental?

    Kita perlu rasional. Kembalilah kepada hakikat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sudah berbuih mulut cendekiawan kita menyebutkan bahawa semua negara yang sudah mencapai status negara maju, membangun dan membina tamadun menggunakan bahasa mereka sendiri.

    Pada masa sama, mereka masih mampu mengeksport pakar dan kepakaran mereka ke luar negara. Kita sendiri menjemput beribu-ribu pakar luar negara membantu kita membangunkan Malaysia dan hampir tidak ada di kalangan mereka menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan buah fikiran mereka.

    Sebaliknya, kita pula terpaksa menelaah bahasa mereka untuk memahami mereka. Sudah merdekahkah kita? Satu perkara lagi yang harus diingat oleh penentu dasar pelajaran negara ialah hakikat bahawa bukan bahasa Inggeris saja yang menjadi sumber ilmu dan ketamadunan era globalisasi. Angkasawan kita naik ke angkasa lepas dengan menggunakan bahasa Russia, bukan bahasa Inggeris.

    Potensi pasaran terbuka negara China sekarang seharusnya menarik minat kita untuk menguasai bahasa Mandarin. Mengapa tidak kita menggunakan bahasa Mandarin untuk menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik?

    Sudah terbukti pula, anak yang berbahasa Mandarin sememangnya terkehadapan dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Masyarakat Malaysia juga akan menjadi lebih telus dan tulus kerana mengetahui pelbagai bahasa tempatan.

    Jadi saya suka mengesyorkan, di samping memikirkan untuk meneruskan PPSMI atau tidak, wajar juga difikirkan keperluan mengajarkan Sains dan Matematik menggunakan bahasa Mandarin. Selamatkanlah bahasa Melayu.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan,
    Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

    Berita Harian Online: 8 Januari 2009

    Keputusan pelaksanaan PPSMI tahun depan

    Oleh Syuhada Choo Abdullah
    choo@bharian.com.my




    Kerajaan ada masa buat kajian, pertimbangan mendalam

    KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah hanya boleh dilaksanakan tahun depan.

    Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya masih ada masa untuk menentukan keputusan berkenaan dengan membuat kajian teliti serta pertimbangan mendalam terhadap perkara itu.

    "Kita ada masa kerana apa juga keputusan hanya boleh dilaksanakan tahun depan. Saya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dengan pelbagai pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kajian pihaknya terhadap pandangan pelbagai pihak mengenai isu pelaksanaan dasar berkenaan, terutama rumusan daripada hasil lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang diadakan.

    Persidangan Meja Bulat PPSMI terkini yang berlangsung pertengahan bulan lalu merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

    Pilihan itu ialah meneruskan PPSMI seperti sedia ada; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah, tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah; memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah; menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah; dan penggunaan bahasa pengantar Sains serta Matematik ditentukan sekolah.

    Seterusnya, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; serta pilihan memansuhkan subjek Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

    Bagaimanapun, kemelut PPSMI semakin meruncing apabila akhbar baru-baru ini melaporkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menetapkan 15 Februari depan sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kerajaan masih meneruskan pelaksanaan PPSMI, di samping berhasrat mengadakan 'perarakan keranda' bulan depan.

    Mengulas mengenainya, Hishammuddin menegaskan, tekanan dan ugutan tidak akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat mengenai masa depan PPSMI.

    Berita Harian Online: 8 Januari 2009

    Khamis, 8 Januari 2009

    Sekolah Terbilang: Kejayaan berputik

    Oleh Amad Bahri Mardi
    upen@bharian.com.my




    Walaupun baru enam tahun, SKTKJ catat kecemerlangan akademik, kokurikulum

    WALAUPUN baru enam tahun Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya (SKTKJ), Kota Tinggi, Johor beroperasi, secara keseluruhan sekolah itu berjaya menterjemahkan slogan yang menjadi motonya iaitu 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'.

    Ini berikutan SKTKJ dibuka pada 2003 yang juga boleh disifatkan setahun jagung berbanding sekolah lain sekelas dengannya dan lebih lama beroperasi, menyaksikan pelbagai kejayaan bukan saja dalam bidang akademik, malah kokurikulum.

    Dalam bidang akademik, sekolah itu saban tahun mencatat kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kecuali 2006, yang bukan saja memperlihatkan peningkatan jumlah peratus lulus, malah pertambahan dari segi bilangan calon mendapat 5A.

    Guru Besar sekolah yang turut menjadi model sekolah lain di daerahnya, Mohd Tahir Sharif, berkata seramai 19 calon mendapat 5A pada 2003, kemudian meningkat kepada 29 orang tahun berikutnya, bagaimanapun peratus kelulusan menurun sedikit pada 2005 dan 2006.

    Dua tahun kebelakangan, katanya, prestasi calon UPSR sekolah itu kembali melonjak apabila 30 calon mendapat 5A pada 2007 dan 36 orang tahun lalu.

    “Walaupun kelulusan keseluruhan belum lagi mencapai 100 peratus, warga sekolah ini sentiasa berazam, berusaha dan berdoa bagi mencapai matlamat itu.

    “Berdasarkan latar belakang murid, bukan mudah untuk mencapai sasaran berkenaan, bagaimanapun kita akan berusaha ke arah itu.

    “Kita sentiasa meletakkan sasaran tinggi setiap tahun, contohnya 40 calon mendapat keputusan cemerlang UPSR tahun ini,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, baru-baru ini.

    Bagi mencapai sasaran itu, Mohd Tahir berkata, pihaknya melakukan pelbagai usaha termasuk mengenal pasti calon berpotensi dan memberi bimbingan berterusan sejak di Tahun Lima lagi.

    Seperti amalan sebelumnya, beliau berkata pelbagai program tahunan dijalankan untuk murid Tahun Enam antaranya kelas malam.

    Beliau yang gembira kerana mendapat kerjasama semua pihak, khususnya daripada guru dan ibu bapa berkata, bagi mendedahkan murid dengan teknologi maklumat, sekolah itu turut menyediakan makmal komputer.

    Katanya, murid mendapat banyak manfaat menerusi kemudahan ini dan ia juga sebahagian daripada faktor yang mendorong kejayaan mereka dalam UPSR.

    “Turut diberi penekanan, semua guru mata pelajaran Tahun Enam dikehendaki menyediakan modul khas untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

    “Berdasarkan pendekatan ini, didapati bukan saja guru dapat memfokuskan pengajaran, malah murid lebih mudah memahami, selain suasana pembelajarannya seronok,” katanya.

    Bagi melahirkan murid seimbang, SKTKJ turut memberi tumpuan terhadap kokurikulum dan setakat ini pelbagai kejayaan diraih murid sekolah berkenaan.

    Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Yazid Zakaria, berkata selain acara olahraga yang disertai setiap tahun pada peringkat daerah, sukan memanah dan boling adalah dua jenis acara diberi tumpuan utama sekolah itu.

    Beliau berkata, kejayaan murid sekolah itu dalam dua acara berkenaan membanggakan kerana berjaya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, termasuk boling tahun lalu.

    “Setiap tahun, sekolah kami secara automatik dipilih mewakili daerah bertanding di peringkat negeri bagi acara memanah dan boling,” katanya yang juga jurulatih bertauliah bagi pasukan memanah sekolahnya.

    Paling membanggakan, katanya, pasukan bola sepak sekolah itu buat pertama kali muncul juara dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah tahun lalu.

    Sementara dalam acara kokurikulum akademik pula, Mohd Yazid berkata, kejayaan terbaru sekolah itu ialah menjuarai Pertandingan Sketsa Petronas StreetSmart peringkat negeri, sekali gus mewakili Johor ke peringkat kebangsaan.

    Berita Harian Online: 7 Januari 2009

    Ustazah, pensyarah bebas tuduhan khalwat

    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, membebaskan seorang ustazah dan pasangannya, pensyarah sebuah institusi latihan pendidikan terkenal, daripada tuduhan berkhalwat di sebuah kondominium mewah di Cheras di sini, Julai lalu.

    Hakim Mohamad Shakir Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa Syarie Che Saupi Che Husin memohon supaya tuduhan ke atas Jamilah Ab Aziz, 40 dan Mohd Dawi Ithnin, 52, ditarik balik.

    Che Saupi memberitahu mahkamah Ketua Pendakwa Syarie memutuskan untuk menarik balik tuduhan itu selepas menerima representasi daripada peguam syarie Mohd Noor Bahari, yang mewakili kedua-dua tertuduh.

    Katanya, pihak pendakwa mendapati perbuatan mereka berada di kondominium itu tidak menimbulkan syak.

    “Kami berpuas hati representasi itu menyatakan alasan munasabah mereka berada di tempat kejadian bukannya melakukan perbuatan tidak bermoral, jadi pendakwaan bersetuju untuk menarik balik tuduhan berkenaan.

    “Bagaimanapun, kami memberi amaran kepada Jamilah dan Mohd Dawi supaya tidak mengulangi perbuatan sama,” katanya.

    Jamilah, ibu tunggal dua anak dan bakal dilantik sebagai pengetua sekolah, manakala Mohd Dawi sudah berumah tangga ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas mendapat maklumat awam.

    Pasangan itu ditahan di Kondominium Vista, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak, jam 3 pagi, 5 Julai tahun lalu.

    Malah, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen mengesahkan hubungan suami isteri atau pasangan mahram ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai penguat kuasa.

    Sementara itu ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Noor berkata, pihaknya menghantar representasi setebal lebih 4,000 muka surat kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk menjelaskan mengapa tuduhan terhadap anak guamnya perlu digugurkan.

    Katanya, representasi itu mengemukakan alasan munasabah dan menyatakan kerja serta tugasan pejabat yang sedang mereka lakukan bagi membuktikan tuduhan berkhalwat itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

    Berita Harian Online: 7 Januari 2009

    Rabu, 7 Januari 2009

    Masalah buku teks kurang diatasi

    Oleh Mohamed Farid Noh
    mfarid@bharian.com.my

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan masalah kekurangan buku teks atau kelengkapan sekolah, termasuk perabot selewat-lewatnya minggu depan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

    Beliau berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan segera selewat-lewatnya minggu depan sebaik menerima laporan penuh daripada kira-kira 1,000 Jemaah Nazir Sekolah (JNS), yang menjalankan pemantauan di semua sekolah seluruh negara.

    “JNS melakukan pemeriksaan dan pemantauan yang diberi nama Pemeriksaan Persediaan Sekolah Awal Tahun (PPSAT) di lebih 9,800 sekolah rendah dan menengah seluruh negara sejak kelmarin bagi mengenal pasti sebarang kekurangan atau masalah pada sesi persekolahan kali ini.

    “Kita menyenaraikan 30 perkara untuk diteliti nazir menerusi PPSAT yang berlangsung selama dua hari itu. Antara lainnya membabitkan kemudahan seperti kemudahan perabot serta buku teks di samping jadual waktu serta kedatangan pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

    Beliau mengulas mengenai kelengkapan sekolah seperti perabot serta buku teks bagi menampung keperluan pelajar pada sesi persekolahan tahun ini.

    Ditanya mengenai banjir di Kelantan yang menyebabkan 38 sekolah seluruh negeri ditutup manakala kira-kira 30,000 murid tidak dapat memulakan persekolahan, Alimuddin berkata, kementerian akan memantau keadaan itu dan meneliti sama ada sesi persekolahan berkenaan perlu diganti atau tidak.

    “Perkara berkenaan akan ditentukan kemudian berdasarkan laporan dikemukakan pengarah pelajaran negeri terbabit. Pengetua dan guru besar mana-mana sekolah yang terbabit banjir akan memberitahu pengarah pelajaran negeri jika sekolah tidak dapat dibuka, sebelum kementerian dimaklumkan secara rasmi.

    “Ini disebabkan banjir kali ini bukan hanya berlaku di Kelantan malah di Setiu, Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang. Buat masa ini, kementerian lebih mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar daripada menentukan sama ada sesi sekolah perlu diganti atau tidak,” katanya.

    Beliau berkata, kementerian juga bersedia memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan Negeri jika mana-mana sekolah di kawasan terjejas banjir diperlukan sebagai pusat pemindahan sementara.

    Berita Harian Online: 6 Januari 2009

    30 gagal bayar yuran ‘dihalau’ pengetua

    BONGAWAN: Hari pertama sesi persekolahan sepatutnya menyuntik semangat baru tetapi suasana sebaliknya dilalui beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan Dua, di sini semalam apabila diarah pulang oleh pengetua kerana gagal menyediakan bayaran yuran aktiviti sekolah.

    Difahamkan, kira-kira 30 pelajar Tingkatan Satu hingga nam sekolah terbabit diarah pulang awal oleh pengetuanya sebagai hukuman kegagalan menyediakan wang tunai RM56 sebagai yuran aktiviti sekolah.

    Bapa pelajar, Ismail Abdullah, kesal tindakan pengetua terbabit kerana yuran aktiviti sekolah boleh dibayar kemudian tanpa perlu menyuruh pelajar pulang awal.

    "Apa salahnya memberi masa kepada pelajar membayar yuran pada hari lain dan benarkan mereka mengikuti hari pertama persekolahan hingga tamat.

    "Tindakan pengetua menyuruh pelajar pulang awal sangat dikesali, terutama apabila beliau menyifatkan tindakan anak kami tidak membawa yuran berkenaan sebagai menyusahkan," katanya ketika menghubungi pejabat Berita Harian semalam.

    Berita Harian Online: 6 Januari 2009

    30 sekolah masih ditutup di Kelantan

    TUMPAT: Banjir yang tidak banyak berubah di Kelantan semalam menyebabkan kira-kira 17,000 murid dan pelajar belum dapat memulakan sesi baru persekolahan bermula kelmarin kerana 30 sekolah masih ditutup.

    Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata sehingga semalam, lapan sekolah di Kuala Krai dan Pasir Mas sudah dibuka untuk sesi persekolahan, berbanding 38 sekolah terjejas kelmarin membabitkan 30,000 murid.

    Setakat ini 24 Sekolah Kebangsaan (SK) dan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekitar jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah masih ditutup kerana banjir serta laluan ke sekolah terputus.

    “Jika banjir semakin pulih, kita jangka lebih banyak sekolah dibuka, tetapi beberapa sekolah mungkin terpaksa ditutup beberapa hari lagi kerana terjejas teruk. Kita berharap keadaan pulih bagi membolehkan pelajar segera ke sekolah,” katanya selepas meninjau SK Kampung Laut di sini.

    Mohd Ghazali berkata, empat sekolah di Kota Bharu, Tumpat dan Rantau Panjang yang kini digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir, meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana tidak mengganggu proses pembelajaran pelajar.

    Katanya, pengumuman mengenai pembukaan sekolah yang terjejas akan dimaklumkan menerusi siaran radio Kelantan FM dari semasa ke semasa, selain hebahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

    “Saya berharap, ibu bapa akan menghantar anak mereka ke sekolah dengan segera sebaik dibuka kerana Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan tidak mahu ada pelajar ketinggalan,” katanya.

    Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Laut, Hasnah Mohamood, berkata sekolah berkenaan dibuka hari ini selepas kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah dilakukan secara bergotong-royong oleh guru dengan bantuan ibu bapa, semalam.

    Katanya, sekolah yang mempunyai 659 murid itu terpaksa ditutup dua hari kerana kawasan sekolah digenangi banjir akibat limpahan air Sungai Kelantan selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam Sabtu lalu.

    “Bagaimanapun, air yang naik mendadak secara tiba-tiba itu tidak merosakkan peralatan sekolah termasuk kerusi meja dan buku teks kerana kita sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan pusingan kedua banjir,” katanya.

    Berita Harian Online: 6 Januari 2009

    Kerenah sekolah urus 'budak baru'


    Murid-murid tahun satu berhimpun pada hari pertama persekolahan sambil ditemani oleh ibu bapa masing-masing di Sekolah Kebangsaan Wawasan, Seremban 2, semalam.
    - Gambar hiasan


    HARI pertama persekolahan sememangnya sarat dengan pelbagai kerenah murid-murid, guru-guru dan ibu bapa. Selain gelagat 'budak baru' tahun satu yang bercampur aduk antara manja, gementar, kurang keyakinan diri dan tidak kurang juga yang berlagak berani, banyak lagi yang boleh disorot pada hari pertama sesi persekolahan tahun ini.

    Paling pasti ialah mengenai sejauh mana pihak pengurusan sekolah membuat persiapan menyambut kehadiran sesi pembelajaran 2009 setelah hampir dua bulan membiarkan bangunan sekolah sepi kecuali pada hari pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

    Saya sempat menonton rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3 pagi semalam yang memaparkan persiapan rapi sebuah sekolah di Sungai Tua, Selangor untuk menghadapi tarikh 5 Januari 2009. Dan apabila tarikh tersebut tiba semalam, segala-galanya berjalan lancar dan tidak kelihatan suasana kelam kabut terutama bagi menempatkan murid-murid tahun satu.

    Persediaan itu bukan saja memudahkan pihak pengurusan sekolah, malah ibu bapa dengan senang hati meninggalkan anak masing-masing manakala 'budak-budak baru belajar' itu tidak ketara kecelaruannya.

    Saya membuat kesimpulan sendiri, mungkin sekolah-sekolah lain di Selangor begitu juga terutama sekolah di tempat saya tinggal yang kelas untuk tahun satu bagi sesi ini menjangkau 10 buah dengan jumlah murid lebih 400 orang.

    Namun proses yang berjalan lancar di Sungai Tua nampaknya tidak berlaku di sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi. Segala-galanya seperti tidak dirancang seolah-olah baru semalam diketahui sesi persekolahan akan dibuka. Seolah-olah juga baru semalam dimaklumkan bahawa murid-murid tahun satu akan memulakan pembelajarannya, bermakna ada banyak keperluan tambahan yang perlu disediakan.

    Tiga bilik darjah tidak dapat disiapkan menyebabkan penempatan murid di dalam kelas tidak dapat dilakukan dengan lancar. Tidak dipersoalkan perihal bilik darjah baru yang belum sempurna mungkin pihak sekolah ada masalah dengan kontraktor atau faktor musim hujan, bangunan baru tidak dapat disiapkan pada tarikh sepatutnya.

    Yang dipersoalkan ialah, masalah bilik darjah tidak disiapkan telah ada dalam pengetahuan pihak pengurusan sekolah sejak awal iaitu sepanjang sekolah ditutup. Bukankah mesyuarat guru-guru yang diadakan bagi menyusun hari persekolahan pertama sepatutnya menyentuh hal tersebut.

    Pihak pengurusan pasti arif akan wujud masalah kekurangan kelas dan sepatutnya telah merancang ke mana hendak ditempatkan murid-murid ini - di kantin, pusat sumber, foyer atau floating dengan menyenaraikan bilik-bilik darjah mengikut urutan kekosongan. Ibu bapa tidak kisah di mana anak mereka ditempatkan, yang ingin dilihat ialah adanya perancangan rapi pihak sekolah untuk memastikan segala-galanya tersusun.

    Tentu guru-guru kelas tahun satu telah dimaklumkan perkara tersebut dan mereka telah bersedia untuk membawa murid-murid ke destinasi masing-masing.

    Tetapi kesiapsiagaan yang diharapkan tidak berlaku di sekolah itu. Selesai perhimpunan, sejumlah lebih 100 murid yang tidak 'berumah' dibawa ke tingkat dua salah sebuah bangunan sekolah dan menunggu di luar bilik darjah yang telah pun dipenuhi dengan murid-murid lain.

    Guru-guru kelas sendiri tidak tahu ke mana 'tetamu baru' itu hendak ditempatkan dan tertanya-tanya sesama mereka. Apabila ada ibu bapa bertanya mereka menjawab tidak tahu. Sehinggalah akhirnya satu kelas di tingkat tiga kosong dan di situ murid-murid ditempatkan. Namun penyelenggaraan serta suasana bilik darjah itu seperti tidak mengalu-alukan kehadiran murid-murid baru.

    Kipas yang rosak tidak diselenggara manakala kerusi, meja dibiarkan dalam keadaan uzur dan kusam warnanya. Bukan ibu bapa memilih jauh sekali cerewet, cuma timbul tanda tanya apa agaknya aktiviti pengurusan sekolah semasa musim cuti sementara menunggu sesi baru dibuka.

    Tidak bolehkah sistem pendawaian untuk lampu dan kipas diperiksa dan dipastikan ia selamat serta boleh digunakan.

    Rakyat Malaysia mesti belajar menjadi perancang serta pelaksana yang berkesan. Setiap kelemahan mesti segera diatasi dan bukan menunggu 'tanah runtuh' baru mahu dicari jalan penyelesaiannya.

    Utusan Malaysia Online: 6 Disember 2009

    Selasa, 6 Januari 2009

    Hanya lima murid baru di SK Jaya



    ROBINA Azanbiah M Yusoff mengajar lima murid barunya di SK Jaya, Setiu, semalam.

    SETIU: Lazimnya suasana hari pertama persekolahan meriah dengan kehadiran ratusan pelajar Tahun Satu yang memasuki alam persekolahan, tetapi bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya di sini, suasananya seperti hari persekolahan biasa kerana bilangan pelajar barunya cuma lima orang.

    Guru Besarnya, Shallahuddin Jusoh, berkata walaupun suasana tidak semeriah tempat lain, pelajar baru di sekolah dalam ladang ini dirai dan gurunya komited menjalankan tugas mereka.

    Katanya, faktor kekurangan murid bukan alasan mencuri tulang atau menjalankan tugas sambil lewa, sebaliknya pendorong bagi meningkatkan prestasi kerja dan kecemerlangan murid.

    "Tahun ini jumlah keseluruhan pelajar kita ialah 42 orang. Bilangan paling ramai membabitkan pelajar Tahun Lima (13), Tahun Tiga (lapan), Tahun Dua (tujuh), Tahun Empat (lima), Tahun Satu (lima) dan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula dua orang.

    "Kita juga beruntung kerana kementerian sangat prihatin dengan menambah dua lagi guru Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kecemerlangan murid," katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

    Shallahuddin berkata, keadaan itu bagaimanapun membawa banyak kebaikan kepada murid, guru dan ibu bapa kerana selain berkenalan lebih rapat, masalah dan perkembangan murid dapat diketahui secara terperinci.

    Katanya, hubungan antara guru dan ibu bapa pelajar sangat rapat dan mereka saling tolong-menolong jika ingin mengadakan jamuan atau sebarang majlis.

    "Semua guru di sini memang rapat dengan pelajar kerana jumlah pelajar yang sedikit membolehkan kami menumpukan sepenuh perhatian berbanding sekolah yang mempunyai lebih 30 murid dalam satu kelas.

    "Cabaran kami adalah untuk memastikan kecemerlangan peperiksaan kerana setiap pelajar membawa peratusan yang tinggi. Kami berusaha sedaya upaya bagi memastikan pendidikan anak pekerja ladang setaraf pelajar di luar," katanya.

    Katanya, sejak ditubuhkan pada 1970, jumlah pelajar di sekolah itu tidak pernah melebihi 100 orang dan jumlahnya semakin berkurangan sejak tugas pekerja ladang tempatan digantikan pekerja asing.

    Berita Harian Online: 5 Januari 2009

    Pengetua diminta beri kerjasama

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran meminta semua guru besar dan pengetua di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah bersiap sedia serta memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan jika sekolah mereka diperlukan sebagai pusat pemindahan banjir.

    Pada masa sama, kementerian mengarahkan Pegawai Pelajaran Daerah empat negeri berkenaan memeriksa segera sekolah yang dilanda banjir sebelum memulakan sesi persekolahan.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mat Dom, berkata pegawai berkenaan perlu memastikan kemudahan pembelajaran seperti kerusi, meja dan perabot di sesebuah bilik darjah tidak mengalami sebarang kerosakan.

    "Jika ada kerosakan, mereka perlu melaporkan segera kepada Jabatan Pelajaran Negeri supaya tindakan segera dapat diambil. Selain itu, mereka perlu memastikan jalan utama ke sekolah tidak terjejas teruk," katanya semalam.

    Alimuddin berkata, Pegawai Pelajaran Daerah juga adalah pengerusi Jawatankuasa Banjir yang ditubuhkan kementerian pada November tahun lalu.

    "Sementara itu, saya berharap guru besar dan pengetua memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan jika sekolah mereka dijadikan pusat pemindahan banjir.

    "Saya difahamkan banjir di empat negeri berkenaan tidak serius, tetapi kita perlu mengambil langkah awal," katanya.

    Berita harian Online: 5 Januari 2009

    Isnin, 5 Januari 2009

    More than good marks

    TEACHER
    By SIMRIT KAUR

    To teach is to serve, is the motto of one dedicated educator who has been in the profession for 20 years.

    ALTHOUGH teaching was not Lim Guat Bee’s (pic) first choice, she has never regretted the path her life took when she opted to go to a Teachers’ Training College (TTC) after her STPM rather than university.

    Lim was in Form Six when she decided to apply for a place in a TTC. As luck would have it, she got accepted as a teacher trainee in Maktab Perguruan Ipoh in Perak.

    “Although my dream was to be a psychologist, I took up teaching instead. As a teacher now I am able to counsel my students,’’ she says.

    Lim, who is an English teacher at SMK Puteri Titiwangsa in Kuala Lumpur, was able to get her degree later, thanks to a Public Service Department (JPA) scholarship.

    She went to the University of Birmingham in the UK through a twinning programme with Maktab Perguruan Ilmu Khas and graduated with a Bachelor of Arts (Hons) in English Language Teaching in 1998.

    Lim is also an ICT and ICTL (Information and Communication Technology Literacy) co-ordinator as well as a teacher advisor to the Computer Club.

    She won the anugerah perkhidmatan cemerlang (excellent service award) twice, and is also the school representative for the National Union of the Teaching Profession (NUTP).

    Lim is concerned about the education system which she describes as too exam-oriented. “Lots of programmes are carried out in schools for good and average students. Weaker students are given remedial classes but no recognition is given to acknowledge their progress and achievement,” says Lim who feels that vocational schools should be brought back to cater to these students. She also laments the fact that due to the paper chase, there isn’t enough room for students’ self-development and character building.

    My job involves ...

    ... teaching English and Information and Communication Technology Literacy. As a teacher, I have to plan my lessons including activities.

    This is to ensure the pupils acquire the skills and knowledge required as well as get good grades and better marks.

    As a teacher I have to create a conducive learning environment, build good rapport as well as counsel my students.

    I also manage the school’s computer lab and make sure that everything is in working condition. As a national and state trainer for ICT and ICTL, I give in-house training from time to time.

    My morning starts off with...

    ... clocking in at the school office. I also check to see if there are any meetings, and whether I need to relieve any teacher.

    I then go to the staffroom to check my mail, and then to the school’s open hall to take attendance as I am a class teacher, after which I enter class to teach.

    Marking is done during my free periods. When I have time, I enjoy going to the school canteen to get a cuppa and relax.

    To qualify, you need ...

    ... either an STPM or a bachelor’s degree. Those with a bachelor of education are exempted from getting an additional professional qualification - either a diploma in education or the KPLI (Postgraduate Teaching Course).

    The best person for the job ...

    ... must have a passion for teaching, is versatile and people oriented. A teacher must be patient, a good listener, team player, motivator, tolerant and innovative.

    She must be willing to sacrifice her time, try out new teaching methods and cope with changes.

    Prospects for the future ...

    ... the public has a negative view of teaching because of the perception that it offers low salaries, is unglamorous and boring.

    In reality, there are many opportunities for promotion (into various scales from DG29 to DG54, or even JUSA C.)

    Promotions should be based on performance, not length of service. Time-based promotions should be shortened from 10 years to seven or eight years.

    There should be better benefits in terms of security and safety.

    I love my job because ...

    ... teaching is a noble profession and challenging. There is joy in seeing a child learning and progressing, and achieving his goals in life.

    Being a teacher inspires me to learn more. It makes me feel young as I am mixing with teenagers.

    It is interesting as I get a chance to visit other schools and go to different places when I am involved in national and international events.

    What I dislike most ...

    ... is to do stock-taking, inventory, data entry. Non-teaching staff should be hired to do this. A teacher’s job is to teach. Because of the workload, teaching is not just confined to official school hours.

    Besides teaching, we sometimes have to train students in various sports, even though we may not have the skills, or take students out for competitions.

    Will I be a millionaire by 30?

    ... no but the satisfaction lies in having made an impact on someone’s life and that someone may be a millionaire by 30 and successful in his own right. That feeling is priceless.

    The Star Online: 4 Januari 2009

    Ahad, 4 Januari 2009

    Kecewa khidmat kakitangan SPP

    SAYA kecewa dengan pentadbiran Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) terutama urusan melalui telefon kerana sukar untuk mendapatkannya. Untuk pengetahuan saya menghantar surat kepada SPP bertarikh 11 Julai lalu dan diserahkan sendiri ke pejabat itu pada 17 Julai berkaitan penyemakan pelantikan saya sebagai pegawai perkhidmatan.

    Kakitangan yang menerima surat itu berjanji akan memanjangkan kepada pegawai berkenaan tetapi tidak dapat menyatakan dengan tepat pegawai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyemak status saya itu apabila ditanya.

    Saya diminta menghubungi SPP untuk mendapatkan jawapan mengenai semakan saya itu dan tempoh yang sesuai adalah sebulan daripada tarikh saya menghantar surat. Saya akur dengan jawapan itu walaupun kurang bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa rekod saya kemungkinan berada di arkib.

    Pada bulan Ogos lalu, saya cuba menghubungi beberapa kali talian SPP tetapi tidak langsung dapat menghubungi malah operator pun tidak menjawab. Pada 19 Disember, saya akhirnya dapat menghubungi seorang pegawai yang bertugas tetapi malangnya bukan beliau yang mengendalikan kes saya.

    Rakannya yang mengendalikan kes saya dikatakan bercuti, talian pegawai itu diberikan kepada saya. Saya menelefon semula dari 22 hingga 24 Disember tetapi tidak langsung berjawab walaupun saya menelefon bukanlah pada waktu puncak.

    Walaupun panggilan saya ke talian pegawai berkenaan tidak bersambut, saya secara automatik disambung ke talian operator namun tidak pula berjawab. Persoalannya di mana agaknya semua pegawai SPP ini, daripada pegawai sehingga operator telefon tiada di dalam pejabat?

    Pada masa sama, saya ingin menyemak status cukai pendapatan saya dan terus menghubungi talian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 23 Disember, dengan sekali dail saya berjaya dan dilayan oleh pegawai bertugas dan jawapan yang diterima amat memuaskan hati saya.

    Dua insiden itu membuatkan saya berfikir. Kedua-duanya pejabat kerajaan cuma fungsinya saja berbeza.

    BOSAN MENUNGGU

    Kuala Kubu Bharu, Selangor

    Berita Harian Online: 3 Januari 2009