Jumaat, 16 Januari 2009

Johor: Subjek Bahasa Inggeris punca prestasi merosot

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

Jumlah murid dapat 5A dalam UPSR di Johor tidak sampai 5,000

KLUANG: Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris yang tidak menggalakkan dikenal pasti penyumbang utama jumlah murid yang mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 di Johor tidak mencecah angka 5,000 orang.

Pengarah Pelajaran negeri, Sufa'at Tumin, berkata jika 1,343 murid mendapat A dalam mata pelajaran itu, pasti jumlah pelajar yang mendapat keputusan 5A pada ujian itu di Johor seramai 5,401 orang.

Justeru beliau berkata, menjadi tanggungjawab Ketua Panel Bahasa Inggeris setiap sekolah di negeri ini untuk berusaha memastikan kelemahan dalam Bahasa Inggeris dapat diatasi segera bagi meningkatkan pencapaian murid.

"Jumlah murid yang mendapat 5A ialah seramai 4,058 orang manakala 1,343 lagi sekadar mendapat B dalam satu mata pelajaran iaitu adalah Bahasa Inggeris.

"Inilah yang harus kita usahakan terutama guru bahasa Inggeris, kerana saya percaya potensi murid kita untuk mendapat keputusan cemerlang adalah amat tinggi, cuma sedikit kelemahan berlaku dalam pengajaran mata pelajaran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Ketua Panel Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan negeri Johor, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor, Mohd Noor Abdul Ghani dan Pegawai Pelajaran Daerah Kluang, Shahrudin Shariff.

Sufa'at berkata, Bahasa Inggeris turut menyumbang kegagalan 7,665 murid di Johor untuk lulus semua mata pelajaran pada UPSR 2008.

"Mereka lulus empat mata pelajaran lain, tetapi mereka gagal mendapat kelulusan penuh hanya kerana kegagalan mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ketua Panel Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan di negeri ini supaya memikul tanggungjawab untuk memastikan masalah itu dapat diatasi dan bukannya menyalahkan orang lain apabila murid gagal dalam mata pelajaran itu.

"Sebagai pemimpin, kita harus sedia bertanggungjawab apabila berlaku kegagalan. Jangan pula menuding jari kepada orang lain atau mengelak daripada memikul tanggungjawab.

"Jika murid mencapai kejayaan, kita tentunya berbangga tetapi jika sebaliknya kita juga harus sedar dan sedia mengkaji apa puncanya kerana kejayaan lebih cemerlang hanya akan dapat dicapai jika kita belajar daripada kesilapan.

“Sebab itu kita mengadakan perjumpaan awal tahun, supaya kita dapat merancang lebih awal strategi untuk mencapai kejayaan tahun ini," katanya.

Berita harian Online: 15 Januari 2009

Tiada ulasan: