Rabu, 7 Januari 2009

Masalah buku teks kurang diatasi

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan masalah kekurangan buku teks atau kelengkapan sekolah, termasuk perabot selewat-lewatnya minggu depan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan segera selewat-lewatnya minggu depan sebaik menerima laporan penuh daripada kira-kira 1,000 Jemaah Nazir Sekolah (JNS), yang menjalankan pemantauan di semua sekolah seluruh negara.

“JNS melakukan pemeriksaan dan pemantauan yang diberi nama Pemeriksaan Persediaan Sekolah Awal Tahun (PPSAT) di lebih 9,800 sekolah rendah dan menengah seluruh negara sejak kelmarin bagi mengenal pasti sebarang kekurangan atau masalah pada sesi persekolahan kali ini.

“Kita menyenaraikan 30 perkara untuk diteliti nazir menerusi PPSAT yang berlangsung selama dua hari itu. Antara lainnya membabitkan kemudahan seperti kemudahan perabot serta buku teks di samping jadual waktu serta kedatangan pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai kelengkapan sekolah seperti perabot serta buku teks bagi menampung keperluan pelajar pada sesi persekolahan tahun ini.

Ditanya mengenai banjir di Kelantan yang menyebabkan 38 sekolah seluruh negeri ditutup manakala kira-kira 30,000 murid tidak dapat memulakan persekolahan, Alimuddin berkata, kementerian akan memantau keadaan itu dan meneliti sama ada sesi persekolahan berkenaan perlu diganti atau tidak.

“Perkara berkenaan akan ditentukan kemudian berdasarkan laporan dikemukakan pengarah pelajaran negeri terbabit. Pengetua dan guru besar mana-mana sekolah yang terbabit banjir akan memberitahu pengarah pelajaran negeri jika sekolah tidak dapat dibuka, sebelum kementerian dimaklumkan secara rasmi.

“Ini disebabkan banjir kali ini bukan hanya berlaku di Kelantan malah di Setiu, Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang. Buat masa ini, kementerian lebih mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar daripada menentukan sama ada sesi sekolah perlu diganti atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga bersedia memberikan kerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan Negeri jika mana-mana sekolah di kawasan terjejas banjir diperlukan sebagai pusat pemindahan sementara.

Berita Harian Online: 6 Januari 2009

Tiada ulasan: