Ahad, 11 Januari 2009

Jaminan Hisham kepada guru di Terengganu

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan meneruskan hubungan langsung dengan warga pendidik di Kuala Terengganu yang terjalin semasa hayat Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Beliau berkata, interaksi itu tidak akan terhenti walaupun jawatan Timbalan Menteri Pelajaran yang ditinggalkan Razali bakal diisi oleh bukan Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

''Saya sendiri cukup nostalgik dan secara peribadi mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh kerana kawasan ini pernah diwakili bekas timbalan saya yang cukup ikhlas dan komited membangunkan Kuala Terengganu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

''Jadi bila kita berjumpa guru-guru, saya nyatakan penting kita bersama-sama untuk memastikan visi dan impian arwah dapat diterjemahkan dalam tindakan yang dilihat sebagai legasi pengorbanannya selama ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan dengan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang sebelum itu menghadiri Kempen Cara Hidup Sihat di sekolah yang sama.

Beliau berikrar akan membantu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekiranya calon Barisan Nasional (BN) itu menang pada pilihan raya kecil ini bagi meneruskan kecemerlangan pendidikan di kawasan Kuala Terengganu.

Katanya, komitmen ini diharapkan dapat meyakinkan orang ramai khususnya warga pendidik bahawa kawasan Parlimen ini tidak akan dibiarkan walaupun setelah kematian Razali.

''Memang pemergian arwah satu kehilangan besar tetapi saya akan menyokong dan membantu Wan Ahmad Farid jika beliau menang nanti untuk memastikan apa yang dijanjikan itu akan dapat ditunaikan,'' jelasnya.

Mengulas dakwaan Pas ramai guru dan bekas guru yang memberi undi kepada Razali sebelum ini akan beralih sokongan, Hishammuddin berkata, pengundi di Kuala Terengganu tidak semudah itu menggadaikan masa depan pendidikan anak-anak.

Utusan Malaysia Online: 10 Januari 2009

Tiada ulasan: