Sabtu, 17 Januari 2009

Guru kesal rayuan tukar tak dilayan

SAYA adalah kakitangan yang kini bertugas di Kuala Lumpur manakala isteri saya menjadi ustazah dan mengajar di sekolah menengah di Johor.

Bagi memohon perpindahan, saya dan isteri baru-baru ini pergi ke Kementerian Pelajaran, iaitu Bahagian Pendidikan Islam di Putrajaya untuk berjumpa dengan Penolong Pengarah yang bertanggungjawab memproses penempatan guru agama di seluruh negara.

Ketika bertemu dengan pegawai berkenaan, layanan diterima tidak seperti yang diharapkan. Surat rayuan yang diberikan kepada beliau tidak dibaca dengan alasan beliau sibuk jika hendak melayan semua surat rayuan.

Saya cuba berkomunikasi dengan beliau agar rayuan saya dipertimbangkan dengan alasan yang saya juga kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat di Kuala Lumpur dan bertanyakan mengenai polisi berkaitan isteri mengikut suami.

Dengan nada bersahaja beliau menjawab tidak pernah mendengar polisi berkenaan tetapi berjanji akan membawa surat rayuan saya untuk dibincangkan dalam mesyuarat sebelum keputusan dibuat. Seminggu selepas itu saya menghubungi pegawai berkenaan, namun dimaklumkan keputusan belum dibuat.

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, saya dan isteri mengambil keputusan berjumpa terus dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam tetapi dihalang pembantunya yang memberi alasan pengarah sibuk.

Bagaimanapun kami tetap menunggu sehingga pengarah keluar dan terserempak dengan kami yang duduk di bilik tetamu. Saya terus bertanyakan kepada beliau mengenai rayuan saya. Pengarah menerangkan bahawa segala keputusan penempatan sudah diserahkan kepada Penolong Pengarah (pegawai yang pertama kami temui).

Saya memaklumkan kepadanya, pegawai yang saya temui menerangkan rayuan saya akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat, namun Pengarah berkata, tiada mesyuarat berkaitan penempatan diadakan.

Saya dan isteri terus tergamam kerana tidak menyangka pegawai yang berpendidikan Islam sanggup memberi maklumat tidak betul kepada kami semata-mata untuk melepaskan diri sendiri. Saya dan isteri menanggung akibatnya, apabila seorang bekerja di Kuala Lumpur, manakala seorang lagi di Johor.

Saya memohon, Bahagian Pendidikan Islam dapat memberi penjelasan berhubung tindakan berkenaan.





PEGAWAI SEDIH,

Ampang, Selangor.

Berita Harian Online: 16 Januari 2009

Tiada ulasan: